Kata datuk
hidupnya tahun 60-an tidak sehebat sekarang
sukar bercakap dengan nyonya sebelah rumah
bukan sahaja nenek cemburu
tetapi seperti ayam berbual dengan itik
..
Kata datuk lagi
dia belajar bercakap Bahasa Malaysia daripada kawan-kawan
sedikit demi sedikit
lama-lama menjadi fasih
..
Ke hulu ke hilir,
datuk mula megah bercakap Bahasa Malaysia
dengan Pak Amin, dengan Nyonya Lee sebelah rumah
dengan Tauke Leong, dengan Sarbagat Singh
malah dengan Pak Cik Muthukaruppan
dan nenek jua
..
Kata datuk sewaktu hayatnya
dia megah apabila mengajar aku Bahasa
sejak kecil, aku diheretnya ke pelbagai acara
tahun 70 sempena istilah Bahasa
besar nanti kau harus berjiwa Malaysia
..
Datuk tak pernah mampu menulis rumi
tetapi dia mengajarku bercakap Bahasa Malaysia
..
Kata datuk,
kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa ibunda
kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa Inggeris
tetapi kau wajib berbangga bercakap Bahasa Malaysia
..
Kata datuk sejurus sebelum meninggal dunia,
aku bangga mengakhiri hayatku dengan ayat Bahasa Malaysia
dan aku berbangga menyampaikan kisahnya
kepada cucu Pak Amin, kepada cucu Nyonya Lee sebelah rumah
kepada cucu Tauke Leong, kepada cucu Sarbagat Singh
malah kepada cucu Pak Cik Muthukaruppan
dan juga anak-anakku
dalam Bahasa
..
* Dideklamasikan oleh Uthaya Sankar SB di Rumah Gapena pada 3 November 2001 sempena Ratib Seribu Syair dan di Laman Budaya Shah Alam pada 28 Disember 2003 sempena Sepetang Puisi dan Teater. Turut disiarkan dalam SuaraAnum.com (1 Februari 2002) dan majalah Siasah (Oktober 2002).
Salam sejahtera, saudara Uthayar.
ReplyDeleteSelepas saya membaca sajak di atas, terus saya membuat kesimpulan bahawa datuk saudara sememangnya seorang yang hebat.
Sekian.