26 Dec 2013

Jangan biar Kampung Chetti hilang

 
Saya amat merasai masalah yang dipaparkan menerusi rencana “Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?” (TMI, 16 Disember 2013).
 
Sebagai anak kelahiran Kampung Chetti, Melaka, saya tidak sanggup melihat kampung halaman saya menjadi mangsa kerakusan pembangunan secara tidak terancang.
 
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, jaminan diberikan kepada kami bahawa pembinaan dua kondominium 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di Lot 93 dihentikan serta-merta.
 
Walau bagaimanapun, selepas itu, projek diteruskan walaupun masih mendapat bantahan dan luahan rasa tidak setuju daripada penduduk Kampung Chetti dan orang ramai yang prihatin terhadap warisan kebudayaan bangsa.
 
Saya bekerja di ibu negara sejak lima bulan lalu. Apabila pulang ke kampung baru-baru ini, saya terkejut melihat kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan di Lot 93.
 
Antara kesan awal yang melanda kampung saya adalah banjir kilat yang secara nyata merosakkan rumah-rumah papan berusia puluhan tahun. Jiran-tetangga memaklumkan bahawa bangunan kuil lama juga mengalami keretakan.
 
Sebagai generasi muda kaum Chetti Melaka, saya merayu sokongan padu daripada rakyat pelbagai kaum, etnik, agama, pegangan politik dan latar belakang untuk sama-sama tampil mempertahankan Kampung Chetti.
 
Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) merancang Solidariti Kampung Chetti pada 29 Disember 2013. – [MAKLUMAT DI SINI]
 
Saya berharap orang ramai akan hadir untuk melihat sendiri keadaan di kampung warisan ini dan seterusnya menyatakan sokongan bagi memelihara khazanah negara daripada musnah. - Nironjini Pillay
 
(Disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Disember 2013. Baca juga: Selamatkan Kampung Chetti)