Calvin Ohsey Ak
Ah Sen – lebih dikenali sebagai Calvin
Ohsey – merupakan anak muda etnik Bidayuh yang lahir di Ipoh, Perak pada 2
Oktober 1991. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan
Tentera Darat, Sungai Besi, Kuala Lumpur (1998-2000), Sekolah Kebangsaan Bukit
Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor (2001-2003) dan Sekolah Menengah
Kebangsaan Lake, Bau, Sarawak (2004-2008), sebelum melanjutkan pengajian
diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Kota Samarahan, Sarawak (2009-2011),
dan pengajian ijazah sarjana muda di UiTM kampus Shah Alam (2012-2014).
Calvin kini
tinggal di Plentong, Johor, dan bekerja sebagai felo penyelidik di Komisi
Keuskupan Hal-ehwal Ekumenisme dan Dialog Antara Agama bagi Keuskupan
Melaka-Johor (Majodi).
Minatnya untuk
menulis esei dan makalah muncul apabila dijemput oleh Adrian Pareira (Pengarah North-South Initiative, aktivis pekerja
migran dan pengurusan konflik) dan Ahmad Fuad Rahmat (pensyarah Universiti
Notthingham; aktivis diskusi falsafah) untuk menulis makalah sosio-budaya
mengenai agama Kristian di Projek Dialog
pada tahun 2013. Calvin tidak menyangka bahawa tulisannya akan ditular dan dibaca
oleh ramai orang sehinggalah dia menulis mengenai isu penggunaan kalimah Allah
oleh majalah Herald terbitan Gereja
Katolik bagi Keuskupan Kuala Lumpur. Sejak itu, Calvin menjadi kolumnis Projek Dialog selain turut aktif menulis
ulasan sosio-politik dan agama di laman sosial.
Antara esei
tulisannya adalah “Kalimah Allah: Satu Sudut Pandang Kristian Sarawak”
(Projek Dialog, 27 Oktober 2013), “Menjelaskan Kekeliruan Dalam Isu Kalimah Allah”
(Projek Dialog, 26 Januari 2014), dan
“Konflik Israel-Palestin dari Sudut Pandang Katolik”
(Projek Dialog, 21 Julai 2014).