7 Aug 2016

Tidak Mungkin SJKC Ganti SK

Sekolah aliran Cina (SJKC) tidak mungkin menggantikan sekolah kebangsaan (SK) menjadi sekolah arus perdana dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelasnya, fenomena itu mungkin berlaku di SJKC di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak, tetapi tidak di kawasan bandar.

“Seperti di kawasan Parlimen saya di Padang Terap, 50% pelajar sekolah aliran Cina adalah bumiputera. Di luar bandar, Sabah dan Sarawak, sekolah aliran Cina dikuasai pelajar Bumiputera.

“Tetapi, di kawasan bandar tidak ada, SJKC memang didominasi pelajar kaum Cina. Jadi, tidak mungkinlah (ia mengambil tempat sekolah kebangsaan),” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa, hari ini.

Kelmarin, FMT melaporkan kajian dua tahun Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) mendedahkan SJKC berupaya menggantikan SK dan mungkin menjadi lebih majmuk dalam masa 10 tahun akan datang. [BACA DI SINI]

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan akan memperhalusi kajian itu untuk mengetahui kejadian sebenar sebelum memberi penjelasan kepada orang ramai. [Baca juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]

Sumber: Free Malaysia Today, 7 Ogos 2016