7 Jul 2025

Contoh Biodata Penulis Malaysia

Berikut contoh biodata yang diambil daripada antologi Seruling Malam (2024).

Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor pada 1978. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang (2001). Seterusnya, Anuradha mendapat ijazah Sarjana Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (M.Ed TESL) dari universiti sama (2011). Beliau kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Anuradha terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 2014. Karya beliau tersiar di The Star, The Malaysian Indian Anthology, Iris Magazine, Anak Sastra, Eksentrika, Dewan Budaya, dan portal Sastera Kavyan. Karya Anuradha juga termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Cerpen beliau termuat dalam antologi Meredah Kabus (2021), Serpihan Memorabilia 2020 - Suara (2021), Patah Tumbuh (2021), Kisah Musim Wabak (2021), Anekdot Peribahasa Yang Tersurat Yang Tersirat (2022), dan Siri Warisan Budaya - Teluk Belanga dan Periuk Belanga (2023).

Chia Chen Eng lahir di Muar, Johor pada 6 Mac 1974. Beliau menamatkan pengajian sarjana muda bahasa asing (Bahasa Cina) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan sarjana linguistik di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Sungai Long. Beliau kini tinggal di Petaling Jaya, Selangor dan bekerja sebagai pengurus editorial di sebuah penerbitan. Chia Chen Eng terlibat dalam bidang penulisan bahasa Cina sejak tahun 1999. Karya beliau tersiar di akhbar Sin Chew Daily dan China Press selain puisi termuat dalam antologi Membawa Banyak Beg ke Pantai: Kumpulan Puisi Kanak-Kanak Malaysia (2022) sementara cerpen dimuatkan dalam antologi Pilihan Cerpen Mikro Malaysia Kontemporari (2010). Augerah penulisan yang dimenangi termasuk hadiah utama dalam Pertandingan Hua Zong (kategori prosa), tempat kedua dalam Pertandingan Prosa Bahasa Cina Antarabangsa Singapura, serta Anugerah Khas Pilihan Cerpen Pendek dari Taiwan United Daily News.

Duola @ Lim Guat See lahir di Pulau Pinang pada tahun 1954. Beliau seorang penulis dan pelukis profesional serta pernah menerbitkan 52 buah buku. Duola merupakan penerima lebih daripada 60 anugerah sastera dari dalam dan luar negara. Sebahagian karya beliau diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun, dan Jerman. Duola juga sudah menganjurkan 26 pameran solo lukisan dan lebih daripada 60 kali pameran lukisan bersama pelukis lain. Beliau menerima anugerah DJN Negeri Pulau Pinang pada tahun 2019.

VK Ezhilarasi Velautham Krishnan lahir di Tangkak, Johor pada 20 Oktober 1967 dan belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Pesara guru ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur. Ezhilarasi suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik.  Antara karya awal beliau ialah rencana di majalah Dewan Budaya (April 2016) dan cerpen di majalah Dewan Siswa (Februari 2020). Hasil karya Ezhilarasi turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020). Beliau giat dalam aktiviti Kavyan seperti Baca di Anak Baba (September 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), serta Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023). Bengkel penulisan yang disertai termasuk Sesi Penulisan Intensif I (Disember 2018), Sesi Penulisan Intensif II (Mac 2019), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024). Ezhilarasi merupakan penolong setiausaha Kavyan mulai 2024.

Jeffry Solomon Victor dilahirkan di Ipoh, Perak pada 2 Mei 2002Beliau belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putra, Ipoh dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Miharja, Kuala Lumpur sehingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sumber manusia dan kini menjadi tenaga pengajar di Dyslexia Genius Malaysia. Jeffry terlibat secara aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (September 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024). Karya Jeffry tersiar di portal Sastera Kavyan.

Kamalah Suppiah lahir di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada tahun 1960. Beliau mula menulis cerpen dan puisi moden Tamil pada tahun 1981 dan seterusnya menceburi bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Cerpen Tamil pertama tersiar di akhbar Tamil Osai pada 1981. Cerpen beliau muncul sebagai karya terbaik dalam Anugerah Sastera Datuk Athi Nagappan (1985). Novel Thimalar (1987) menang pertandingan menulis pada 1986. Novel sejarah itu kemudian menang Anugerah Buku 1988 anjuran Gabungan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (GAPETAM). “Tiada Penyesalan” ialah cerpen sulung Kamalah dalam Bahasa Malaysia. Cerpen itu menang tempat ketiga dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP dan termuat dalam antologi Menara (1988) dan juga dalam antologi Hujan Emas di Negeri Orang (1989) serta Dari Pulau ke Pulau (1992). Buku persendirian Kamalah ialah kumpulan cerpen remaja Illaiyoor Kathaigal (2012), cerpen umum Yha (2021) dan koleksi esei motivasi Moodrezhutil (2023). Cerpen Bahasa Malaysia termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022). Sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan, Kamalan memenangi pelbagai hadiah dan pengiktirafan.

Lai Choy @ Lai Yoke Choy lahir di Kuala Lumpur pada 15 Disember 1941. Beliau mendapat pendidikan di beberapa sekolah rendah dan menengah berpengantar bahasa Cina di Kuala Lumpur sebelum mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Harian, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Lai Choy berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah rendah, menengah, dan tinggi aliran Cina selama 36 tahun sebelum bersara dan kini tinggal di Kepong, Kuala Lumpur. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Cina sejak usia remaja. Selain media bahasa Cina, karya Lai Choy turut tersiar di akhbar Utusan Malaysia, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, dan Dewan Budaya. Buku persendirian beliau ialah Migrasi ke Selatan (1997), Menjejaki Sastera Melayu (2015), Kepingan Mozek (2016), dan Ada Padang Ada Belalang (2024). Lai Choy juga menghasilkan lebih daripada 50 jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa. Anugerah penulisan yang dimenangi termasuk Anugerah Kesusasteraan Mahua pada tahun 2018. Beliau turut menyerlah dalam bidang pendidikan dan menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pendidikan daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur pada tahun 1993.

Liumx @ Liew Meng Seng lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1974. Beliau menerima pendidikan di SJKC Mun Choong, SM Raja Abdullah dan SM Maxwell di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sarjana sastera di Universiti Zhejiang, China. Liumx seorang penulis dan penterjemah bebas serta pernah bekerja sebagai jurutera kilang pendingin hawa kereta dan pemandu lori. Beliau menterjemah dua cerpen Duola untuk projek antologi ini.

M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang pada 28 Disember 1968. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong dan Akademi Semantan, Temerloh. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Akasara (2020), dan Lakaran Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dilantik memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023.

Malini Lakshmi Bai lahir di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Taman Segar, Cheras, pendidikan menengah di SMK (P) Perempuan Pudu, Pudu dan pendidikan tingkatan enam di SMK Cochrane, Cheras sebelum mengikuti pengajian sarjana muda bahasa dan linguistik Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak. Malini juga berkelulusan dalam Program Latihan Perguruan Buddha-Dhamma yang dikendalikan oleh Sekolah Ti-Ratana Sukha Dhamma. Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak di bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Beliau kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai guru Bahasa Malaysia dan Inggeris di Valley International School, Brickfields. Malini juga menggalas jawatan bendahari dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).  Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 2021. Hasil karya Bahasa Malaysia tersiar di portal Sastera Kavyan selain termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022), manakala karya bahasa Inggeris disiarkan di laman Eksentrika.

Thivyajayanthi Nair lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 November 1997. Beliau belajar di Kolej Matrikulasi Johor. Seterusnya, beliau mendapat ijazah sarjana muda teknologi maklumat dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka. Thivya kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan mengajar tuisyen, serta meneruskan pengajian ijazah kedua dalam bidang psikologi. Antara karya awal Thivya ialah cerpen bagi pertandingan menulis cerpen peringkat negeri Johor (2013). Beliau memenangi tempat keempat dalam pertandingan menulis cerpen bahasa Tamil anjuran Koperasi Permodalan Tanah NLFCS (2014). Thivya bergiat aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Megha Duta (April-Ogos 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Bandar Pinggiran Subang (Mac 2024).

Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak pada 10 Jun 1972. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Darul Ridwan dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Uthaya kini tinggal di Shah Alam, Selangor dan merupakan penulis sepenuh masa. Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1992. Karya Uthaya tersiar di pelbagai akhbar, majalah, dan portal dalam talian selain termuat dalam puluhan antologi sejak tahun 1993. Antara buku persendirian beliau ialah Orang Dimensi (1994), Kisah Dari Siru Kambam (2013), Bhagavad Gita (2021), The Painted Cat (2023), dan Dewi Pertiwi (2024). Anugerah yang diterima termasuk Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), Anugerah Duta Keamanan (2008), dan Anugerah Tokoh Saraswati (2023).  Uthaya turut mengendalikan bengkel penulisan, kempen galakan membaca, dan projek komuniti di seluruh negara sejak 1994.

Dapatkan maklumat terperinci mengenai penulis kaum India dalam buku Kavya Sastra (2021).

23 May 2025

Prakata bagi Sebelas Amanat Swamiji

Buku ini merupakan kumpulan 16 buah cerpen (cerita pendek) berbentuk fiksyen dan cereka (cerita rekaan). Kesemuanya dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB dari tahun 2023 hingga awal 2025 sebagai sebahagian daripada bahan latihan bimbingan penulisan yang dikendalikan secara bersemuka dan dalam talian (online).

Kesemua fiksyen ini ditulis dengan tujuan khusus, iaitu untuk menunjukkan bagaimana sebuah cereka boleh, perlu, dan wajar menampilkan unsur-unsur […] berdasarkan pengalaman Uthaya sebagai seorang penulis kreatif sejak awal dekad 1990-an.


Kini, fiksyen berkenaan diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul Sebelas Amanat Swamiji untuk dinikmati orang ramai – penulis dan pembaca – yang meminati cereka bermutu.

Harap maklum bahawa semua fiksyen ini tiada apa-apa kaitan – secara langsung atau tidak langsung – dengan Melayu dan Islam.

Penggunaan sebarang nama, tempat, atau peristiwa sebenar adalah bersumberkan laporan media arus perdana; digunakan mengikut kesesuaian dan keperluan dalam konteks karya fiksyen.

(Petikan “Prakata”)

17 Mar 2025

Senarai Penyumbang bagi Sebelas Amanat Swamiji



“Kalau kau nak tahu berapa ramai kawan sejati yang kau ada, jadilah penulis swaterbit.” – Amir Muhammad (Facebook, 30 Januari 2025)

“The biggest challenge is getting enough funds to cover the publishing cost. I am truly blessed with a group of friends who are always supportive of my book projects.” – Eksentrika (27 June 2023)

Atas sebab dan tujuan itulah juga nama para penyumbang modal sosial (social capital) disenaraikan di dalam buku dan di blog. Saya mahu nama para penyumbang sentiasa diketahui, dikenang, dan dihargai para pembaca—pada masa sekarang dan masa depan.

Bagi projek kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji, nama para penyumbang dikemas kini di sini sehingga 15 Jun 2025.


1. Dr. Gopala Krishnan a/l Sekharan Nair (Tasek Gelugor, Pulau Pinang)

2. Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)

3. Visvanathan (Seremban, Negeri Sembilan)

4. Prem Kanna a/l Dorairaj (Rawang, Selangor)

5. Amir Muhammad (Petaling Jaya, Selangor)

6. Mohamad Rosdy Dahri (Kuching, Sarawak)

7. M. Mahendran (Bentong, Pahang)

8. Virochan Anyu Sri (Kuching, Sarawak)

9. Sasitharan SG (Ayer Itam, Pulau Pinang)

10. Saravanan Selanduray (Puchong, Selangor)

11. Zaheer Zechariah (Bukit Jelutong, Selangor)

12. Mohd Izwan bin Mohd Ali (Jasin, Melaka)

13. Salma Dhineswary (Rawang, Selangor)

14. Vatsala S. Vijiendram (Ipoh, Perak)

15. Prabhawathy Govindarajoo (Shah Alam, Selangor)

16. Devishi Prabha Sankari (Shah Alam, Selangor)

17. Evelyn Chua (Kota Kemuning, Selangor)

18. Malini Lakshmi Bai (Cheras, Kuala Lumpur)

19. Datuk Murugan Alimuthu (Taiping, Perak)

20. M. Mahesvaran @ Mad Sentul (Kapar, Selangor)

21. Saravana Kumar (Seberang Jaya, Pulau Pinang)

22. Datin Leela Bavanandam (Alor Setar, Kedah)

23. Django King (Ipoh, Perak)

24. Emmy Latif (Dengkil, Selangor)

25. Wan Jeffery Wan Ahmad (Rantau Panjang, Kelantan)

26. Dr. Naresh Waran Gnanasegaran (Setapak, Kuala Lumpur)

27. Jeyavarman a/l Tamil Selvam (Pelabuhan Klang, Selangor)

28. Shammine (Bandar Enstek, Negeri Sembilan)

29. Nanny Pat (Shah Alam, Selangor)

30. Tang Ah Chai (Segambut, Kuala Lumpur)

31. Dr. Lai Choy (Kepong, Kuala Lumpur)

32. Koh Yok Hwa (Kepong, Kuala Lumpur)


Senarai penyumbang modal sosial bagi projek buku sebelum ini Panchayat: Edisi Khas (2012) Hanuman: Suara Hati (2013) Pulau Pendatang (2015)  Nari! Nari! (2015)  Mandala Bicara (2016)  Ikan Patin dan Beruang Besar (2017)  Thirukkural dan Megha Duta (2018)  Ramayana dan Mahabharata (2019)  Vetalam dan Vikramaditya (2020)  Putaria (2020) Bhagavad Gita (2021) Kavya Sastra (2021) Suvarna Bhumi (2022) Khanda Puranam (2022) Katha Sarit Sagara (2023) Nari! Nari! (2023) The Painted Cat (2023) Dewi Pertiwi (2024) Rani di Kuil Bhagavati (2025).

Sila hubungi saya menerusi WhatsApp 011–11411952 atau e-mel uthayasb@gmail.com jika ada sebarang pertanyaan.

23 Dec 2024

Pandangan Pembaca Beta “Raman dan Kultus Guruji”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Raman dan Kultus Guruji”. Berikut pandangan yang diterima:

Cerpen “Raman dan Kultus Guruji” bermula dengan penegasan dan mempunyai cangkuk naratif yang menarik minat saya. Keadilan apa yang ingin ditegaskan? Mengapa perbincangan dibuat secara tertutup dan bukan dalam khalayak ramai? Siapakah yang inginkan keadilan dan adakah akan berlaku keadilan? Semua pertanyaan saya sebagai pembaca beta dalam bahagian permulaan petikan cerpen ini mungkin akan terjawab melalui pembacaan seterusnya. Sememangnya teks cerpen ini ada unsur menarik minat pembaca untuk membaca kisah seterusnya.

Ketiadaan gambaran fizikal watak (misalnya rupa, pakaian, dan gaya rambut) langsung tidak mengganggu daya imaginasi saya, malah menambahkan daya imaginasi saya. Saya menggambarkan watak-watak dalam cerita ini mengikut pembacaan dan pengalaman pembacaan (previous knowledge). Harus saya akui bahawa cerita ini menjadi lebih menarik dengan watak-watak dan aksi-aksi mereka yang ada dalam imaginasi saya sendiri berbandingan apa yang tertulis pada kertas.

Pada pemerhatian saya, watak Fedrus seperti tidak terkejut dan tiada sebarang reaksi yang mengejutkan dalam menangani kes amang seksual yang dibincangkan. Kes itu seolah-olah sudah biasa berlaku dalam kultus berkenaan. Pada andaian saya, Fedrus mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk mengambil alih tempat atau memegang jawatan tertinggi dalam kultus dengan mengenakan Raman.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Saya membayangkan bahawa ibu bapa terbabit akan berasa kecewa dengan apa yang berlaku kepada anak-anak mereka, namun mereka tidak akan berbuat apa-apa atau mengambil sebarang tindakan kerana mereka lebih setia kepada kata-kata Guruji berbanding undang-undang sedia ada. Semasa membaca petikan awal cerpen ini, saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa golongan ibu bapa itu berjumpa dengan Guruji untuk menyelesaikan isu gangguan seksual dan bukannya pergi kepada pihak yang sepatutnya. Kita tunggu penghujung cerita untuk mengetahui jawapannya.

[Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor pada 1978. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan.]

Kisah dalam “Raman dan Kultus Guruji” merupakan seperti kisah yang sering  berlaku di negara kita. Saya secara peribadi lebih meminati  kes-kes penculikan,  pembunuh bersiri, atau rompkan bank. Kisah seperti ini kurang menarik perhatian saya.

Saya boleh gambarkan watak-watak dalam cerpen ini berpakaian biasa sahaja. Tidak ada pakaian seragam khas untuk mereka. Apa-apa pun, cerita yang lebih penting di sini, bukan penonjolan fizikal watak. Maka, tidak salah apabila penulis tidak memberi gambaran fizikal watak dan tempat secara terperinci.

Pada pada pandangan saya, watak Raman memang bersalah dalam isu yang berlaku. Tidak ada agenda tersembunyi oleh mana-mana pihak yang mungkin berdendam ke atasnya. Saya percaya watak Fedrus hanya melaksanakan tanggunjawabnya sahaja apabila melakukan siasatan kes.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Saya rasa, Raman tidak dapat membuktikan yang dia tidak bersalah. Dia akan ke muka pengadilan. Ibu bapa pula akan bertindak luar biasa terhadap Raman sebelum dia sempat dibawa ke mahkamah.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang pada 1968. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan.]

Kisah di halaman pertama cerpen Raman dan Kultus Gurujimenarik minat saya untuk meneruskan pembacaan. Tuduhan serius yang dikenakan terhadap watak Raman, seorang individu yang berkedudukan tinggi dalam kultus berkenaan menarik minat saya untuk mengetahui apakah yang berlaku seterusnya.

Walaupun gambaran fizikal watak-watak terbabit tidak diberi oleh penulis, ia tidak menjadi penghalang kepada saya sebagai seorang pembaca. Malah, gambaran fizikal watak dapat saya bayangkan sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman melihat watak hampir sama dalam kehidupan sebenar sehari-hari dan watak rekaan dalam filem-filem yang pernah ditonton.

Bercakap secara khusus tentang watak Fedrus, saya rasa dia tidak mempunyai apa-apa agenda atau motif tersembunyi pada ketika in. Namun, siapa tahu kalau-kalau penulis mungkin ada “twist” pada bahagian akhir cerita.

Selepas membaca petikan awal cerpen ini, saya cuba membayangkan apa yang mungkin berlaku seterusnya. Pertemuan ibu bapa para mangsa dengan Guruji dan Fedrus bersama ahli-ahli kultus yang lain mungkin akan membongkarkan pekara sebenar yang berlaku kepada mereka (remaja terbabit).

[Kasthuri Anamalay @ Jeeva Kasthuri dilahirkan di Taiping, Perak dan kini tinggal di Sungai Petani, Kedah. Beliau berkelulusan dari Informatics dalam bidang komputer dan Open University Malaysia (OUM) dalam bidang pengajian bahasa. Kasthuri seorang pengusaha dan guru tuisyen sepenuh masa serta jurulatih teknik menjawab bagi mata pelajaran Sains.]

Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]

Biodata — Inba Malar JNJ Money

Inba Malar a/p JNJ Money merupakan kaunselor berdaftar yang bertugas di SMK Methodist ACS (M), Seremban, Negeri Sembilan. Beliau juga Kaunselor Panel di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan serta sukarelawan Talian Kasih Khas Covid-19 sejak Mac 2019. Inba Malar mula menulis cerpen dan artikel bahasa Tamil di majalah tempatan pada 1986. Beliau juga menulis karangan Bahasa Malaysia dan Tamil secara berkala dalam Sign Post (majalah sekolah). Inba Malar merupakan ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia dan penyunting kehormat majalah Idhayam. Karya berjudul “Semangat Yang Luntur”, “Kasih Bertaut Kembali” dan “Pantun: Motivasi” termuat dalam antologi Paling: Sepilihan Memorabilia (2021). Maklumat terperinci mengenai penglibatan kaum India dalam Sastera Kebangsaan boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra (2021). Biodata lebih ramai penulis boleh dibaca [di sini].

20 Dec 2024

Katha Sarit Sagara – Karya Klasik dengan Sentuhan Kontemporari

Katha Sarit Sagara (2023) adalah sebuah karya penting daripada penulis Malaysia, Uthaya Sankar SB, yang terkenal dengan kemampuannya menggabungkan elemen-elemen budaya, sejarah, dan sosial dalam karya-karyanya. Buku ini adalah sebuah koleksi cerita yang diinspirasikan oleh teks klasik Kathasaritsagara (“Lautan Cerita”), sebuah karya agung dari tradisi sastera India yang ditulis oleh Somadeva pada abad ke-11. Sebagai sebuah koleksi cerita, Katha Sarit Sagara oleh Uthaya mengadaptasi dan memperbaharui cerita-cerita klasik itu dengan sentuhan moden yang relevan dengan konteks sosial dan budaya semasa.

Buku ini menawarkan pembaca sebuah dunia yang penuh dengan kisah-kisah yang kaya dengan nilai-nilai moral, pengajaran hidup, serta metafora yang dalam. Uthaya, yang terkenal dengan gaya penulisan yang berlapis dan penuh dengan simbolisme, menghidupkan kembali cerita-cerita lama ini dalam Bahasa Malaysia dengan cara yang segar dan menarik, memberikan pembaca pengalaman yang mendalam dalam memahami kehidupan, masyarakat, dan moraliti.

Katha Sarit Sagara di tangan Uthaya bukan sekadar terjemahan atau adaptasi langsung daripada teks klasik India, tetapi lebih merupakan sebuah penghormatan kepada tradisi cerita rakyat yang kaya dengan simbolisme dan pengajaran moral. Buku ini mengandungi beberapa cerita klasik yang mencerminkan kehidupan manusia dari pelbagai sudut—dari segi kekayaan dan kemiskinan, cinta dan kebencian, kebaikan dan kejahatan, serta perjuangan antara kebenaran dan kepalsuan.

Cerita-cerita dalam buku ini tidak hanya berkisar tentang peristiwa atau tokoh tertentu, tetapi juga menyentuh tentang tema-tema universal yang relevan dengan masyarakat moden. Uthaya dengan bijak mengolah naratif-naratif klasik ini, menyuntik elemen-elemen kontemporari yang menambah lapisan baharu dalam cerita-cerita tersebut. Setiap cerita dalam Katha Sarit Sagara membawa pembaca ke dalam dunia yang penuh dengan warna-warni kehidupan manusia, menggambarkan perjuangan batin, nilai-nilai moral, serta konflik yang berlaku dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Salah satu tema utama yang menonjol dalam Katha Sarit Sagara adalah moral dan etika. Sebagaimana dalam teks asal, Uthaya menekankan nilai-nilai seperti kejujuran, keberanian, kesetiaan, dan kebaikan. Cerita-cerita dalam buku ini sering kali menggambarkan watak-watak yang berdepan dengan dilema moral, sama ada untuk memilih jalan yang benar atau mengikuti jalan yang penuh godaan. Melalui kisah-kisah ini, pembaca pelbagai kaum di Malaysia diajak untuk merenung tentang pilihan-pilihan yang mereka buat dalam kehidupan seharian dan kesan daripada pilihan tersebut.

Dalam kebanyakan cerita dalam buku ini, watak utama sering kali diuji keberaniannya untuk mengatasi cabaran hidup. Keberanian dan pengorbanan menjadi tema yang berulang, di mana watak-watak utama tidak hanya berjuang untuk mencapai cita-cita mereka, tetapi juga untuk menjaga maruah, keluarga, dan masyarakat mereka. Uthaya menampilkan tokoh-tokoh yang bersedia untuk mengorbankan kebahagiaan peribadi demi kebaikan orang lain atau demi menegakkan kebenaran. Ini adalah tema yang sangat relevan dalam dunia moden, di mana keberanian untuk berbuat baik sering kali diuji oleh situasi yang penuh dengan tekanan.

Tema lain yang sangat kuat dalam Katha Sarit Sagara adalah cinta dan kejahatan. Sebagai sebuah karya yang diinspirasikan oleh teks India yang klasik, buku ini tidak terlepas dari menggambarkan hubungan antara cinta dan konflik. Cinta dalam buku ini sering kali menjadi pendorong bagi tindakan-tindakan besar—baik yang baik mahupun yang buruk. Cinta yang tulus sering kali mengarah kepada pengorbanan dan kesetiaan, sementara cinta yang penuh dengan nafsu dan kepentingan diri boleh membawa kepada kejahatan dan pengkhianatan. Uthaya dengan bijak mengolah tema ini, memperlihatkan bagaimana emosi manusia yang paling mendalam boleh mempengaruhi keputusan dan tindakan mereka.

Dalam banyak cerita klasik India, konsep takdir dan kewujudan Tuhan sering kali menjadi isu utama. Dalam Katha Sarit Sagara, tema ini tetap menjadi fokus, dengan watak-watak yang sering berhadapan dengan ujian hidup dan mencari makna di sebalik kejadian-kejadian yang mereka alami. Uthaya menyentuh tentang bagaimana watak-watak berusaha mencari jawapan kepada persoalan hidup mereka, dan bagaimana mereka berdepan dengan konsep Tuhan dan takdir yang tidak dapat dielakkan. Cerita-cerita ini memperlihatkan bagaimana manusia cuba memahami tempat mereka dalam dunia yang lebih besar, serta bagaimana mereka menghadapi cabaran hidup dengan penuh iman dan harapan.

Uthaya menulis Katha Sarit Sagara dengan gaya yang sangat puitis dan kaya dengan simbolisme. Seperti karya-karya sastera klasik India, cerita-cerita dalam buku ini menggunakan bahasa yang indah dan penuh dengan imejan yang kuat. Uthaya tidak hanya mengadaptasi cerita-cerita lama ini, tetapi beliau juga memberi sentuhan moden dengan menambah elemen-elemen yang lebih dekat dengan pengalaman pembaca masa kini, khususnya pembaca pelbagai kaum di Malaysia.

Struktur buku ini terdiri daripada cerita-cerita berbingkai yang mampu pula berdiri sendiri, tetapi semuanya masih saling berkaitan dalam pengajaran moral dan tema yang lebih besar. Setiap cerita mempunyai perwatakan dan latar belakang yang berbeza, tetapi semuanya menyumbang kepada gambaran keseluruhan tentang kehidupan manusia, cabaran moral, dan pencarian makna dalam hidup. Uthaya juga menggunakan banyak metafora dan alegori untuk memperlihatkan pelajaran hidup, menjadikan setiap cerita lebih daripada sekadar kisah biasa, tetapi sebuah refleksi mendalam tentang kemanusiaan.

Ternyata Katha Sarit Sagara oleh Uthaya adalah sebuah karya yang sangat menarik dan mendalam, yang membawa pembaca ke dalam dunia cerita-cerita klasik India yang penuh dengan pengajaran moral dan refleksi tentang kehidupan. Uthaya berjaya menghidupkan kembali cerita-cerita lama ini daripada karya klasik Kathasaritsagara dengan sentuhan moden yang relevan, menjadikannya lebih mudah diakses dan difahami oleh pembaca zaman sekarang. Dengan tema-tema besar seperti moral, keberanian, cinta, dan takdir, buku ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi pembaca ruang untuk merenung tentang kehidupan mereka sendiri dan nilai-nilai yang mereka pegang.

Buku ini adalah bacaan yang sangat disarankan kepada pembaca remaja dan dewasa yang tertarik dengan karya India klasik, serta bagi sesiapa yang mencari cerita-cerita yang sarat dengan pengajaran dan makna mendalam. Sesungguhnya, Katha Sarit Sagara oleh Uthaya adalah karya yang berjaya menghubungkan tradisi lama dengan realiti moden, menjadikannya sebuah karya yang relevan dan bermakna dalam konteks sastera kontemporari Malaysia. [Semak stok buku di sini]

19 Dec 2024

Panchayat dan Realiti Sosiopolitik Malaysia

Novel Panchayat: Edisi Khas (2012) adalah edisi kemas kini bagi novel Panchayat (2002) karya Uthaya Sankar SB. Novel ini merupakan karya yang sangat khas dalam genre Sastera Melayu Moden, menggabungkan elemen-elemen realisme sosial, humor, dan satira untuk menyentuh isu-isu politik, sosial, dan budaya dalam masyarakat Malaysia, khasnya kaum India. Dalam novel ini yang menggunakan latar tempat Kubur Gajah, Perak dan latar masa Julai 1960, Uthaya menampilkan sebuah kritikan yang tajam terhadap sistem pemerintahan tempatan, birokrasi, dan ketidakadilan politik yang sering wujud dalam masyarakat.

Novel yang terdiri daripada 18 bab ini mengisahkan kehidupan di sebuah kampung rekaan (fictional) yang dikelola sebuah jawatankuasa panchayat (sejenis badan pentadbiran tempatan dalam masyarakat India). Novel ini menggambarkan bagaimana masyarakat Kubur Gajah berinteraksi dengan sistem pentadbiran tempatan yang penuh dengan birokrasi, ketidakadilan, dan korupsi. Watak utama dalam cerita ini adalah seorang individu yang berusaha melawan ketidakadilan tersebut, namun terperangkap dalam ketegangan antara nilai-nilai moral peribadi dan sistem yang lebih besar serta tidak adil.

Novel Panchayat: Edisi Khas menyoroti bagaimana peranan panchayat dalam masyarakat tempatan boleh menjadi alat untuk menegakkan kuasa dan kepentingan tertentu, tetapi juga menunjukkan bagaimana individu yang berjuang untuk perubahan (reformasi) kadang-kadang harus menghadapi halangan yang besar daripada pihak yang lebih berkuasa. Dalam konteks ini, Panchayat: Edisi Khas memperlihatkan gambaran satira terhadap politik tempatan dan sosial yang sering kali penuh dengan paradoks dan konflik.

Salah satu tema utama dalam novel ini ialah kritikan terhadap sistem birokrasi yang membelenggu masyarakat. Uthaya menggambarkan bagaimana sistem pentadbiran panchayat yang sepatutnya berfungsi untuk kebaikan rakyat, sering kali menjadi alat untuk mengekalkan kuasa dan kepentingan segelintir individu. Dalam novel ini, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang tampuk kuasa menjadi tema yang sangat ketara.

Karya Bahasa Malaysia ini menggunakan elemen satira untuk menggambarkan kepincangan dalam masyarakat. Penulis menggunakan unsur humor dan sindiran untuk menyampaikan mesej yang lebih serius mengenai masalah sosiopolitik. Teknik satira ini bertujuan memprovokasi pemikiran pembaca mengenai realiti kelemahan sistem pemerintahan dan kehidupan sosial dalam realiti semasa.

Tema perjuangan individu dalam melawan ketidakadilan merupakan salah satu elemen yang menggerakkan naratif novel ini. Watak utama Raja dan Ramani yang cuba menentang sistem yang korup dan tidak adil digunakan oleh pengarang untuk menggambarkan usaha-usaha kecil membawa perubahan, walaupun dalam banyak hal, usaha Raja dan Ramani seolah-olah sia-sia kerana wujud kuasa politik lebih besar.

Gaya penulisan yang digunakan dalam Panchayat: Edisi Khas adalah satira dan penuh dengan sindiran. Uthaya menggunakan bahasa yang biasa dan mudah difahami; namun pada masa sama sarat dengan makna dan kritikan. Humor yang digunakan dalam novel ini tidak hanya berfungsi untuk menghiburkan, tetapi juga berperanan menyampaikan kritikan sosial dan politik yang tajam. Gaya ini menjadikan novel menarik untuk dibaca kerana ia menggabungkan elemen hiburan dengan mesej yang mendalam.

Salah satu ciri khas dalam gaya penulisan Uthaya ialah kemampuan menggambarkan realiti sosial dan politik semasa secara berselindung tetapi tetap memberi kesan yang mendalam kepada pembaca. Penulis menggunakan watak yang sering kali berdepan dengan dilema moral, dan perkara ini membantu mencipta cerita yang penuh dengan ketegangan antara nilai-nilai peribadi dan realiti sosial.

Salah satu kekuatan utama novel ini ialah keberanian penulis mengkritik sistem pentadbiran, politik, dan kehidupan sosial melalui lensa satira. Novel Panchayat: Edisi Khas memberikan pembaca pandangan yang jelas tentang bagaimana sistem birokrasi politik dan ketidakadilan boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat, sekali gus memberi peluang kepada pembaca untuk merenung kembali tentang ketidakadilan sosiopolitik dalam masyarakat pada masa kini.

Uthaya berjaya memanfaatkan unsur humor untuk mengkritik isu sosiopolitik yang serius. Teknik satira ini memberikan dimensi yang lebih menarik kepada novel dan membolehkan pembaca melihat isu-isu berat dengan cara yang lebih ringan dan menghiburkan. [Baca petikan di sini]

Watak-watak dalam Panchayat: Edisi Khas digambarkan dengan sangat realistik, dengan konflik dalaman dan luaran yang jelas. Watak utama Raja dan Ramani yang berusaha melawan sistem yang tidak adil menjadi simbol perjuangan individu dalam masyarakat yang lebih luas. Pembaca dapat merasakan kekecewaan dan ketidakberdayaan dua watak ini, sekali gus menjadikan cerita lebih sinonim dengan pengalaman sebenar masyarakat di Malaysia.

Watak Revathi, Malliga, Janaki, Senthamarei, Sitambaram, James Arivalahan, Lee Kim Seng, Mahmood Abdullah, Maramanden, dan sebagainya turut digunakan untuk menyampaikan mesej berbentuk kritikan terhadap ketidakadilan sosiopolitik dalam masyarakat.

Meskipun novel ini mempunyai unsur humor dan satira, isu-isu sosial dan politik yang diketengahkan secara simbolik dan tersirat sangat relevan dengan realiti masyarakat Malaysia. Isu seperti ketidakadilan, birokrasi yang membelenggu, dan konflik kelas sosial masih terus wujud dalam masyarakat kita, maka menjadikan novel Panchayat: Edisi Khas sangat penting dalam konteks Sastera Moden Malaysia.

Namun begitu, pembaca yang tidak memahami situasi sosiopolitik negara serta sosiobudaya kaum India mungkin berasa sedikit “terasing” dengan beberapa peristiwa dalam novel ini. Walaupun cerita yang disampaikan secara kreatif oleh Uthaya bersifat universal, pemahaman yang lebih mendalam mengenai sosiopolitik Malaysia mungkin diperlukan untuk pembaca benar-benar memahami semua lapis makna dalam novel ini.

Tidak keterlaluan untuk meletakkan Panchayat: Edisi Khas sebagai sebuah novel yang penuh dengan satira tajam terhadap birokrasi, ketidakadilan, politik, dan sistem pentadbiran tempatan (panchayat). Uthaya berjaya menggambarkan ketegangan antara individu dan sistem, sambil menggunakan humor dan sindiran untuk menyampaikan mesej yang mendalam mengenai perjuangan sosial. Dengan watak-watak yang kompleks dan tema yang relevan, novel ini adalah bacaan yang baik bagi khalayak yang ingin memahami secara lebih mendalam dinamika sosial dan politik dalam masyarakat Malaysia.

Bagi pembaca yang menghargai karya sastera yang menggabungkan gaya santai dan humor dengan kritikan sosial yang serius, novel Panchayat: Edisi Khas adalah sebuah novel yang sangat disarankan. Novel ini memberi peluang kepada pembaca merenung kembali tentang masalah ketidakadilan sosial dan politik dalam masyarakat sambil menikmati cerita yang penuh dramatik. [Semak stok di sini]