22 Sept 2010

Maklumat Terkini Konvoi ke Rumah Ibadat

Terima kasih atas kesudian menyertai “Konvoi ke Rumah Ibadat” pada 2 Oktober 2010 (Sabtu), 9:00 pagi – 12:45 tengah hari di Jalan Ipoh dan Jalan Sentul, Kuala Lumpur.
.

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat di Blog Kavyan mengenai cadangan dan objektif konvoi ini.

.

Pada 17 September 2010, saya dan Aslambigai (Sanjana Aslam) pergi ke beberapa rumah ibadat untuk membincangkan konvoi ini. Rata-rata konvoi ini mendapat sambutan positif daripada pengurusan rumah-rumah ibadat berkenaan.

.

Berikut perancangan umum konvoi:

.

8:55 pagi – Semua peserta konvoi sudah berkumpul di tempat letak kereta Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Terdapat deretan kedai menjual bunga di hadapan kuil ini dan mudah dikesan. Selepas SK Sri Dhandayuthapani (di sebelah kiri jalan) dan sebelum deretan kedai bunga (di sebelah kiri jalan), masuk ke kiri untuk tempat letak kereta (percuma). Gunakan Peta Google untuk mengesan tempat supaya tidak tersesat. Lakukan pencarian (“search”) di Peta Google menggunakan kata kunci “SK Sri Dhandayuthapani Jalan Ipoh Kuala Lumpur”. Pasti saudara akan jumpa kuil yang dimaksudkan.

.

Sila maklum bahawa selepas pukul 9:00 pagi, saya tidak akan melayan panggilan telefon daripada sesiapa yang tersesat dan mahu meminta panduan jalan. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat “Waktu Kavyan”.

.

9:00 pagi – Membasuh kaki dan mengunjungi kuil (Hindu) sambil diberi penerangan oleh peserta beragama Hindu. Mana-mana peserta yang berhalangan atau kurang selesa untuk masuk ke dalam kuil boleh berada di luar bangunan kuil atau beranda kuil. Untuk makluman, tidak ada halangan untuk penganut mana-mana agama masuk ke dalam kuil asalkan berpakaian sopan dan berada dalam keadaan bersih.

.

Proses membasuh kaki, berpakaian sopan dan bersih akan digunakan semasa mengunjungi kesemua rumah ibadat dalam konvoi ini. Peserta digalakkan memakai selipar supaya mudah menanggalkan selipar dan membasuh kaki. Bagaimanapun, pemakaian selipar/kasut dibenarkan di dalam gereja.

.

9:30 pagi – Peserta berkongsi kereta untuk meneruskan konvoi. Kereta boleh ditinggalkan di tempat letak kereta Kuil Subramaniam Chettiar kerana konvoi akan berakhir di tempat sama.

.

9:40 pagi – Mengunjungi gurdwara (Sikh). Semua peserta wanita yang memasuki gurdwara wajib menutup kepala/rambut dengan selendang. Bagi peserta lelaki, ikat kepala/rambut disediakan di pintu masuk gurdwara. Peserta yang tidak mahu masuk ke bahagian dalam bangunan gurdwara boleh berada di dewan atau bahagian luar gurdwara.

.

Sila maklum bahawa wakil media mungkin menyertai konvoi ini. Maka, sila beri kerjasama kepada wakil media yang ingin menemu ramah peserta. Berikan pandangan ikhlas sebagai “duta” Konvoi ke Rumah Ibadat yang julung kali diadakan.

.

10:10 pagi – Bertolak ke gereja (Kristian).

.

10:15 pagi – Mengunjungi gereja sambil diberi penerangan. Peserta boleh memakai kasut/selipar di dalam gereja. Peserta yang tidak masuk ke dalam bangunan gereja boleh berada di luar atau di bangunan aktiviti di sebelah bangunan gereja.

.

10:45 pagi – Bertolak ke tokong (Cina/Tao).

.

10:50 pagi – Mengunjungi tokong sambil diberi penerangan.

.

Jangan lupa membawa kamera (atau telefon bimbit berkamera) untuk mengambil foto sepanjang konvoi ini sebagai kenangan dan dokumentasi. Jika memuatkan foto-foto di Facebook, jangan lupa “tag” rakan-rakan peserta konvoi supaya foto-foto itu dapat dikongsi bersama dan aura positif daripada konvoi ini dapat disebarkan kepada rakan-rakan lain.

.

Saya percaya dan yakin bahawa semua peserta konvoi akan menjaga tatasusila dan menghormati peraturan-peraturan di semua rumah ibadat yang dikunjungi. Jika timbul kemusykilan, sudilah bertanya kepada rakan-rakan yang sama-sama menyertai konvoi ini. Malah, tujuan konvoi ini adalah untuk memupuk persefahaman dan saling memahami serta menghormati.

.

11:20 pagi – Bertolak ke masjid (Islam).

.

11:30 pagi – Mengunjungi masjid. Saya percaya rakan-rakan beragama Islam boleh membantu memberi penjelasan mengenai peranan masjid serta segala hal berkaitan. Khususnya memandangkan sejak belakangan ini timbul pelbagai kekeliruan apabila masjid dipolitikkan.

.

12:00 tengah hari – Bertolak ke wat (Buddha).

.

12:10 tengah hari – Mengunjungi wat dan diberi penerangan oleh sami-sami di sana. Malah, ketua sami juga bersedia meluangkan masa menjawab sebarang pertanyaan.

.

12:40 tengah hari – Konvoi bertolak semula ke Kuil Subramaniam Chettiar dan bersurai.

.

Pandangan dan cadangan amat dialu-alukan. Hubungi Uthaya Sankar SB melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau telefon 016-3288142.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!