Friday, 27 December 2013

Selamatkan Kampung Chetti

Artikel bertajuk “Jangan hapuskan Kampung Chetti” (FMT, 17 Disember 2013) membuatkan saya tersentak dan memutuskan untuk menulis surat ini.
 
Sejak kecil, saya tertarik dengan keunikan budaya dan komuniti Chetti Melaka. Kampung warisan ini menyimpan begitu banyak sejarah dan kebudayaan yang sepatutnya dipelihara bersama.
 
Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthy yang menjadi kebanggaan kaum Chetti dibina pada tahun 1781 dan dipercayai kuil Hindu tertua di Kepulauan Melayu.
 
Kuil Sri Kailasanathar pula merupakan satu-satunya kuil seumpama itu di luar negara India. Manakala Kuil Sri Ganggadariamman yang dikenali sebagai ‘Kuil Nenek’ berusia sekitar 200 tahun.
 
Ramai yang mungkin mengaitkan nama “Gajah Berang” di mana kampung ini terletak dengan kisah gajah yang naik berang (mengamuk).
 
Sebenarnya, nama itu berasal daripada nama Kanchipuram, iaitu tempat asal pedagang yang datang ke Melaka dahulu dan berkahwin dengan wanita Melayu tempatan; jauh sebelum kedatangan Islam.
 
Di bawah seliaan Profesor Dr Aruna Gopinath dari Universiti Pertahanan Malaysia, saya kini sedang mengkaji keunikan budaya, ritual, agama, kepercayaan dan cara hidup kaum Chetti Melaka.
 
Impian saya adalah untuk mementaskan sebuah dramatari berskala besar yang mengangkat keunikan kehidupan seharian penduduk di kampung berkenaan.
 
Saya berulang-alik ke Kampung Chetti untuk melakukan kajian dan mendapatkan bahan. Saya amat terkejut apabila mendapati kerja-kerja pembinaan kondominium 22 tingkat dan hotel 12 tingkat dibuat di “Lot 93” yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti.
 
Besarlah harapan saya bahawa usaha bersungguh-sungguh dapat diambil dengan segera bagi menyelamatkan kampung warisan ini daripada menjadi mangsa pembangunan dan pemodenan.
 
Saya akan sama-sama menghadiri “Solidariti Kampung Chetti” yang dijadualkan di kampung berkenaan pada 29 Disember 2013 sebagai tanda saya mencintai warisan budaya negara. - Thiepaan Raaj
 
(Free Malaysia Today, 27 Disember 2013. Versi Bahasa Tamil disiarkan di akhbar Tamil Malar, 28 Disember 2013. Baca juga: “Jangan biarkan Kampung Chetti hilang”)