Berikut sedikit catatan yang dibuat semasa proses penulisan manuskrip buku Katha Sarit Sagara bermula 1 Ogos 2022.
Kathasaritsagara (“Lautan
Cerita”) adalah koleksi cerita rakyat, legenda, mitos, dan
dongeng yang mengungkapkan kekayaan budaya, pemikiran, dan imaginasi jurai
keturunan orang India.
Dalam filem Dil Se (1998), lagu “Satrangi Re” (atau “En Uyire” dalam versi Tamil dan “Ooristhu
Ooguthu” dalam versi Telugu) menggambarkan 7 peringkat cinta. Dalam Kamasutra, Ananga
Ranga, dan Kathasaritsagara
pula digambarkan 10 peringkat. Ia turut menjadi ikutan dalam tradisi Arab dan Eropah.
Nampaknya bukan hanya
purana Hindu — termasuk Khanda Puranam — bermula dengan kisah Dewa Shiva dan Dewi
Parvathi. Teks Kathasaritsagara
juga bermula dengan Parvathi
meminta Shiva bercerita tentang
kisah Sati. Dalam buku Katha Sarit Sagara, saya minimumkan kerana sudah dipaparkan dalam
buku Khanda Puranam (2022).
Anda tentu ingat filem
Musang Berjanggut (1959) lakonan dan arahan P. Ramlee. Tetapi
anda mungkin tidak tahu bahawa cerita itu dicedok daripada Kathasaritsagara.
Ingat pula kisah Sultan
Melaka mengarahkan Hang Tuah dibunuh tetapi Bendahara sembunyikannya? Jangan terkejut apabila
anda menemui cerita asal dalam buku Katha
Sarit Sagara.
Dalam proses
melakukan penceritaan semula kisah-kisah daripada Kathasaritsagara, saya turut membaca pelbagai buku kajian berkaitan
teks itu. Misalnya, Studies About The Kathasaritsagara (1908) oleh Jacob Samuel
Speyer. Saya sarankan anda juga membacanya.
Ada ratusan
cerita rakyat dan dongeng dalam Kathasaritsagara.
Misalnya, kisah seekor ikan ketawa apabila seorang raja mengarahkan seorang
pemuda dihukum bunuh. Mengapa? Buku Katha
Sarit Sagara ada jawapannya.
Roh seorang pemuda meninggalkan tubuhnya dan masuk ke dalam tubuh raja yang sudah mangkat. Apakah kekecohan yang berlaku selepas itu? Buku Katha Sarit Sagara merupakan penceritaan semula pelbagai cerita rakyat India dalam Bahasa Malaysia.
Gunadhya
menguasai tiga bahasa yang digunakan untuk menimba ilmu dan menyebarkan ilmu. Akan
tetapi, akibat kalah pertaruhan, dia terpaksa memenuhi janji iaitu tidak lagi
menggunakan bahasa-bahasa itu. Bacalah kisah dalam buku ini untuk mengetahui
apa yang berlaku seterusnya.
Seorang pemuda menyamar
seperti wanita untuk masuk ke istana bertemu puteri yang dicintai. Selepas
mengandung, mereka mencari helah untuk berkahwin dengan restu raja. Buku Katha Sarit Sagara ada pelbagai kisah.
Teks asal Kathasaritsagara terdiri daripada 18 bahagian yang memuatkan 124 bab dan sekitar 350 cerita. Penceritaan semula Bahagian 1 (8 bab) dimulakan pada 2 Ogos dan selesai pada 5 Ogos 2022. Semoga orang ramai berminat untuk menikmati Katha Sarit Sagara dalam Bahasa Malaysia.
Bahagian 2 (6 bab) bermula dengan
kisah seorang raja meluahkan keinginan memiliki anak. Permaisuri meminta setangki
darah untuk mandi dulu. Malangnya, dia disambar dan diterbangkan garuda. Mereka
hanya bertemu semula apabila anak berumur 14 tahun. Bagaimana? Kisah penuh
boleh dibaca dalam buku Katha Sarit
Sagara.
Sementara itu, seorang
putera menjadi cemburu dan berdendam kerana rakannya (bukan anak raja) mendapat
sokongan ramai. Keluarga remaja itu dibunuh tetapi mujurlah dia berjaya
menyelamatkan diri. Maka, bermulalah pengembaraan penuh debaran.
Seorang pemuda dicintai seorang puteri. Maka, rakan-rakan pemuda itu sedia menculik puteri itu supaya mereka boleh berkahwin. Ternyata konsep “perkahwinan” pada masa dahulu memang amat berbeza. Kisah-kisah dalam buku Katha Sarit Sagara boleh membantu kita memahami amalan masa silam.
Seorang
putera dijadikan tawanan oleh seorang raja yang mahu dia mengahwini puterinya. Memanglah
suatu perbuatan yang pelik dan menghairankan. Rakan-rakan putera itu mengatur
rancangan untuk menyelamatkannya. Mereka juga mahu si putera menggoda puteri
tersebut.
Seorang pemuda bercinta dengan seorang pelacur. Dia pergi ke Lanka dan berpeluang bertemu Vibhisana, adik Ravana. Kemudian, pemuda itu menyamar sebagai Dewa Vishnu untuk bermesra dengan kekasihnya. Demikian antara kisah menarik dalam buku Katha Sarit Sagara yang sedang diusahakan.
Seorang saudagar
muda perlu pergi ke Kataha (Kedah Tua) untuk urusan perniagaan. Isterinya cembura
dan bimbang kalau-kalau saudagar itu tergoda dengan wanita tempatan. Sekiranya
diteliti, pelbagai cerita Kathasaritsagara
menjadi asas bagi cerita rakyat di Nusantara. Malah, kebanyakan “data sahih” mengenai sejarah Kedah bersumberkan teks
seperti Pattinappalai, Silappadikaram, Kathasaritsagara, Kaumudi
Mahotsava, dan Perunkathai.
Novel Haroun and the Sea of Stories (1990) oleh Salman Rushdie terkenal di seluruh dunia. Buku audio dibacakan oleh Salman sendiri. Drama pentas dan opera juga dibuat berdasarkan novel ini. “Sea of Stories” pada judul adalah pengaruh Kathasaritsagara.
Kisah
pertama dalam Bahagian 3 (6 bab) adalah
bagaimana Udayana berkahwin dengan Padmavati.
Agak menarik apabila kita meneliti perancangan dan taktik yang digunakan bagi
mencapai agenda politik. Tidak mustahil, banyak yang boleh dipelajari pemerintah
dan politikus masa kini daripada kisah-kisah dalam Kathasaritsagara.
Usaha dilakukan pihak tertentu untuk mevisualkan bagaimana rangka cerita berbingkai dalam Kathasaritsagara berkembang, berselirat, dan saling berkaitan. Sila klik di sini untuk menonton video di YouTube.
Rupa-rupanya,
gadis yang dikahwini oleh seorang pemuda ialah bidadari dari kayangan. Gadis
itu lahir ke bumi akibat sumpahan. Kini, tiba masa untuk kembali ke kayangan.
Demikian antara dilema yang disajikan dalam kisah-kisah Kathasaritsagara.
Saya melakukan olahan dan
penceritaan semula menggunakan kreativiti supaya seronok dibaca khalayak pelbagai
kaum di Malaysia.
Saya berusaha
untuk meneliti, mengkaji, memahami, dan menulis satu kisah setiap hari di bawah
projek Katha Sarit Sagara. Tapi ada
masa, saya berehat. Menonton filem/siri di Netflix
dan Amazon Prime. Atau tidur. Tapi
cerita berbingkai tetap bermain dalam minda.
Teks asal Kathasaritsagara dalam bahasa Sanskrit. Memang ada pelbagai versi terjemahan yang turut dijadikan rujukan. Meneliti dan mengkaji versi asal bukannya kerja mudah. Misalnya, kata “udaya” ada minimum 30 makna berbeza mengikut konteks.
Seorang sami muda
berjaya menjadi ketua sami di istana. Kemudian, dia berjaya pula menjadi menantu
raja selepas menyelamatkan si puteri. Apakah insiden yang berlaku? Nantikan Katha Sarit Sagara dalam Bahasa Malaysia.
Kisah Vidusaka amat menarik kerana dia berjaya mengahwini lima wanita, termasuk puteri, anak saudagar, dan vidyadhara. Pengembaraan dan pengalamannya sama dengan pelbagai kisah dongeng di Eropah.
Seorang
lelaki menjadi papa akibat terlibat dalam perjudian dan arak. Apabila dia cuba
meminta bantuan kewangan daripada bapa mentua, suatu peristiwa yang tidak
diduga berlaku. Insiden itu terus mengubah hidupnya.
Kisah
Shiva dan Parvathi, serta kelahiran Murugan juga diulang pada Bab 20 iaitu
penghujung Bahagian 3 kitab Kathasaritsagara.
Memandangkan peritiwa itu sudah dihuraikan dalam buku Khanda Puranam (2022), saya tidak memasukkannya dalam buku Katha Sarit Sagara.
Seorang pemuda kacak cuba digoda isteri kepada gurunya. Apabila dia menolak cinta itu, dia menjadi mangsa fitnah. Dalam usaha melarikan diri, dia terpaksa bertemu semula dengan wanita sama. Apa yang akan dilakukannya? Kisah pemuda itu boleh dibaca dalam buku Katha Sarit Sagara.
Bahagian 3 diakhiri dengan kisah
seorang permaisuri yang berjaya menghasut raja supaya membunuh dan memakan
daging seorang pemuda. Semua itu demi memastikan raja menjadi kebal dan
berkuasa. Akan tetapi, akan tercapaikah impian yang bermotif jahat?
Sehingga 31 Ogos 2022, panjang draf manuskrip Katha Sarit Sagara (Bahagian 1-3) yang sudah ditulis ialah 28,775 perkataan. Secara perbandingan, panjang manuskrip Khanda Puranam (2022) ialah 18,535 perkataan dan Bhagavad Gita (2021) pula 34,710 perkataan.
Bahagian 4 (3 bab) bermula dengan kisah
seorang putera yang berkahwin dengan anak seorang saudagar. Apabila kerajaan
jatuh ke tangan pihak lain, putera itu perlu mencari jalan untuk kembali
merampas tampuk pemerintahan. Pasti sahaja usaha itu tidak semudah disangka,
apatah lagi apabila terpaksa berdepan masalah keluarga.
Seorang
ibu tunggal mengadap Raja Udayana untuk mengadu nasib. Permaisuri Vasavadatta sedia
memberi perlindungan kepada wanita itu. Ketua sami diraja memikul tanggungjawab
menjaga anak kepada ibu tunggal itu. Apakah hubungan antara mereka semua?
Seorang
saudagar muda ditawan kumpulan orang asli untuk dikorbankan kepada Dewi Durga.
Akan tetapi, pemuda itu bertukar menjadi sahabat karib kepada ketua kumpulan
orang asli itu. Pengalaman dan persahabatan mereka selepas itu menjangkau hingga
kelahiran seterusnya.
“Pokok mistik ini adalah hak istimewa yang diberi khusus kepada
kita. Sepatutnya kita sahaja yang menikmatinya. Malah, secara lebih eksklusif,
sepatutnya golongan pemerintah dan keluarga diraja sahaja yang berhak mendapat
manfaat daripadanya.” Nampaknya kisah-kisah dalam Kathasaritsagara masih boleh digunakan untuk memahami situasi masa
kini.
Segala kisah yang disampaikan menerusi cerita berbingkai dalam Kathasaritsagara setakat ini merupakan persiapan bagi menyambut kelahiran seorang putera yang difirasatkan bakal menjadi raja golongan vidyadhara. Bahagian 4 diakhiri dengan kisah kelahiran putera berkenaan.
Pada
Bahagian 5 (3 bab), ada kisah
tentang sekumpulan penyamun yang membuat perancangan teliti untuk menipu seorang
lelaki yang kaya tetapi kedekut. Akan berjayakah mereka melaksanakan rancangan
mereka yang melibatkan penyamaran serta penipuan demi penipuan?
Seorang
lelaki kaya ada dua anak lelaki. Anak sulung berjaya menjadi pengawal peribadi
yang disukai raja. Anak bongsu pula bertukar menjadi raksasa. Mereka terpisah
bagi suatu tempoh yang lama. Pengalaman sepanjang perpisahan itu diceritakan
dalam Katha Sarit Sagara.
Seorang
kaki judi mahu menjadi kaya. Dia ditawarkan peluang menjadi makhluk mistik yang
berkuasa. Tetapi tentulah bukan suatu proses yang mudah. Ada juga pengajaran yang
diselitkan dalam cerita.
Nama lama Sonepur di Odisha, India sejak kurun ke-9 ialah Suvarnapura (Bandar Emas). Kita juga
biasa dengan nama Suvarnadvipa
(Kepulauan Emas) dan Suvarnabhumi
(Tanah Emas). Nama Suvarnapura turut muncul
dalam Katha Sarit Sagara sebagai
suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa. Rujuk “Mencari Suvarna Bhumi”
untuk sedikit maklumat. Ya, nampaknya semua buku saya saling berkaitan.
Seorang pemuda cuba menipu untuk mendapatkan harta yang dijanjikan raja. Kemudian, dia jatuh cinta pada si puteri jelita. Maka, bermulalah pengembaraan yang membawa pemuda itu meredah lautan menghampiri Malayadvipa dan Bhumi Malayu. Bahagian 5 berakhir dengan kisah itu.
Teks asal Kathasaritsagara dalam bahasa Sanskrit terdiri
daripada 124 bab (taramga) dalam 18
bahagian (lambhaka). Bagi projek
penceritaan semula dalam Bahasa Malaysia, saya hanya tumpukan kepada kisah
dalam 26 bab pada 5 bahagian terawal. Jika tidak, buku
akan menjadi terlalu tebal dan kos penerbitan amat tinggi.
Penulisan draf manuskrip Katha Sarit Sagara siap pada 15 September 2022. Panjang draf manuskrip (sebelum disemak, disunting, dan dibaiki) ialah 47,780 perkataan. Sekadar perbandingan:
Khanda Puranam |
Bhagavad Gita |
Katha Sarit Sagara |
Kavya Sastra |
18,540 perkataan |
34,710 perkataan |
47,780 perkataan |
76,960 perkataan |
118 halaman |
172 halaman |
? |
364 halaman |
[Sudikah anda menyokong projek buku ini? Sila klik di sini untuk maklumat.]