Monday, 15 March 2010

Melepaskan Jawatan Penyunting Berita

Tuan Pengarah
Berita Ehwal Semasa
Jabatan Penyiaran Malaysia
Kuala Lumpur
.

Tuan,

.

Melepaskan Jawatan Sebagai Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV)

.

Berhubung perkara di atas, saya percaya Tuan Pengarah BES sedia maklum bahawa saya telah meminta Ketua Meja Berita Bahasa Malaysia mengeluarkan nama saya daripada jadual kerja Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) bermula 8 April 2008.

.

2. Saya terpaksa mengambil keputusan nekad itu berikutan suatu insiden yang menjejaskan reputasi saya sebagai seorang individu yang mempunyai integriti, maruah dan harga diri.

.

3. Pada Jun 1996, saya telah dihubungi oleh Pengarah BES (Encik Mat Hussain) yang mendapat maklumat mengenai diri saya daripada pelbagai laporan akhbar mengenai aktiviti bahasa dan sastera yang saya kendalikan. Beliau menawarkan saya peluang menjadi Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) sebagai staf kontrak. Saya memulakan tugas pada 2 Julai 1996.

.

4. Pada tahun 1999, apabila subjek wajib Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), saya menjadi antara pensyarah perintis yang diberi kepercayaan mengajar subjek-subjek berkenaan di beberapa IPTS di Lembah Klang.

.

5. Pada tahun 2002, memandangkan komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerja sebagai pensyarah di beberapa buah IPTS, serta mahu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, saya meminta dilepaskan daripada tugas Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) di RTM. Saya mengambil keputusan itu kerana tidak mahu prestasi kerja saya di RTM terjejas akibat tanggungjawab penuh sebagai pensyarah serta aktiviti sastera di bawah Kumpulan Sasterawan Kavyan yang saya asaskan pada Ogos 1999.

.

6. Pada Januari 2005, saya dihubungi oleh Encik Rashid Woon yang memaklumkan bahawa Datuk Seri Zainuddin Maidin mencadangkan serta menawarkan saya peluang menjadi Pengulas Akhbar. Saya menerima tawaran itu sebagai menghormati dan menghargai keyakinan yang diletakkan oleh Datuk Seri Zainuddin Maidin yang saya kenali sejak beliau masih di Utusan Malaysia dahulu.

.

7. Saya memulakan tugas sebagai Pengulas Akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 2 Februari 2005.

.

8. Bermula 15 April 2007, segmen ulasan akhbar dikenali sebagai Akhbar Hari Ini dan diletakkan di bawah Bilik Berita TV. Saya terus ditawarkan peluang menjadi Pengulas Akhbar.

.

9. Pada April 2007, Tuan Pengarah BES telah menawarkan saya menjadi Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) berdasarkan pengalaman, rekod perkhidmatan lama, dan untuk menampung kekurangan penyunting berita.

.

10. Saya pada mulanya keberatan kerana masih mempunyai komitmen tinggi sebagai pensyarah di beberapa IPTS. Bagaimanapun, sebagai menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh Tuan Pengarah BES, saya menerima tawaran itu, dan memulakan tugas Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) pada 2 Mei 2007.

.

11. Pada Jun-September 2007, atas saranan Datuk Seri Zainuddin Maidin, saya membuat liputan dan laporan khas berkaitan isu “Bahasa Malaysia” dengan mewawancara khalayak pelbagai kaum. Bagi saya, berita Bahasa Malaysia wajar menampilkan masyarakat pelbagai kaum yang fasih Bahasa Malaysia.

.

12. Dalam melaksanakan tugas sebagai Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV), seperti yang Tuan Pengarah BES sedia maklum, saya tidak berkompromi dalam soal memperkasakan dan mendaulatkan Bahasa Malaysia. Keprihatinan saya sering mendapat perhatian dan sokongan Dato’ Adilah Shek Omar.

.

13. Menjelang sambutan Deepavali pada akhir 2007, saya mengambil inisiatif membuat 7 laporan khas mengenai perayaan itu untuk siaran berita Bahasa Malaysia.

.

14. Sepertimana yang Tuan Pengarah BES sedia maklum, apabila ditimbulkan di Parlimen bahawa Berita TV RTM kurang membuat liputan mengenai sambutan Deepavali, skrip dan laporan saya telah diminta untuk dijadikan bahan bukti bahawa Berita TV RTM ada membuat liputan mengenai sambutan Deepavali.

.

15. Pada akhir tahun 2007, saya mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai pensyarah di IPTS kerana mahu memberikan komitmen penuh terhadap kerja-kerja di RTM. Setelah berbincang dengan Tuan Pengarah BES, saya segera mengisi borang permohonan untuk menjadi staf sepenuh masa. Sekiranya dibandingkan, gaji saya sebagai pensyarah IPTS jauh lebih tinggi berbanding gaji di RTM. Namun, saya tinggalkan kerja pensyarah IPTS kerana mahu memberi komitmen penuh dan setia pada RTM.

.

16. Pada Januari 2008, saya dimaklumkan oleh Tuan Pengarah BES bahawa Datuk Seri Zainuddin Maidin “mengarahkan” saya menjadi Penyampai Berita Bahasa Malaysia. Saya menerimanya bukan sebagai “arahan” tetapi sebagai menghargai serta menghormati keyakinan yang diletakkan oleh beliau. Tambahan pula, pencalonan nama saya disokong kuat oleh Datuk KSU dan Dato’ Adilah.

.

17. Bermula pertengahan Mac 2008, saya menawarkan diri dan menjadi penulis sarikata bagi siaran langsung rancangan Karuthu Kalam (Diskusi Tamil).

.

18. Saya tidak menyesal meninggalkan jawatan pensyarah IPTS pada Disember 2007 untuk memberi komitmen penuh di RTM sebagai Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV), Penyampai Akhbar Hari Ini, Penyampai Berita Bahasa Malaysia dan penulis sarikata siaran langsung Karuthu Kalam.

.

19. Malah, pada pagi 7 April 2008, saya menghubungi Tuan Pengarah BES untuk bertanya mengenai permohonan saya menjadi staf sepenuh masa di RTM. Saya terpaksa bertanya kerana sejak melepaskan jawatan pensyarah IPTS pada Disember 2007, saya tidak menikmati potongan KWSP dan pelbagai insentif lain.

.

20. Ironinya, pada tarikh 7 April 2008 juga berlaku insiden yang menjejaskan reputasi saya sebagai seorang individu yang mempunyai integriti, maruah dan harga diri.

.

21. Tarikh berkenaan merupakan sambutan Tahun Baru Ugadi bagi masyarakat India berketurunan Telegu. Saya telah membuat laporan khas sepanjang 1 minit 46 saat untuk siaran Warta Satu (1:00 tengah hari di RTM1).

.

22. Bahan berita itu pada mulanya telah dimasukkan dalam senarai bahan bagi siaran dalam Warta Satu. Bagaimanapun, sebaik sahaja siaran Warta Satu bermula, saya mendapati bahawa bahan laporan khas itu telah ditahan (hold) daripada siaran. Saya menyangka mungkin ada masalah pada bahan visual; lalu bertanya kepada penerbit yang bertugas.

.

23. Penerbit terbabit memberitahu saya, “Tok Wan (Tuan Pengarah BES) suruh hold bahan ini sebab sensitif. Dia nak baca dulu sebelum dilulus untuk siaran.”

.

24. Saya terkejut dan hairan mendengar alasan itu atas beberapa sebab. Satu, saya telah menghubungi Tuan Pengarah BES beberapa jam sebelum itu dan tahu bahawa Tuan Pengarah BES berada di Melaka. Dua, tidak ada sebarang perkara sensitif dalam skrip mahupun visual bahan berita berkenaan.

.

25. Maka, selepas Warta Satu tamat, saya bertanyakan soalan yang sama kepada penerbit terbabit. Beliau membuat pengakuan bahawa beliau dan dua lagi penyunting yang bertugas pada hari itu yang sebenarnya memutuskan bahawa bahan berita mengenai sambutan Tahun Baru Ugadi adalah “sensitif” dan “tidak perlu disiarkan kerana masyarakat Telegu hanya kelompok minoriti”.

.

26. Apabila saya meminta penjelasan berhubung soal mengapa nama Tuan Pengarah BES digunakan, dan apa yang “sensitif”, penerbit terbabit mula memberi alasan bahawa bahan berita itu terlalu panjang untuk siaran! Sekiranya rundown dirujuk, akan jelas bahawa bahan-bahan Warta Satu pada hari berkenaan (7 April 2008) adalah amat kurang; sehingga banyak bahan lama diulang siar.

.

27. Susulan daripada insiden itu, sudah mula kedengaran pelbagai desas-desus yang menjejaskan reputasi saya sebagai seorang individu yang mempunyai integriti, maruah dan harga diri.

.

28. Antaranya: “Dia memang ada agenda lain”, “Dia memang nak masukkan anasir-anasir Keling dalam berita Melayu” dan “Tentu dia dah masuk (menerima wang sebagai rasuah) untuk siar bahan-bahan tu dalam berita”.

.

29. Insiden pada 7 April 2008 telah membuka mata dan minda saya untuk mengetahui serta memahami tanggapan kelompok tertentu terhadap saya. Walau apapun yang saya lakukan selepas insiden itu, pasti akan ada suara-suara sumbang yang beranggapan: “Dia memang ada agenda lain”, “Dia memang nak masukkan anasir-anasir Keling dalam berita Melayu” dan “Tentu dia dah masuk (menerima wang sebagai rasuah) untuk siar bahan-bahan tu dalam berita”.

.

30. Walaupun saya mahu setia dan komited dengan RTM, namun adalah mustahil untuk saya melakukannya berikutan perkara-perkara yang telah berlaku.

.

31. Maka, sebagai seorang individu yang mempunyai integriti, maruah dan harga diri, saya memilih secara baik untuk melepaskan jawatan Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) di RTM.

.

32. Saya akan memohon kerja sepenuh masa di tempat lain; atau kembali menjadi pensyarah IPTS – bergantung pada tawaran mana yang datang dahulu.

.

33. Sekiranya khidmat saya masih diperlukan di RTM, saya masih boleh menjadi Penyampai Akhbar Hari Ini secara piecemeal seperti sekarang.

.

34. Sekiranya diperlukan juga, saya masih boleh menjadi Penyampai Berita Bahasa Malaysia secara piecemeal seperti sekarang.

.

35. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengarah BES atas segala kepercayaan, sokongan, peluang dan ruang yang diberikan kepada saya selama ini.

.

Sekian. Terima kasih.

.

Uthaya Sankar SB

10 Mei 2008
.

Catatan: Skrip laporan yang dimaksudkan boleh dibaca DI SINI untuk melakukan penilaian sendiri.