16 Dec 2010

Nik Aziz Bukan Pluralis

Saudara Pengarang,
.

Saya amat kecewa dengan laporan media yang memetik kenyataan beberapa individu yang membentangkan kertas kerja dalam satu seminar baru-baru ini berkaitan isu pluralisme. Ya, pluralisme adalah suatu ancaman kepada Islam, tetapi tuduhan melampau dan tergesa-gesa melabel beberapa orang tokoh politik sebagai penganut fahaman pluralisme ini amat berbahaya kepada keharmonian hidup antara umat beragama di Malaysia. Budaya ala-Taliban ini amat tidak cocok dengan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

.

Saya bukan ahli Pas dan bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi saya amat kecewa apabila tokoh agama yang diakui ramai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba dikaitkan dengan fahaman pluralisme semata-mata kerana menghadiri majlis penganut agama Buddha. Ini suatu tuduhan yang amat jahat. Rekod Tuan Guru membuktikan beliau amat konsisten dalam isu Islam.

.

Kita perlulah membezakan antara sikap menghormati kebebasan pegangan agama orang lain yang diakui oleh Islam dengan hakikat maksud pluralisme. Tidak sepatutnya mereka yang bergelar sarjana tidak memahami metodologi ilmu dalam menilai perbezaan antara dua perkara ini.

.

Dalam al-Quran, Surah al-Kafirun memberikan ruang memperakui hak penganut agama lain dalam mengamalkan kepercayaan mereka, manakala Surah al-Mumtahanah menyuruh orang Islam berbuat baik dengan penganut bukan Islam. Erti ruang toleransi dan saling menghormati hak sesama manusia untuk hidup secara harmoni itu diakui oleh Islam dan bukannya satu ciri penganut pluralisme.

.

Bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menerima rombongan penganut Kristian Najran di dalam masjid Nabawi? Bahkan baginda membenarkan mereka melakukan ibadat agama mereka di dalam masjid kedua paling suci itu. Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bangun bagi menghormati jenazah seorang penganut Yahudi yang lalu di hadapannya? Bukankah Omar bin al-Khattab RA sewaktu membuka Palestin memberikan kebebasan dan penghormatan yang amat luar biasa kepada Patriach Kristian di sana dan mengunjungi Gereja Nativity? Apakah Nabi SAW dan Omar RA ini juga penganut pluralisme? Sudah tentu tidak! Dan dengan itu formula dan kaedah pihak yang gelojoh ini juga salah dan amat berniat jahat.

.

Saya bimbang wujud kecenderungan beberapa pihak dari kalangan ahli akademik dan agamawan menggunakan isu akidah untuk tujuan mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik. Juga menggunakan isu akidah untuk menyesatkan dan memurtadkan orang politik yang tidak sebulu dengan mereka.

.

Hal ini akan menjurus kepada pegangan yang amat melampau dan boleh mencetuskan kekecohan antara agama di Malaysia. Akibat sikap seperti ini, banyak pihak akan disesatkan dan dipertikaikan akidah mereka. Juga formula mereka yang melampau ini akan menimbulkan salah tafsiran terhadap sikap harmoni Kerajaan Persekutuan kepada penganut berbilang agama di Malaysia. Apakah polisi kerajaan ini juga akan mereka sesatkan, termasuk para pemimpin yang terbabit?

.

Saya menyeru umat Islam, terutama ahli akademik, agar bersikap jujur dan adil dalam memperkatakan soal Islam dan terutamanya dalam soal hubungan dengan agama lain. Semua pihak perlu berhati-hati terutama dalam menyatakan pandangan yang boleh membawa kepada permusuhan beragama dan berpolitik.

.

Rujuklah kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam mengeluarkan pandangan Islam, bukannya dengan emosi dan kecenderungan berpolitik bagi menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam dan permusuhan antara umat Islam dengan bukan Islam. Islam tidak memerlukan mereka yang berpemikiran pelampau, kolot dan amat konservatif bagi membela agama suci ini. Sekian.

..

* Dr Juanda Jaya, 15 Disember 2010, Bandar Hilir, Melaka Bandaraya Bersejarah

..

(Disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 16 Disember 2010)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!