Monday, 29 November 2010

Jangan Salah Tafsir Ketuanan Melayu

KUANTAN – Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu faham maksud sebenar Ketuanan Melayu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, kata Pemangku Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman.
.

Beliau berkata, kenyataan Wan Azizah mengenai konsep ketuanan Melayu wajib ditinggalkan itu [BACA DI SINI] sangat berbahaya kerana ia menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

.

Menurutnya, rakyat di negara ini sebenarnya perlu faham maksud sebenar Ketuanan Melayu yang merujuk kepada Raja-Raja Melayu dan ia wajib dihormati dan dipertahankan.

.

“Sebab itulah Mubarak Malaysia amat menekankan mata pelajaran Sejarah menjadi subjek teras agar rakyat di negara ini faham tentang apa itu Ketuanan Melayu yang sebenar, terutamanya mengenai sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan juga pembentukan sebuah negara bangsa,” katanya ketika dihubungi di London, semalam.

.

Abdul Aziz berkata, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan semata-mata untuk kepentingan politik tanpa melihat kepada kepentingan kaum Melayu.

.

Menurutnya, pembentukan Tanah Melayu adalah disebabkan perjuangan orang Melayu menentang penjajahan Inggeris serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang ketika itu cuba dicabul melalui Malayan Union.

.

“Kita harus tahu peranan kaum Melayu suatu ketika dulu dalam pembentukan Tanah Melayu dari awal hingga sekarang.

.

“Janganlah disebabkan kepentingan politik, Ketuanan Melayu dijadikan mangsa untuk mencapai sesuatu cita-cita,” katanya.

.

Sementara itu, Presiden Mubarak Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim berkata, Wan Azizah mungkin tidak faham apa itu Ketuanan Melayu, menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

.

Menurutnya, rakyat di negara ini sebenarnya sedar dan tahu bahawa Ketuanan Melayu itu sesuatu yang amat penting dan wajar dipertahankan.

.

“Saya hairan mengapa Wan Azizah mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan dia sendiri adalah orang Melayu.

.

“Sebagai pemimpin daripada kaum Melayu, dia sepatutnya mempertahankan konsep Ketuanan Melayu dan bukannya mengeluarkan kenyataan demi kepentingan politiknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail pula berkata, keistimewaan kaum Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terhapus sekiranya konsep Ketuanan Melayu hilang.

.

“Janganlah disebabkan politik, Ketuanan Melayu diketepikan dan apa lagi yang akan tinggal kepada orang Melayu sekiranya konsep ini hilang.

.

“Ketuanan Melayu tidak boleh dihapuskan tetapi sebaliknya dipertahankan, khususnya menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.

..

(Sinar Harian, 29 November 2010)