Tuesday, 30 August 2011

Surat Rayuan di Free Malaysia Today

SURAT FMT

Nasib kami berlima adalah ibarat kata peribahasa Melayu, ‘Pak Kaduk, ayamnya menang, kampung tergadai’.


Karya kami, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetapi kami merasakan diri kami teraniaya kerana penerbit bagaikan menafikan hak kami berlima untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek kami sebagai penulis kreatif.


1 Cerpen Warkah Daripada Ibu karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


2 Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini novel itu diterbitkan oleh Nur-Ilmu dengan judul Cempaka Putih Untukmu dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


3 Puisi Seorang Insan Istimewa karya Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


4 Cerpen Limau Bali dan Semangkuk Daging karya Amy Suzani Mohd Ainuddin memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995. Cerpen itu tersiar dengan judul “Budi Semangkuk Daging” dalam antologi Budi Semangkuk Daging terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.


5 Novel Di Sini Bukan Duniaku karya Hazama Harun @ Aida Shahira diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Bukan Duniaku oleh Karya Hartamas Enterprise dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka. Malangnya, penulis hanya diberi sedikit saguhati dan diminta menandatangani resit kononnya menerima bayaran hampir lima kali ganda. Penulis juga tidak diberikan salinan resit itu apabila diminta.


6 Novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Hikmah oleh V-Nice Resources dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malangnya, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd meminta penulis menuntut bayaran daripada V-Nice Resources manakala V-Nice Resources pula mengatakan ia sudah membuat bayaran kepada Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd.


7 Cerpen Israk karya Erda Roslan Khairi tersiar di majalah Dewan Siswa pada tahun 2010. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Harga Remaja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Empat di seluruh negara. Malangnya, penulis tidak pernah dihubungi oleh penerbit mahupun Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran untuk memaklumkan hal itu atau meminta izin terbit bagi karyanya.


Dengan segala dolak-dalik pihak terbabit, kami berlima merasakan diri kami bagaikan teraniaya dan mungkin juga dipergunakan pihak tertentu untuk mengaut untung.


Maka kami berlima memutuskan untuk mengemukakan surat rayuan terbuka ini kepada Muhyiddin.


Kami merayu Muhyiddin menggunakan kuasa dan hak sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan segera bagi menyelesaikan isu royalti, hak cipta dan harta intelek ini.


Pada masa sama, kami berlima memuji sikap profesional dan penuh beretika yang diamalkan oleh Sasbadi Sdn Bhd yang sudah pun membuat bayaran royalti pertama pada 25 Ogos 2011 kepada Timah Baba bagi karya anaknya, Hizairi Othman, yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Dua.


Kami merayu Muhyiddin membela nasib kami berlima sebagai penulis yang berhak menerima royalti dan hasil pendapatan halal menerusi penulisan karya sastera.


Kami berharap kes ini tidak dilihat sebagai kes terpencil dan dipandang ringan.


Kami berlima mengharapkan ‘berita gembira’ berupa pembelaan terhadap hak cipta, harta intelek dan hak royalti kami menjelang 1 Syawal 1432.


Pada kesempatan ini, kami dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Muhyiddin sekeluarga serta seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia.


Surat FMT ini tulis oleh Rohani Deraman (Johor), Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri (Kelantan), Hazama Harun @ Aida Shahira (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal (Kuala Lumpur), Erda Roslan Khairi (Putrajaya), kepada Uthaya Sankar SB, presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), yang juga pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.


(Disiarkan di Free Malaysia Today pada 26 Ogos 2011)