19 Jun 2018

Biodata AJK Pelaksana Projek Komuniti Kavyan


Semasa Kem Kepimpinan Projek Komuniti Kavyan (10 Jun 2018), para peserta dibimbing menulis biodata ringkas sebagai sebahagian latihan “Membina Identiti Pemimpin Komuniti”.

Berikut contoh biodata beberapa Jawatankuasa Pelaksana yang terlibat dalam merancang dan menjayakan program mingguan dan program bulanan di bawah Projek Komuniti Kavyan.

M. Vanitha Murugan lahir dan membesar di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SJKT Ladang Selinsing, Kampung Dew dan SMK Mudzaffar Shah, Semanggol. Vanitha kini tinggal di Aulong Lama, Taiping dan bekerja sebagai jururawat di Pusat Perubatan Taiping KPJ. Aktiviti masa lapangnya termasuk mendengar radio. Beliau merupakan AJK Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama sejak 2015, dan Timbalan Pengerusi Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang sejak 2017. Beliau juga terlibat sebagai Penyelaras Projek Komuniti Kavyan sejak Jun 2016.

Mariamah @ Shanti P. Kumarasamy lahir di Kuala Lumpur dan membesar di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Convent Kota dan SMJK Convent Kota, Taiping sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Kejururawatan Puteri, Kuala Lumpur. Mariamah kini tinggal di Aulong Lama, Taiping dan bekerja sebagai jururawat di Pusat Perubatan Taiping KPJ. Aktiviti masa lapangnya termasuk mendengar radio dan membaca buku cerita. Beliau merupakan AJK Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama sejak 2015, dan Bendahari Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang sejak 2017. Beliau juga terlibat sebagai Jawatankuasa Pelaksana Projek Komuniti Kavyan sejak Jun 2016.

Christiana Francis lahir dan membesar di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SJKT St Theresa’s Convent dan SM Darul Ridwan, Taiping. Aktiviti masa lapang suri rumah ini adalah bermain badminton. Beliau kini tinggal di Aulong Lama, Taiping dan terlibat sebagai Jawatankuasa Pelaksana Projek Komuniti Kavyan sejak 2017.

Jegavani Lengkan lahir dan membesar di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Convent Aulong dan SM Darul Ridwan, Taiping sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Rima, Pulau Pinang. Suri rumah ini gemar membaca novel dan kini tinggal di Aulong Lama, Taiping. Beliau merupakan Jawatankuasa Pelaksana Projek Komuniti Kavyan sejak 2017 dan Penolong Setiausaha Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang sejak 2018.

N. A. Manivale K. Arumugam lahir dan membesar di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Convent Aulong dan SM Darul Ridwan, Taiping. Manivale yang gemar membela ikan dan ayam, kini tinggal di Aulong Lama, Taiping. Beliau merupakan Pengerusi Persatuan Kuil Sarva Sakti Aulong Lama sejak 2013, AJK Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama sejak 2015, dan Jawatankuasa Pelaksana Projek Komuniti Kavyan sejak 2016.

Lihat jugaProjek Komuniti Kavyan.