21 Mar 2010

Kegiatan Sastera Kavyan 2003/2004

Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2003, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor menganjurkan acara Baca Cerpen Kavyan yang berlangsung tanpa henti selama 96 jam 32 minit di Galeri Shah Alam. Seramai 166 peserta pelbagai kaum dan usia menjayakan acara ini sehingga tercatat dalam The Malaysia Book of Records.
.
Antara objektif acara berkenaan adalah untuk memasyarakatkan sastera, membudayakan baca cerpen serta memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan. Kavyan bukan semata-mata cuba mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. Sebaliknya, acara baca cerpen dijadikan aktiviti bulanan dan sudah menjadi sinonim dengan Kavyan.
.
Selain acara membaca teks cerpen, Kavyan turut memasukkan aktiviti baca novel dan novelet. Siri baca cerpen ini dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak yang turut menyokong usaha dan objektif aktiviti ini diadakan. Pada waktu yang sama, Kavyan terlibat dalam menganjurkan beberapa aktiviti dalam usaha mempromosi karya sastera, khususnya kepada generasi muda.
.
Pada 19 Oktober 2003, kanak-kanak dan remaja di Rumah Kebajikan Pure Life Society, Jalan Puchong menjayakan acara Baca Cerpen PLS yang diadakan khusus untuk memberi peluang kepada mereka membaca cerpen kegemaran masing-masing.
.
Seterusnya, Baca Cerpen SIT berlangsung di Kolej Antarabangsa S.I.T., Klang pada 8 November 2003 dan menampilkan pelajar kolej berkenaan membaca cerpen-cerpen pilihan mereka dari akhbar dan majalah.
.
Baca Cerpen TOA pula berlangsung pada 20 November 2003 di mana pelajar Kolej The One Academy, Bandar Sunway yang mengambil kursus LAN1001-Bahasa Malaysia menunjukkan bakat dan kebolehan membaca cerpen di pentas.
.
Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Kavyan pula menganjurkan Diskusi Karya Sasterawan Kaum India pada 16 Disember 2003 di mana panel terdiri daripada SN Datuk Dr A. Samad Said, Pengarah Penerbitan DBP Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Prof Dr Siti Hawa Salleh dan Prof Madya Dr Krishanan Maniam. Inilah pertama kali diskusi rasmi diadakan khusus untuk membicarakan karya penulis kaum India.
.
Tahun 2004 dimulakan dengan kegiatan sastera yang terus rancak. Majlis Aprsiasi Sastera Kaum India berlangsung di Morib, Selangor hasil kerjasama Majlis Kebudayaan Selangor serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor. Panel terdiri daripada Datuk Dr A. Samad Said dan penyair Tamil tempatan, Re. Shanmugam.
.
Bengkel Penulisan Cerpen yang dibimbing oleh Saroja Theavy Balakrishnan diadakan pada Januari 2004 di SMK Alam Megah, Shah Alam manakala Bengkel Karyawan Muda dijayakan di Kamunting, Perak pada bulan yang sama.
.
Wakil Kavyan, iaitu Uthaya Sankar SB, S.G. Prabhawathy dan Vijayaletchumy Vellasamy, turut diundang oleh Persatuan Penulis Tamil Malaysia ke Seminar Puisi Moden Tamil di Tanjung Malim, Perak pada 14-15 Februari 2004 untuk membimbing sekumpulan penulis Tamil mengenai cara-cara mendeklamasi sajak.
.
Kavyan turut diberi penghormatan dengan dijemput menghantar tiga wakil pada Seminar Kebangsaan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Etika Awam Malaysia (IEAW) pada Februari 2004 untuk membincangkan serta memberi input terhadap pelaksanaan PIN dan IEAW.
.
Baca Cerpen A. Samad Said di Kolej Prime USJ, Subang Jaya pula berjaya dianjurkan pada 28 Februari 2004 dengan turut menjemput SN Datuk Dr A. Samad Said yang juga merupakan Penasihat Agung Kavyan. Turut hadir, anak beliau, Az Samad yang membaca cerpen di pentas bagi kali pertama.
.
Seterusnya, bulan Mac 2004 menyaksikan penglibatan Kavyan dalam menjayakan tiga aktiviti sastera di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Deklamasi Penyair Muda membuka ruang kepada kanak-kanak dan remaja yang mengharapkan peluang mengasah bakat dan minat membaca sajak di pentas.
.
Kursus Penulisan Cerpen pula dikendalikan untuk melatih remaja mendalami teknik menulis cerpen manakala Baca Novel Kavyan menampilkan 35 peserta di mana novel berjudul Panchayat selesai dibaca di pentas secara bergilir-gilir dalam masa 6 jam 40 minit.
.
Mulai April 2004, Kavyan memulakan program bulanan yang dinamakan Apresiasi Sastera Kanak-kanak dan Apresiasi Sastera Remaja dalam usaha berterusan memasyarakatkan sastera, menimbulkan minat menulis karya serta mencintai bahasa kebangsaan. Program sulung berlangsung dengan jayanya di SJK (T) Hicom, Shah Alam dan SMK Subang Utama, Subang Jaya.
.
Baca Cerpen Dr Othman Puteh di Kolej The One Academy, Bandar Sunway pada 10 April 2004 pula dianjurkan khusus sebagai mengenang Allahyarham Dr Othman Puteh yang pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan sebelum beliau meninggal dunia pada 19 Oktober 2003. Cerpen-cerpen yang termuat dalam kumpulan Ario dibaca oleh pelajar kolej berkenaan dengan penuh penghayatan.
.
Seterusnya, Baca Cerpen Penulis Mahua di Kolej Antarabangsa S.I.T., Klang pada 6 Mei 2004 di mana sejumlah cerpen penulis Mandarin yang diterjemah ke Bahasa Malaysia dibacakan oleh pelajar kolej berkenaan. Cerpen-cerpen ini dipilih dari antologi berjudul Gadis Dalam Gambar.
.
Baca Cerpen Dr Anwar Ridhwan berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 15 Mei 2004 di mana novelet Di Negeri Belalang telah dibaca oleh kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum. Dr Anwar Ridhwan yang juga merupakan Penasihat Kehormat Kavyan turut membaca bahagian akhir novelet berkenaan. Beliau melahirkan rasa kagum atas penguasaan bahasa kebangsaan dan bakat membaca di pentas yang ditunjukkan oleh murid-murid SJK (T) Hicom dan SJK (T) Seafield.
.
Program Apresiasi Sastera bagi bulan Mei 2004 pula berlangsung di SJK (T) Seafield, Subang Jaya dan Kolej The One Academy, Bandar Sunway. Pembimbing terdiri daripada Uthaya Sankar SB dan S.G. Prabhawathy.
.
Kolej The One Academy sekali lagi menjadi tumpuan pada 8 Jun 2004 apabila berlangsung Baca Cerpen Siswa. Cerpen-cerpen dalam majalah Dewan Siswa (Januari-Mei 2004) dibaca oleh para pelajar kolej berkenaan yang mengambil kursus LAN1001-Bahasa Malaysia.
.
Majlis ilmu bertajuk Diskusi Sastera Kavyan di DBP pada 10 Julai 2004 mencatat satu lagi sejarah pada peta sastera kebangsaan apabila DBP dan Kavyan mempelopori istilah “Sastera Kavyan” dan “Sasterawan Kavyan” bagi merujuk pada karya dan penulis kaum India Malaysia. Panel terdiri daripada novelis terkenal Sri Diah, Prof Madya Dr Mahzan Arshad serta pelakon veteran Aziz Satar.
.
Program Apresiasi Sastera bagi Julai 2004 dikendalikan di SJK (T) Midlands, Shah Alam dan Kolej Prime USJ. Editor Dewan Pelajar dan Dewan Siswa turut hadir untuk menyampaikan ceramah serta membuat liputan berita bagi majalah berkenaan.
.
Baca Cerpen Penulis Tamil di Kolej Antarabangsa S.I.T., Klang pada 24 Julai 2004 menyaksikan hampir 50 remaja dan kanak-kanak naik ke pentas dengan penuh yakin untuk membaca cerpen-cerpen Tamil yang sudah diterjemah ke bahasa kebangsaan dan termuat dalam antologi Seruling Di Persimpangan. Acara ini ditaja Paragon Converters Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang turut berminat membantu usaha Kavyan memasyarakatkan sastera dan membudayakan baca cerpen.
.
Baca Novel Kolej Mara pula berlangsung di Kolej Mara Banting pada 31 Julai 2004 di mana hampir seratus pelajar semester pertama kolej berkenaan membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan secara bergilir-gilir. Program Apresiasi Sastera Remaja turut berlangsung di mana penceramah terdiri daripada Prof Madya Rahman Shaari, Shamsuddin Othman dan Uthaya Sankar SB.
.
Bagi Festival Sastera Kemerdekaan yang berlangsung di Ipoh, Perak pada18-21 Ogos, sembilan wakil Kavyan diterima sebagai peserta dan ini merupakan satu perkembangan positif berhubung pengiktirafan terhadap Sasterawan Kavyan.
.
Novel Jangan Ada Dusta menjadi teks bagi acara Baca Novel Sri Diah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 26 Ogos 2004. Para peserta yang mengambil bahagian menerima novel sumbangan Alaf 21 Sdn Bhd. Pada 28 Ogos 2004 pula, berlangsung acara Deklamasi Penyair Merdeka di Dataran Karyawan, Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam.
.
Acara Baca Cerpen Tunas Cipta pada 29 September 2004 di Kolej Antarabangsa S.I.T menampilkan pembacaan cerpen-cerpen dari majalah Tunas Cipta keluaran September 2004. Manakala cerpen-cerpen dalam antologi Vanakam dibaca di Kolej The One Academy pada acara Baca Cerpen Vanakam.
.
Usaha Kavyan membudayakan baca cerpen, memasyarakatkan sastera serta mendaulatkan bahasa kebangsaan ternyata sudah mula membuahkan hasil yang diharapkan. Semakin ramai kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum mengenali sastera dan mula berminat menyertai aktiviti sastera. Kerjasama pelbagai pihak turut membantu menjayakan aktiviti Kavyan yang dirancang hampir setiap minggu.
.
Pada 11 Oktober 2004, wakil Kavyan diundang ke National University of Singapore untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Speaking in Tongues: The Kavyan Writersmengenai “Sastera Kavyan” dan “Sasterawan Kavyan” pada Malaysian Literature and Cultural Studies Conference. Undangan ini membuka peluang untuk memperkenalkan sastera Bahasa Malaysia kepada pengkaji yang selama ini lebih tertumpu pada karya Bahasa Inggeris.
.
Pada 25 Oktober 2004, Kavyan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Prime USJ menganjurkan Apresiasi Karya Dr Othman Puteh sebagai mengenang sumbangan Allahyarham terhadap sastera kebangsaan. Selain ceramah dan pertunjukan slaid, acara ini turut menampilkan pembacaan cerpen dan lakonan drama sebabak berdasarkan karya Allahyarham.
.
Aktiviti Kavyan bagi bulan November 2004 adalah Baca Cerpen Pulau Cinta di mana sejumlah tujuh cerpen karya Uthaya Sankar SB yang berlatarkan Pulau Cinta dibaca dengan penuh penghayatan oleh pelajar dan remaja pelbagai kaum di Kolej Prime USJ. Perlu dinyatakan bahawa Kolej Antarabangsa S.I.T, Kolej The One Academy dan Kolej Prime USJ sentiasa bekerjasama dengan Kavyan bagi menganjurkan pelbagai aktiviti.
.
Pada bulan Disember 2004, aktiviti yang dianjurkan adalah Baca Cerpen Tunas Cipta 2 di DBP. Manakala Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam menjadi tuan rumah bagi acara Baca Cerpen Anis yang mengetengahkan cerpen-cerpen Dr Amidah @ Hamidah Haji Abdulhamid dalam kumpulan Cinta Jamuna.
.
Ternyata aktiviti Kavyan adalah sepanjang tahun; malah hampir setiap minggu. Komitmen jawatankuasa serta kerjasama padu yang diberikan oleh pelbagai pihak memudahkan usaha Kavyan merancang serta melaksanakan begitu banyak aktiviti sastera dan budaya.
.
Kavyan berazam meneruskan aktiviti dengan penuh komitmen pada tahun-tahun akan datang. Bagi tahun 2005, karya sasterawan generasi muda seperti Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Kamariah Kamaruddin, Mawar Shafie dan Saroja Theavy Balakrishnan dijadikan teks acara Baca Cerpen.
..
Pihak Dewan Pelajar dan Dewan Siswa bersetuju meneruskan program Apresiasi Sastera sementara Bahagian Majalah DBP sedia menganjurkan Baca Cerpen Tunas Cipta setiap tiga bulan. Sokongan dan bantuan daripada semua pihak yang telah bekerjasama dengan Kavyan pada tahun 2004 juga diteruskan pada tahun 2005.
.
Berdasarkan segala perkembangan positif ini, pasti sahaja Kavyan tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam meneruskan perjuangan memasyarakatkan sastera, membudayakan baca cerpen serta mendaulatkan Bahasa Malaysia. Maklumat lengkap mengenai aktiviti terkini Kavyan boleh dilayari DI SINI.
..
(Makalah ini disiarkan dalam majalah Tunas Cipta, Disember 2004)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!