Demikian dia mengumumkan kepada orang ramai pada suatu pagi. Waktu itu, para penduduk Siru Kambam sedang berkumpul di tebing sungai untuk menyaksikan seorang pemuda kampung yang berusaha menyelam di dalam air selama dua puluh dua jam tanpa menyedut udara.
“Saya sangat memerlukan seorang ibu,” katanya lagi sejurus kemudian apabila pengumuman awalnya kurang mendapat perhatian. “Ada sesiapa di sini yang bersedia menerima tawaran saya?”
Kali ini orang ramai mula tertarik dengan tawaran yang dilakukannya. Rata-rata penduduk Siru Kambam tahu bahawa pemuda berkenaan memiliki latar belakang yang positif. Dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di dalam kampung. Dia juga belum pernah melibatkan diri dalam apa-apa masalah yang timbul.
Tapi kenapa dia tiba-tiba memerlukan seorang ibu? Demikian orang ramai tertanya-tanya.
Setahu mereka, pemuda berkenaan hidup sendirian di rumah tumpangan di tengah Siru Kambam. Terdapat enam bilik di rumah besar itu yang dibina mengikut gaya rumah tradisional India. Seorang lelaki tua yang pernah menjadi kangani di Ladang Tebu Siru Kambam tinggal di sebuah bilik. Pemuda ini pula menyewa sebuah bilik. Empat lagi bilik disewakan kepada sesiapa yang datang ke Siru Kambam.
Pada waktu pagi, pemuda berkenaan akan berpakaian kemas dan pergi kerja di bandar Taiping. Pada sebelah petang, dia pulang. Kadang-kadang dia kelihatan di kuil Sivaperuman. Ada waktunya dia pergi ke pasar malam di Taman Pertama.
Tidak ada maklumat lain yang diketahui penduduk Siru Kambam. Tiada informasi mengenai keluarganya. Khabarnya, dia berasal dari Kedah. Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan mengenai perkara itu.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!