30 Dec 2010

Mahabali II Tetap Tolak Ketuanan Malayali

PULAU CINTA – Mahabali II (foto sekadar hiasan) mempertahankan pendiriannya menolak konsep Ketuanan Malayali.
.

Putera sulung kepada Perdana Menteri, Mahabali itu berkata, konsep tersebut bertentangan Perlembagaan kerana secara amat jelas menafikan hak penduduk pulau berkenaan.

.

“Saya lihat ‘ketuanan’ adalah untuk etnik yang memiliki kuasa. Kalau etnik Malayali di Pulau Cinta adalah ‘tuan’, bagaimana dengan etnik Jawa, Cina, Arab, Tamil, Thailand, Afrika dan etnik-etnik lain yang berada di pulau ini sejak ratusan tahun dahulu?

.

Bahasa Pulau adalah bahasa rasmi, kedudukan Ravana dan Rama sebagai bekas pemimpin, kita terima. Kita turut menerima hakikat bahawa etnik Malayali adalah penduduk majoriti di pulau ini.

.

“Cuma, saya harap, jangan ada pihak yang cuba menipu seolah-olah saya termasuk golongan yang menolak kewujudan etnik Malayali,” katanya dalam sidang media di luar istana, di sini, semalam.

.

Mahabali II turut membidas sesetengah pihak yang melabel pendirian beliau dan Magnolia menolak konsep Ketuanan Malayali sebagai tidak menghormati Perlembagaan Pulau Cinta.

.

“Saya fikir jika mereka mahu mempolitikkan isu ini, sama ada Jemaah Pemerintah atau media antarabangsa, itu hak mereka, tetapi saya berharap mereka tidak akan membohongi atau memutar belitkan kebenaran seolah-olah menggambarkan bahawa kami berdua kurang Malayali, hanya kerana kami berani menolak konsep Ketuanan Malayali dan memperjuangkan Ketuanan Penduduk,” katanya.

.

Berhubung kenyataan Magnolia mengenai konsep itu semasa rapat umum baru-baru ini, Mahabali II berkata, ia bukan sesuatu yang baru.

.

“Kami pernah menjelaskan sebelum ini menerusi beberapa kenyataan dan pada beberapa acara bahawa kami menolak konsep Ketuanan Malayali kerana ia secara terang-terangan hanya melindungi satu segmen kecil masyarakat Malayali sementara etnik Jawa, Cina, Arab, Tamil, Thailand, Afrika dan etnik-etnik lain yang berada di pulau ini sejak ratusan tahun dahulu masih miskin dan terus dipinggirkan,” katanya.

..

(Terjemahan berita yang disiarkan di sebuah portal berita antarabangsa. Jangan dikelirukan dengan KENYATAAN INI.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!