.
Walaupun masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama tinggal bersama di negara ini sejak berkurun-kurun lamanya, persefahaman dan perasaan saling menghormati dalam kalangan Bangsa Malaysia sering dipolitikkan pihak berkepentingan.
.
Dewasa ini, pelbagai isu berbaur perkauman dan konflik agama disensasikan pelbagai pihak dan media. Gambaran negatif yang ditonjolkan ini tidak dipersetujui majoriti Bangsa Malaysia yang mengutamakan perpaduan dan integrasi.
.
Hasil perbincangan secara terbuka di laman sosial Facebook pada 1 September 2010, sekumpulan individu yang mencintai keamanan dan perpaduan merancang mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama untuk mengeratkan persaudaraan sesama rakyat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama. Catatan perbincangan itu boleh dirujuk DI SINI.
.
Aktiviti
.
Mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama di sekitar Lembah Klang sebagai usaha mengeratkan perpaduan dan persefahaman.
.
Rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, gurdwara dan wat akan dipilih dengan mengambil kira kesesuaian untuk mengatur kunjungan dalam masa sehari.
.
Satu jawatankuasa kecil akan menyelaraskan aktiviti ini; meliputi aspek mendapatkan kebenaran daripada pengurusan rumah-rumah ibadat terbabit serta permit khas (jika perlu), mengatur jadual dan pengisian aktiviti.
.
Tarikh
.
Lawatan ini dicadangkan pada 24 Oktober 2010 (Ahad) tetapi bergantung kepada persetujuan majoriti. Nota: Sambutan Deepavali adalah pada 5 November 2010 (Jumaat).
.
Tarikh lain yang dicadangkan adalah 2 Oktober 2010 (Sabtu). Lawatan boleh diadakan pada salah satu tarikh; asalkan ada peserta.
.
Keputusan akhir: 2 Oktober 2010. Sila rujuk DI SINI.
Konvoi II diadakan pada 2 Mei 2011 [BACA DI SINI] manakala Konvoi III dijadualkan pada 17 Februari 2013 [BACA DI SINI]
.
Rasional
.
Kunjungan ini dilakukan dalam usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya, bahasa dan agama.
.
Peserta sendiri akan bertindak sebagai penyampai maklumat mengenai rumah-rumah ibadat yang dikunjungi supaya dapat dilakukan dengan cara yang mudah dan mesra.
.
Kunjungan ini dapat menghindarkan segala salah tanggap dan pandangan tidak benar mengenai rumah-rumah ibadat pelbagai agama serta mengenai agama-agama itu sendiri.
.
Membantu peserta lebih memahami dan menghayati Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
.
Peserta
.
Rombongan ini akan disertai peserta pelbagai kaum, etnik, budaya, bahasa dan agama yang berminat untuk mengeratkan perpaduan, persefahaman dan mengeratkan persaudaraan.
.
Peserta digalakkan membawa ahli keluarga kerana dapat membantu generasi muda menimba ilmu yang amat berguna ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.
.
Kesemua peserta yang berminat akan diterima tanpa prejudis.
.
Kesemua peserta dalam rombongan ini tidak mempunyai apa-apa agenda politik. Sebaliknya ikhlas dalam memupuk perpaduan serta perasaan saling memahami dan menghormati.
.
Tidak ada had minimum dan maksimum jumlah peserta.
.
Tidak ada had umur minimum dan maksimum.
.
Pengisian Lawatan
.
Lawatan ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, gurdwara dan wat secara berkonvoi.
.
Mendapat penerangan mengenai sejarah dan keunikan rumah-rumah ibadat berkenaan.
.
Melihat sendiri aktiviti di rumah-rumah ibadat berkenaan.
.
Makan bersama.
.
Berkongsi pengalaman.
.
Menyebar luaskan pengalaman menyertai lawatan ini kepada umum melalui pelbagai media.
.
Syarat Umum
.
Semua peserta wajib berpakaian sopan. Peserta digalakkan memakai pakaian tradisional yang sesuai dengan konsep kunjungan ini.
.
Peserta perlu patuh pada etika dan peraturan di rumah-rumah ibadat yang dikunjungi.
.
Merokok adalah dilarang di rumah-rumah ibadat.
.
Peserta tidak menimbulkan kekecohan atau perbuatan yang menghiris perasaan/sensitiviti orang lain.
.
Tiada sebarang “paksaan” ke atas peserta lain; khususnya dalam soal ajaran agama.
.
Peserta perlu menguruskan kenderaan sendiri. Namun, peserta digalakkan berkongsi kereta.
.
Segala kos (termasuk makan-minum, tol) ditanggung sendiri.
.
Tidak ada sebarang campur tangan politik.
.
Penyelarasan
.
Lawatan ini akan diselaraskan oleh Sanjana Aslam dan Uthaya Sankar SB dengan kerjasama mana-mana individu yang berminat memberikan kerjasama.
.
Para peserta yang mengesahkan kehadiran dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan perancangan aktiviti ini; sama ada melalui Facebook, blog, e-mel atau SMS. [KLIK DI SINI untuk atur cara]
.
Liputan
.
Para peserta digalakkan menyebarkan maklumat mengenai lawatan ini kepada rakan-rakan, saudara mara dan kenalan supaya “aura positif” ini dapat disebarkan seluas-luasnya.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!