Berikut petikan daripada bahagian “Prakata” tulisan M. Mahendran dalam buku Karupaya (2018).
Pembabitan pertama secara langsung ke akhbar bermula pada penghujung tahun 1983; sewaktu berumur 15 tahun. Abang saya yang menggunakan nama pena Mad Sentul biasanya menghantar kartun-kartun pendek ke majalah bulanan dan akhbar mingguan Tamil. Ia menjadi perangsang kepada saya untuk turut cuba mengirim karya.
Cerpen Tamil sulung saya berjudul “Yeazhmaiyin Vilaiyaatu” tersiar di majalah Mayil pada tahun 1987.
Pada tahun 1987, saya mula melanggan majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Kedua-duanya menambahkan lagi minat saya untuk menulis. Pengalaman penulis-penulis veteran dijadikan panduan. Buku Persediaan Menulis Cerpen karya Othman Puteh sedikit sebanyak membimbing saya.
Pada tahun 1987 juga disiarkan iklan peraduan menulis cerpen untuk khalayak Bukan Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Malayan Banking. Itulah pertama kali saya menghasilkan sebuah cerpen yang panjangnya lapan halaman. Cerpen bertajuk “Karupaya”. Nama yang diambil daripada satu watak dalam novel Salina, Karupaya Sami, pemilik rumah ala kandang kambing.
Penguasaan tiga bahasa memudahkan saya untuk mempelajari gaya penulisan pengarang dari pelbagai budaya yang berkarya dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Saya amat meminati gaya penulisan Mu. Varatharaasan dan Jayakanthan dari Tamil Nadu, India. Mereka mempunyai gaya penulisan yang tersendiri.
Selain membaca, pergaulan dengan masyarakat pelbagai keturunan dan usia juga amat penting bagi seorang pengarang. Cara mereka menuturkan setiap perkataan amatlah penting untuk menulis dialog yang berkesan.
Saya turut merakamkan terima kasih kepada sekumpulan sukarelawan yang sudi menawarkan khidmat sebagai penyunting bersekutu bagi memperkemaskan cerpen-cerpen saya.
Sumbangan orang ramai menerusi tempahan awal juga amat dihargai. Nama-nama mereka didokumentasikan dalam buku ini sebagai tanda penghargaan.
Semoga khalayak pembaca pelbagai kaum, umur dan latar belakang berpuas hati dengan sajian dalam buku ini.
(Prakata penuh tulisan M. Mahendran boleh dibaca dalam buku Karupaya. Baca juga - Pengantar.)