26 Mar 2010

Kavyan Tidak Lupa Golongan Istimewa

Orang ramai yang berada di Galeri Shah Alam pada 2 September 2003 untuk menyaksikan Baca Cerpen Kavyan tidak terkejut melihat tiga individu cacat penglihatan dipimpin masuk ke tempat acara berlangsung.
.

Bagaimanapun, sekitar pukul 3:10 petang, ramai yang terkejut apabila Vasu Manickam dipimpin naik ke pentas sementara wakil Gapena, Razali Mohd Yussof sedang membaca cerpen.

.

Tepat pukul 3:16 petang, Vasu dengan tenang menyampaikan petikan cerpen berjudul “Yang Aneh-aneh” sambil jari-jemari tekun menyentuh tulisan Braille pada kertas yang dipegangnya.

.

Pemuda berumur 26 tahun ini merupakan bekas pelajar Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields. Kini beliau bekerja sebagai tukang urut di Shah Alam selain terlibat secara aktif dalam sukan renang.

.

“Wah! Tadi saya kagum dengan usaha Kavyan menjemput golongan istimewa hadir ke acara ini. Tapi saya benar-benar tidak menyangka Kavyan turut memberi peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada usaha mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records,” kata Dr Ibrahim Ghafar kepada salah seorang Urus Setia Baca Cerpen Kavyan.

.

Rasa terkejut dan kagum ini turut dirasakan oleh Editor Minda, Saharom Abd Aziz; Ketua Akademik Kolej Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCCT), Nazaruddin Abdul Jalil; Dr Amida Abdulhamid (Anis) dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya serta Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said yang bertindak sebagai saksi utama.

.

Pada pukul 3:43 petang, seorang lagi pelajar MAB, Ong Chew Hau menunjukkan bakat membaca cerpen versi Braille. Guru serta pembimbingnya, Puan Sumitha Ramasami khusyuk mendengar bersama-sama para hadirin.

.

“Saya begitu bangga berpeluang membaca cerpen di hadapan Datuk A. Samad Said dan para sasterawan terkemuka,” kata Ong Chew Hau, 23, ketika ditemui kemudian.

.

Acara Baca Cerpen Kavyan sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan adalah anjuran Kavyan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor serta The Malaysia Book of Records.

.

Seramai 166 peserta membaca 384 cerpen secara berterusan selama 96 jam 32 minit. Cerpen pertama dibaca oleh Dr Haji Othman Puteh manakala cerpen terakhir oleh SN Datuk Dr A. Samad Said.

.

“Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa tujuan utama Baca Cerpen Kavyan adalah untuk memberi kelainan pada cara penghayatan teks cerpen. Kavyan berusaha membudayakan baca cerpen, memasyarakatkan sastera serta memartabatkan bahasa kebangsaan,” kata Sumitha.

.

“Kehadiran Vasu dan Ong Chew Hau pula diharap membuka mata semua pihak terbabit bahawa golongan istimewa juga berminat membaca karya sastera dalam bahasa kebangsaan,” tegas beliau.

.

Mereka mahu membuktikan bahawa golongan cacat penglihatan juga dahagakan karya sastera, khususnya cerpen. Kehadiran mereka dijangka telah berjaya menghantar mesej betapa lebih banyak karya sastera perlu turut diterbitkan dalam bentuk Braille.

.

Menurut Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB, pihaknya bercadang menjadikan Baca Cerpen Kavyan suatu acara bulanan. Bukan untuk tujuan mencipta rekod tapi untuk meneruskan tradisi. Ke arah itu, Kavyan mengharapkan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.

.

“Misalnya, penerbit majalah dan akhbar yang memuatkan cerpen. Kita boleh mengadakan sesi membaca cerpen-cerpen yang tersiar setiap bulan. Kavyan bersedia menjadi penganjur tetapi kami memerlukan sokongan untuk menjayakannya,” kata Uthaya yang merupakan tokoh prolifik dalam sastera tanah air.

.

“Jangan lupa menjemput golongan buta seperti kami!” Sumitha mencelah dengan penuh mengharap.

.

“Usahakanlah juga acara baca cerpen versi Braille. Kami sangat berminat membaca karya sastera, khasnya cerpen dan sajak,” tambah Ong Chew Hau.

.

“Kami juga mahu suara hati kami didengar orang ramai,” kata Vasu pula.

.

Beberapa orang yang mendengar perbualan kecil itu di Galeri Shah Alam pada 2 September 2003 hanya mampu saling berpandangan. Sumitha, Vasu dan Ong Chew Hau pula terus menanti untuk mendengar respons positif yang mereka harapkan.

.

Mana-mana pihak yang berminat bekerjasama dengan Kavyan bagi meneruskan tradisi Baca Cerpen Kavyan dijemput menghubungi Kavyan melalui e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau telefon 016-3288142.

.

Maklumat terperinci berkaitan Baca Cerpen Kavyan boleh dibaca DI SINI.

..

(Disiarkan dalam Kavya, Oktober 2003 dan Tunas Cipta, November 2003)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!