31 Jan 2011

Niat Anjur Mogok Lapar

KUALA LUMPUR – National Interlok Action Team (Niat) dianggotai 150 badan bukan kerajaan (NGO) kaum India mengadakan mogok lapar secara aman di Little India, Brickfields, di sini, semalam, untuk mendesak kerajaan mengeluarkan terus novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima. .
..

Dalam protes yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu, ahli Niat berkumpul beramai-ramai walaupun hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi.

.

Pengerusinya, Datuk Thasleem Mohammed Ibrahim berkata, Niat menyerah­kan memorandum kepada kerajaan melalui Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan.

.

“Kami menyokong konsep 1Malaysia, tetapi jelas buku ini tidak sesuai dijadikan teks Komsas,” katanya.

.

Thasleem berkata, Niat bergabung tidak kira agama untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan maruah kaum India.

.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Interlok edisi murid kekal digunakan sebagai teks Komsas dengan pindaan akan dibuat kepada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif kepada kaum India. [BACA D SINI]

.

Beberapa NGO Melayu, termasuk Perkasa, Gapena dan Pena bertegas tidak membenarkan walau sepatah perkataan dalam novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain diubah.

.

Rata-rata NGO kaum India dan MIC pula berpendirian sekiranya kesalahan fakta dan unsur penghinaan tidak dimurnikan, novel edisi murid itu tidak patut dijadikan teks di sekolah. [BACA DI SINI] – Ahmad Norman Abu Talib, Sinar Harian, 31 Januari 2011