27 May 2010

Kriteria Pemarkahan

Pemarkahan Baca Cerpen Kavyan 2010 dibahagikan kepada lima pecahan iaitu:
.

Sebutan - 5 markah

Kelancaran dan Pemahaman - 5 markah
Intonasi dan Nada Pembacaan - 5 markah
Gaya Penyampaian Cerita - 5 markah
Suara dan Keyakinan Diri - 5 markah
Jumlah - 25 markah
.

Perincian Pecahan Pemarkahan seperti berikut:

.

Sebutan (mengikut bahasa teks yang dipilih)

Prinsip dan dasar sebutan baku diberi perhatian; iaitu sebutan berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan bahasa teks yang dipilih sendiri oleh peserta. Bagi teks Bahasa Malaysia, garis panduan umum yang digunakan adalah sebutan huruf, sebutan kata dan intonasi. Huruf dan fonem vokal, diftong serta konsonan juga didengar dengan teliti. Sebutan bagi kata dasar, kata terbitan, kata pinjaman, sebutan yang disengaukan serta sebutan bagi nama khas juga diperhatikan dalam memberi markah. Bagi Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain, sebutan perlulah betul mengikut bahasa berkenaan.
.

Kelancaran dan Pemahaman

Antara aspek yang dijadikan panduan adalah kemampuan peserta membaca petikan cerpen dengan lancar/berterusan, berhenti seketika pada bahagian-bahagian yang perlu mengikut kesesuaian, tempo yang sederhana (tidak terlalu laju atau terlalu perlahan), tiada gangguan semasa membaca (eh, em, ya dan sebagainya). Aspek kelancaran membaca boleh membantu mengesan sama ada peserta memahami atau tidak petikan cerpen yang dibaca.
.

Intonasi dan Nada Pembacaan

Penilaian dibuat berdasarkan faktor sama ada suara peserta sedap didengar dan menarik. Nada dan intonasi haruslah dipelbagaikan dan dikawal; misalnya nada tinggi dan bersemangat, nada perlahan, nada sederhana, nada propaganda, nada tinggi dan lantang mengikut kesesuaian.
.

Gaya Penyampaian Cerita

Cerita perlu dibacakan dengan gaya yang sesuai. Antara aspek gaya yang diperhatikan oleh penilai adalah gerak tangan, mata dan gerak badan, tidak kaku dan tidak juga beraksi berlebihan, mimik muka mengikut penekanan suara, serta memandang penonton/khalayak sesekali bagi tujuan eye-contact.
.

Suara dan Keyakinan Diri

Suara peserta mesti cukup kuat untuk didengar oleh penonton dan penilai. Peserta perlu ‘mesra mikrofon’ serta tidak gentar membaca di pentas. Peserta perlu memperlihatkan perwatakan, sikap dan pandangan yang positif serta penuh dengan keyakinan diri apabila tampil di pentas membaca petikan cerpen. Pakaian yang dipakai perlulah kemas dan sesuai dengan acara. Peserta juga perlu mengamalkan adab dan tatasusila ketika berada di pentas. Penggunaan props tidak dibenarkan kerana membazir masa, wang dan tenaga.
..
Nota: Keputusan panel hakim Pertandingan Baca Cerpen Kavyan 2010 adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak dilayan.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!