21 Dec 2011

Interlok – MIC Undang Padah

Sesungguhnya “pendedahan” Presiden MIC, Datuk G. Palanivel seperti yang disiarkan di akhbar theSun semalam (19 Disember 2011) menunjukkan kemungkinan (ulang: kemungkinan) ada usaha (konspirasi?) pihak tertentu “menipu” serta “mengabui mata” rakyat pelbagai kaum di negara ini berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Berikut beberapa persoalan yang timbul dalam minda saya sebaik membaca pendedahan dan pengakuan terbaru Datuk Palanivel:


1. Kalaulah sejak 12 Mei 2011, MIC sudah tahu bahawa novel Interlok Edisi Murid akan ditarik balik pada 2012, mengapa perlu menandatangani dokumen dan mengizinkan novel itu dicetak semula dengan hanya 20 peratus daripada lebih 100 pindaan yang sudah diperakukan?


2. Kalaulah sejak 12 Mei 2011, NIAT sudah tahu perkara sama, mengapa perlu melakukan segala apa yang dilakukan – cadangan mogok lapar, memo ke Istana Negara, laporan polis dan sebagainya?


3. Kalaulah benar Kabinet benar-benar sudah membuat keputusan menarik balik novel itu, mengapa sampai Timbalan Menteri Pelajaran tidak tahu? (Walaupun Dr Mohd Puad Zarkashi tidak hadir mesyuarat, tentu ada catatan/minit yang dibuat Menteri Pelajaran sebagai rujukan.)


4. Mengapa MIC mengizinkan novel itu dicetak semula dengan hanya sekitar 20 peratus pindaan sedangkan keputusan sudah dibuat pada Mac 2011 bagi lebih 100 pindaan; termasuk enam perkara khusus berkaitan hak dan maruah pengarang. Siapa yang memberi hak kepada MIC untuk “menolak” keputusan supaya Hak Cipta novel dikembalikan kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dalam cetakan baru (Interlok Kulit Biru)?


5. Kalaulah benar keputusan menarik balik novel itu sudah dibuat oleh Kabinet sebelum 12 Mei 2011, mengapa kerja-kerja pemurnian dan mencetak semula novel itu diteruskan? Siapa beri kuasa kepada Kementerian Pelajaran untuk membazir wang rakyat dengan cara itu; iaitu mencetak semula buku sedangkan sudah diputuskan oleh Kabinet bahawa novel itu tidak akan digunakan di sekolah.


Mungkin ada pihak yang terlalu emosional dan marah-marah membaca analisis, kenyataan dan pertanyaan saya di atas. Maka, berikut ringkasan “plot” cerita (sandiwara?) bagi membantu pemahaman:


16 Februari 2011 – Panel Bebas Meminda Interlok Edisi Murid memulakan tugas.


4 Mac 2011 – Panel Bebas secara konsensus (sebulat suara) bersetuju membuat pindaan (pemurnian) melibatkan kesalahan fakta, kesilapan bahasa dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum (ulang: mana-mana kaum).


16 Mac 2011 – Tiga wakil kaum India keluar dari Panel Bebas berikutan “asakan” dan “desakan” supaya hanya satu pindaan dilakukan pada novel Interlok Edisi Murid; iaitu perkataan “p****”. Terdahulu, anggota lain dalam Panel Bebas “menarik balik” saranan pindaan melibatkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan Cina.


23 Mac 2011 – Pertemuan tiga wakil kaum India (Dr NS Rajendran, Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB) bersama Menteri Pelajaran. Hadir sama, Presiden MIC serta timbalannya. Selepas dibahas dan dihujahkan, Menteri Pelajaran bersetuju dengan kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India; melibatkan perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India, kesalahan fakta, kesilapan bahasa dan hak pengarang.


24 Mac 2011 – Menteri Pelajaran mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa pindaan akan dilakukan seperti dipersetujui. Formula yang digunakan adalah 19 + 87; iaitu 19 perkara menyentuh sensitiviti kaum India dan baki 87 adalah kesalahan fakta, kesilapan bahasa dan hak pengarang.


25 Mac 2011 – Taklimat media di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur. Krishnabahawan turut menyampaikan pengesahan dari pejabat Perdana Menteri (diterima menerusi telefon sejurus sebelum taklimat) bahawa Menteri Pelajaran bersetuju agar novel Interlok Edisi Murid dicetak semula dengan segala pindaan.


Maka, sepatutnya, segala apa yang dilakukan selepas pengumuman rasmi di Dewan Rakyat (24 Mac 2011) haruslah menjurus ke arah melaksanakan keputusan yang diumumkan itu.


Bagaimanapun, “plot” berikut juga wajar diperhatikan; termasuk “pendedahan” terkini Datuk Palanivel yang mengubah “jalan cerita” dalam kontroversi ini:


28 Mac 2011 – Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel Interlok Edisi Murid walaupun jika pindaan dibuat dan kenyataan ini dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia pada 22 Jun 2011.


12 Mei 2011 – Datuk Palanivel memberitahu pengerusi NIAT, Datuk Haji Thasleem Mohamed Ibrahim bahawa Interlok Edisi Murid tidak akan digunakan mulai tahun 2012. Maklumat ini disiarkan di theSun pada 19 Disember 2011.


28 Mei 2011 – NIAT umum akan mengadakan mogok lapar sehingga kerajaan bersetuju menarik balik novel berkenaan. “Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar,” Datuk Haji Thasleem dilaporkan berkata. Hairan! Mengapa perlu buat mogok lapar selepas sudah mendapat “berita gembira” daripada Presiden MIC pada 12 Mei 2011?


21 Jun 2011 – Dr Mohd Puad sahkan bahawa pelekat diguna untuk meminda novel Interlok Edisi Murid.Akhbar New Straits Times melaporkan bahawa guru-guru akan membuat kerja itu.


21 Jun 2011 – Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) keluarkan kenyataan membantah tindakan itu kerana pindaan menggunakan “pelekat ajaib” adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan Menteri Pelajaran.


22 Jun 2011 – Dr Mohd Puad umumkan bahawa Kementerian Pelajaran setuju untuk mencetak semula novel berkenaan.


6 Ogos 2011 – Saya memberitahu wakil MIC bahawa sekiranya parti politik itu meluluskan pencetakan semula novel berkenaan dengan hanya sekitar 20 peratus daripada lebih 100 pindaan yang dipersetujui, maka masyarakat yang sedia marah pada MIC akan bertambah marah.


12 November 2011 – Kavyan menerima foto kulit novel Interlok Kulit Biru yang dikirim seorang pelajar. Kavyan gembira kerana nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dicetak pada kulit depan cetakan baru itu. Kavyan menganggap ini sebagai “kejayaan pertama”.


12 November 2011 – NIAT serah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Hairan! Mengapa perlu berbuat demikian sedangkan NIAT sudah mendapat “berita gembira” daripada Presiden MIC pada 12 Mei 2011.


22 November 2011 – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah menggesa supaya novel Interlok diharamkan. Demikian dilaporkan akhbar Malaysia Nanban.


29 November 2011 – Selepas meneliti Interlok Kulit Biru pada 25-28 November 2011, Kavyan mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa novel yang dicetak semula itu belum dimurnikan seperti dijanjikan Menteri Pelajaran di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.


3 Disember 2011 – NIAT membuat laporan polis terhadap enam pihak – iaitu Menteri Pelajaran, Presiden MIC, Presiden MCA, Presiden Gerakan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Panel Bebas Meminda Novel Interlok Edisi Murid – kerana “telah menyalah guna kuasa mereka dan mengelirukan orang ramai dengan memberi maklumat tidak tepat” seperti dilaporkan di media.


8 Disember 2011 – Dr NS Rajendran dan Krishnabahawan mengesahkan kepada saya bahawa mereka “menerima” dan “meluluskan” novel Interlok Edisi Murid dicetak semula walaupun menyedari hanya sekitar 20 peratus daripada lebih 100 pindaan yang diperakukan telah dibuat dalam edisi baru itu.


10 Disember 2011 – Datuk Palanivel berkata, segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel itu sudah dibetulkan. “Saya menandatangani surat izin itu selepas kami (MIC dan dua wakil kaum India dalam Panel Bebas) meneliti draf pindaan. Kami puas hati bahawa apa-apa yang sensitif sudah dikeluarkan,” katanya seperti dilaporkan di akhbar Makkal Osai. Hairan! Mengapa perlu setuju novel dicetak semula sedangkan pada 12 Mei 2011 memberitahu pengerusi NIAT bahawa novel itu akan ditarik balik?


16 Disember 2011 – Tersebar berita bahawa novel Interlok Edisi Murid akan ditarik balik pada tahun 2012. Datuk Palanivel dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan laporan itu. Hairan! Mengapa perlu ditarik balik jika MIC sendiri meluluskan dan mengizinkan novel itu dicetak semula; malah MIC “puas hati” dengan hanya sekitar 20 peratus pindaan.


17 Disember 2011 – Kavyan keluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini isu ini; iaitu berikutan tersebarnya “berita” bahawa Interlok Edisi Murid akan ditarik balik.


18 Disember 2011 – Akhbar mingguan Minnal menyiarkan berita muka depan yang memetik kenyataan Kavyan dengan tajuk “Novel Interlok ditarik balik? Apa kenyataan rasmi Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin?”


18 Disember 2011 – Saya menulis di blog dengan tajuk “Don’t jump the gun!” kerana ramai yang beranggapan keputusan rasmi menarik balik Interlok Edisi Murid sudah dibuat semata-mata berikutan pengumuman Datuk Palanivel dan Datuk Dr Subramaniam.


19 Disember 2011 – Dr Mohd Puad menyelar tindakan Datuk Palanivel dan Datuk Dr Subramaniam yang disifatkannya “had jumped the gun” dalam isu ini. Akhbar theSun melaporkan beliau sebagai berkata, tindakan mereka berdua boleh menimbulkan salah faham. Datuk Termuzi turut mengesahkan DBP tidak dimaklumkan mengenai penarikan balik novel itu.


Maka, tidak salah apabila saya menulis komen di Free Malaysia Today pada 17 Disember 2011 dengan tajuk “Musim Baru Sandiwara Interlok?” atau faksyen “Interlok dan Siru Kambam” (21 & 28 November 2011).


Namun, orang masih bertanya dan tertanya-tanya dari mana saya mendapat segala bahan, idea dan plot bagi fiksyen dan faksyen yang saya hasilkan!



(Uthaya Sankar SB adalah pemilik ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ yang didaftarkan pada Mac 2011. Beliau juga presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 1999. Analisis ini ditulis berdasarkan kenyataan di BLOG dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lengkap kontroversi ini sejak Disember 2011.)