22 Mar 2010

Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta


Kami memutuskan untuk membunuh sasterawan berkenaan setelah menyedari bahawa kedudukannya dalam peta sastera Pulau Cinta semakin kukuh.
.

“Kalau dibiarkan, dia mungkin terpaksa diperakukan sebagai sasterawan terkemuka Pulau Cinta,” kata Rama yang mempengerusikan mesyuarat.

.

“Tapi, bagaimana?” tanya Ravana. “Bukankah dia semakin prolifik berkarya? Baru-baru ini karyanya menang lagi Anugerah Sastera Pulau Cinta. Dan kalau tak silap saya, tahun depan karyanya layak menang lagi.”

.

Masing-masing terdiam seketika. Masing-masing mula membelek buku-buku sastera yang bertimbun di atas meja mesyuarat. Halaman demi halaman diselak. Dalam diam, masing-masing mengakui kehebatan sasterawan berkenaan berkarya.

.

Nah! Itulah masalahnya. Penulis yang bukan penduduk peribumi Pulau Cinta sudah mampu menguasai sepenuhnya Bahasa Pulau dan mampu pula menghasilkan karya sastera yang sudah tidak dapat dipertikaikan ketinggian mutunya.

.

“Dia tidak boleh dibiarkan.” Rama menggeleng sambil menghisap rokok tembakau. “We have created a monster! Dia sudah berani bersuara lantang dan mengkritik melalui karya.”

.

Untuk seketika, wakil Penerbit Buku Dewasa (PBD) merasakan seperti pihaknya dipersalahkan dalam hal ini. Memang PBD bertanggungjawab menerbitkan sembilan daripada sepuluh buku cerita yang dihasilkan oleh sasterawan berkenaan.

.

“Karyanya memang sudah tersiar di akhbar dan majalah sebelum dijadikan buku,” kata wakil PBD dengan harapan dapat menangkis sebarang andaian bahawa pihaknya bersalah dalam isu yang timbul sekarang.

.

“Bukan salah PBD,” kata Ravana setelah memandang Rama sekilas lalu. “Dia memang hebat. Itu hakikat yang terpaksa kita akui.”

.

Azmi yang turut dipanggil menghadiri mesyuarat itu mengangguk dalam diam. Sebagai editor yang menangani beberapa kumpulan cerpen sasterawan berkenaan, dia sedar benar akan ketinggian mutu karya terbabit. Sukar dicari salah.

.

“Ini,” kata Rama pula seraya mengangkat Fail Merah yang mencatatkan nama sasterawan berkenaan pada kulit hadapan. “Segala laporan akhbar dan tulisan mengenai sasterawan itu ada di sini. Kamu semua tentu sudah membaca Fail Merah sebelum datang ke mesyuarat ini.”

.

Dalam diam, Azmi tersenyum puas. Dia memang mengiri kehebatan sasterawan tersebut. Sepanjang dia bertugas mengedit manuskrip kumpulan cerpen sasterawan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, rasa cemburunya semakin membusut. Cemburu atas penguasaan Bahasa Pulau oleh sasterawan berkenaan. Cemburu atas daya kreativiti. Cemburu atas keberanian sasterawan berkenaan mengemukakan isu-isu masyarakat dalam karya. Cemburu atas kemampuan sasterawan berkenaan menggambarkan citra budaya komunitinya dalam karya sastera Bahasa Pulau.

.

Ah! Azmi membenci istilah itu. Dia membenci istilah “Bahasa Pulau”.


.

(Petikan cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” dalam Rudra Avatara, 2008) [Wajib baca: Kisah di Sebalik Fail Merah]