Saturday, 6 August 2016

SK Semakin Melayu, Islam

Kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan mendedahkan sekolah aliran Cina (SJKC) berupaya menjadi sekolah arus perdana menggantikan sekolah kebangsaan (SK) dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang.

Dan antara kebimbangan ibu bapa ialah sekolah kerajaan semakin tidak mencerminkan kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

Ahli majlis yang baru sahaja bersara, Prof Teo Kok Seong berkata, peratus pendaftaran baharu pelajar Bukan Melayu bagi SK hanya naik 4% manakala SJKC pula menerima peningkatan sebanyak 18% bagi pelajar Bukan Cina.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat setiap tahun. Kajian kami menunjukkan sekolah vernakular mungkin menjadi sekolah aliran utama dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila lebih ramai ibu bapa Bukan Cina enggan mendaftar anak mereka ke SK,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pilihan utama pendidikan dan sekolah oleh ibu bapa masa kini.
Tambahnya, sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pendidikan 2013-2025 untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke SK mungkin gagal pada 2025.

Ini kerana kajian menunjukkan lebih ramai ibu bapa merancang mendaftarkan anak mereka di sekolah jenis kebangsaan (vernakular) atau swasta.

Kajian yang dijalankan oleh 13 anggota majlis terdiri daripada pendidik, tokoh korporat dan bekas pegawai Jabatan Pendidikan peringkat tertinggi itu turut menyenaraikan lima sebab utama ibu bapa kelas pertengahan dan menengah berpendapatan tinggi enggan memilih SK.

Pertama, kaedah pengajaran dan didikan yang lemah dalam kalangan guru-guru.

Kedua, pentadbiran SK yang didominasi satu kaum.

Ketiga, sekolah dilihat “terlalu Islam”, diikuti [Keempat] isu disiplin sebagai salah satu masalah yang besar dan akhir sekali [Kelima], keadaan sekolah yang tidak diurus dengan baik termasuk menggunakan komputer ketinggalan zaman.

Beliau juga mencadangkan, guru-guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu sahaja dibenar menjadi ketua subjek supaya mereka dapat membimbing guru-guru lain.

“Sebagai contoh, jika seorang guru kaum India mahir dalam Bahasa Inggeris, guru itu perlu menerajui unit tersebut. Tetapi sebaliknya, keutamaan diberikan kepada orang lain yang tidak mampu membimbing orang lain. Begitu juga dengan pengetua sekolah. Ketua sekolah perlulah daripada kalangan yang paling layak untuk menjalankan sebuah sekolah.

“Tidak perlu memberi keutamaan mengikut kaum. Ibu bapa hanya mahukan seorang pendidik yang mampu mengajar dan mendisiplinkan anak-anak mereka. Jika ia boleh dilakukan, kerajaan akan memperoleh semula keyakinan dan menarik lebih ramai pelajar Bukan Melayu ke SK.”

Beliau juga tidak menafikan berlakunya pertembungan antara ibu bapa Islam dan Bukan Islam.

Dalam beberapa forum yang dianjurkan majlis itu, ibu bapa Islam merasakan ajaran Islam tidak mencukupi di SK manakala ibu bapa Bukan Islam tidak selesa dengan amalan bacaan doa semasa perhimpunan.

Teo yang mengajar di UKM berkata, ibu bapa Bukan Islam tidak selesa dengan rakaman audio yang membacakan lagu-lagu agama semasa perhimpunan.

“Rasa tidak senang hati yang berterusan terhadap isu ini menyebabkan ibu bapa Bukan Islam menghantar anak mereka ke SJKC atau ke sekolah swasta. Ia adalah isu sensitif dan seolah-olah tiada pengakhiran.” - Baca juga: Reaksi Menteri Pendidikan ... Baca juga - SK Jadi Lubuk Perkauman? 

Sumber: Free Malaysia Today, 5 Ogos 2016