Renungan terhadap manusia ‘sakit’ dalam masyarakat India antaranya dapat dilihat melalui pelbagai wajah seperti ketidakadilan, korupsi, memuja kebendaan, jenayah atau kegagalan menemukan serta mengentalkan jati diri.
Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr Anwar Ridhwan berkata, penulis kaum India menghadapi masalah yang sama dengan penulis kaum lain; ‘menjelma dan menghilang’.
“Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa kesusasteraan sering diukur dengan kualiti dan bukannya kuantiti. Dalam kata lain, nilai seni karya yang perlu diutamakan dan bukannya penampilan diri,” katanya sebagai panel pada Diskusi Karya Sasterawan Kaum India di Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa pada 16 Disember 2003.
Pengarang kaum India seperti Uthaya Sankar SB, M. Mahendran, Saroja Theavy Balakrishnan, Ganesan Duraisamy, Nyanaambigai, Srivali Sreedharam dan S. G. Prabhawathy dikatakan sudah melalui denai dan alur bahasa serta memberi sumbangan kepada kesusasteraan tanah air.
Beliau berkata, cerpen “Kathakali” karya Uthaya meskipun menampilkan pengenalan umum di bahagian awal cerita yang tidak memuaskan pembaca tetapi pengarangnya dengan halus dan pintar menarik minat pembaca untuk mengenali tarian tradisional itu.
“Selain Uthaya, seorang lagi penulis kaum India yang mula menunjukkan karya yang matang ialah Saroja Theavy dan salah sebuah karyanya memenuhi ciri dalam kelompok ini ialah ‘Seorang Perempuan di Delta Biru Kelabu’,” katanya.
Saroja menampilkan sisi gelap kehidupan lewat watak “Aku”, isteri yang mempunyai anak gadis 17 tahun bernama May, tidak rela melepaskan pergantungan kewangan yang mewah daripada suami tetapi serentak itu menjalin cinta dengan Andrew.
Diskusi anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut menampilkan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said sebagai panel.
Datuk A. Samad melihat antologi cerpen Vanakam selenggaraan Uthaya membuktikan keupayaan generasi penulis baru yang sama seimbang bakat dan kemampuannya dari aspek penguasaan Bahasa Malaysia dan penekanan tema.
“Di tangan penulis generasi baru ini, cerpen boleh menghiburkan dan dimanfaatkan lebih jauh daripada setakat bahan hiburan. Penulis dalam antologi ini kelihatan selesa, malah santai menulis dalam Bahasa Malaysia,” katanya.
Beliau yakin bakal ada antara penulis dalam antologi berkenaan yang muncul sebagai Rohinton Mistry, Bharati Mukherjee dan Anita Desai, sasterawan bangsa (warganegara) India yang begitu sebati menulis dalam Bahasa Inggeris.
Antologi Vanakam dianggap mencabar pembaca agar berani memetik gugus iktibar seputar kehidupan kaum India yang masalahnya tidak banyak berbeza daripada kehidupan kaum lain.
“Uthaya nampaknya memilih cerita yang sarat dengan tekaan dan saya percaya cerpen ‘Cat’ sengaja ditulis secara fragmated dalam usaha pengarangnya menyindir dan merujuk kepada masalah hati nurani,” katanya.
[Sila KLIK DI SINI untuk membaca kertas kerja penuh Datuk A Samad Said.]
Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh, melihat novel Panchayat karya Uthaya sebagai percubaan membawa pembaca mengenali budaya dan cara hidup masyarakat India, terutama sistem penghakiman di peringkat kampung.
“Panchayat dalam Bahasa Tamil merujuk pada sistem penghakiman terbabit dan pelbagai istilah digunakan pengarang untuk menerangkan sesuatu yang berkaitan dengan budaya dan agama masyarakat kaum India,” katanya.
Prof Siti Hawa melihat percubaan pengarang membabitkan watak pelbagai kaum bersama Sitambaram dalam rancangan jahatnya untuk mencuri berhala emas dalam novel berkenaan mencacatkannya sebagai karya yang kuat.
“Saya tidak dapat menerima watak Mahmood [beragama Islam] terbabit dalam perancangan untuk mencuri berhala emas. Penggemblengan negatif tenaga pelbagai kaum ini sesuatu yang tidak masuk akal walaupun latar waktunya tiga tahun selepas merdeka,” katanya.
Bagaimanapun, Prof Siti Hawa mengakui penguasaan bahasa pengarang amat baik di samping kekuatan struktur cerita sehingga segala-galanya berjaya digambarkan dalam satu waktu pantas.
..
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!