25 Mar 2010

Kajian Dr Krishanan Maniam

Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya membentangkan kertas kerja bertajuk “Penulisan Kreatif Bahasa Malaysia dan Penulis Kaum India Malaysia” pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Kedua anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Peking dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Beijing, China pada 8-15 Oktober 2002. Mulai keluaran Januari 2003, Kavya menyiarkan teks beliau dalam beberapa bahagian.
.

Bahagian Satu

Dunia Sastera Bahasa Malaysia (atau dulunya ‘Bahasa Melayu’) dan Penulisan Sastera Bahasa Tamil memiliki hubungan yang berpengaruh sejak beberapa kurun yang lalu; bermula dengan tertubuhnya Kerajaan Raja Chola pada kurun kesebelas di Tanah Melayu (Sir Richard Winstedt, A History of Classical Malay Literature, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1972, hlm. 35). Prof. Ismail Hussein turut memberi penjelasan mengenai keakraban kedua-dua bidang sastera ini seperti berikut:
.

“Dipandang dari segi sejarah, jelas tidak ada dua golongan yang lain di Malaysia yang mempunyai begitu besar sekali ikatan kebudayaanya. Perdaban India telah mempengaruhi kebudayaan Melayu untuk lebih seribu tahun, dan kesannya dapat lihat di mana-mana sahaja di dalam bahasa, di dalam kesusasteraan, di dalam masakan, di dalam kepercayaan dan di dalam berbagai tatacara hidup sehari-hari …” (Ismail Hussein, Sastera dan Masyarakat, Kuala Lumpur: Pustaka Zakry Abadi, 1974, hlm. 100)

.

Hubungan ini lebih jelas apabila ditinjau dari sudut usaha-usaha yang dilakukan oleh golongan India-Muslim, iaitu golongan yang dikenali sebagai “Jawi Peranakan”. Selain daripada usaha-usaha terjemahan, mereka juga banyak menghasilkan karya-karya Sastera Bahasa Melayu secara langsung dalam usaha memperkembangkan Kesusasteraan Bahasa Melayu pada waktu itu. Akan tetapi, usaha mereka terhenti apabila wujud semacam kecaman daripada golongan sasterawan kaum Melayu pada tahun tiga puluhan.

Kavya, Januari 2003

Bahagian Dua

Sasterawan Melayu yang banyak mengkritik masyarakat Jawi Peranakan ialah Ishak Haji Muhammad dan Abdul Rahim Kajai. Sebenarnya kedua-dua sasterwan ini mengkritik golongan ini dari sudut sosio-politik dan bukannya dari sudut sumbangan kesusasteraan.
.

Tambahan pula, tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan golongan ini dalam penulisan kreatif Bahasa Melayu adalah amat luas dan bermakna. Usaha golongan Jawi Peranakan ini bermula dengan apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Kini beliau dianggap sebagai pelopor Kesusateraan Melayu Moden yang membuka dimensi baru dan menulis tanpa pengaruh tradisi lama. Penulisan beliau yang banyak menceritakan tentang kehidupan seharian telah meninggalkan corak penulisan lama iaitu corak hikayat dan dongeng ajaib yang penuh dengan unsur-unsur mitos dan legenda. Novel autobiografi Abdullah iaitu Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah adalah karya yang paling awal mendokumentasikan peristiwa-peristiwa semasa dalam kesusateraan Bahasa Melayu.

.

Seorang lagi tokoh Jawi Peranakan, Syed Mahmud bin Abdul Kadir yang bekerja di Jabatan Pelajaran Singapura pada tahun 1886 telah menghasilkan banyak buku dan menjadi pengarang bersama akhbar Taman Pengetahuan.

.

Golongan Jawi Peranakan juga menerbitkan akhbar Melayu pertama iaitu Jawi Peranakan yang diusahakan oleh Munshi Mohd Said bin Dada Mohayiddin pada tahun 1876. Selain daripada akhbar ini, S.P.S.K. Kader Sahib dari Singapura telah menerbitkan akhbar Tanjong Penegri pada tahun 1894.

.

Mohamed Yusoff bin Sultan Maidin adalah seorang lagi daripada golongan Jawi Pernakan yang aktif dan beliau telah menghasilkan banyak buku. Antara judul-judulnya ialah Boria dan Bencananya, Syair Boria, Rahasia Kejayaan, Hikayat Pelayaran Gulliver, Kisah Pelayaran–pelayaran Sinbad dan Kejatohan kaum-kaum Islam.

.

Pada keseluruhanya boleh dikatakan bahawa golongan Jawi Peranakan (India-Muslim) telah mempelopori bidang kewartawanan Melayu serta penerbitan buku Melayu.

Kavya, Februari 2003
.

Bahagian Tiga

Selain daripada ini, usaha perseorangan karyawan kaum India juga menambahkan khazanah kesusasteraan kreatif Bahasa Melayu. Usaha ini didahului oleh Nagalingam dari Parit Buntar, Perak. Beliau telah menghasilkan cerpen yang berjudul “Cerita Orang Yang Tiada Menerima Syukur” dan disiarkan dalam Majalah Bahtera keluaran 7 dan 24 Mei 1932 (Hashim Awang,1972). Hashim Awang menyatakan:
.

Dari namanya dan juga latar ceritanya iaitu Ramnad, Utara India membuktikan yang beliau ialah seorang India. Penyertaan beliau memperlihatkan bahawa cerpen-cerpen Melayu mendapat perhatian yang besar bukan sahaja dari masyarakat Melayu sendiri, malah Bukan Melayu juga. Dan sumbangan Nagalingam itu, biarpun teramat kecil, tetapi besar ertinya dalam perkembangan ini.

.

Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa kesusasteraan kreatif Bahasa Melayu awal-awal lagi telah menyaksikan penglibatan kaum India. Walau bagaimanapun, karya kreatif yang selanjutnya hanya dapat disaksikan pada akhir tahun lima puluhan dan awal enam puluhan. Nama-nama yang muncul dalam era ini adalah seperti G.Soosai , Joseph Selvam dan N.S. Maniam. Di kalangan mereka, G.Soosai banyak melibatkan diri untuk menghasilkan artikel-artikel mengenai sastera Bahasa Tamil di dalam dan luar negara.

.

G.Soosai juga menghasilkan kamus dwibahasa (Bahasa Melayu-Bahasa Tamil). Selain daripada itu, beliau banyak menghasilkan karya-karya terjemahan iaitu dari Bahasa Tamil ke Bahasa Melayu dan sebaliknya. Antara terjemahanya ialah koleksi cerpen berjudul Wanita Malang Karya T. M. Annamary (1972) dan Bahana Kesetiaan Teruji iaitu terjemahan buku yang dihasilkan oleh Mahathma Gandhi (1984).

.

Joseph Selvam dan N.S. Maniam merupakan dua penulis kaum India yang menjadi ahli dalam Persatuan Penulis-penulis Negeri Melaka pada tahun tujuh puluhan. Kedua-dua karyawan ini menumpukan perhatian dalam bidang penulisan sajak. Karya- karya mereka turut dimuatkan dalam buku berjudul Dari Musim ke Musim terbitan Persatuan Penulis-penulis Negeri Melaka (1977).

.

Di samping itu, Joseph Selvam secara individual berjaya menerbitkan beberapa koleksi sajak; antaranya Nadi Perpaduan, Merintis Jalan Bahagia, Dalam Perjuangan dan Dalam Sinar Matamu. Beliau juga telah menghasilkan beberapa antologi bersama dengan pengarang-pengarang lain iaitu Lagu Sepi, Riak Di Pinggir Rasa dan Mencari Dalam Mengerti.

Kavya, Mac 2003
.

Bahagian Empat

Selepas ‘zaman’ Joseph Selvam, G. Soosai dan N.S. Maniam, tahun-tahun berikutnya tidak menyaksikan individu yang menghasilkan karya kreatif secara proflik. Cuma, usaha penterjemahan karya terus dilakukan.
.

A.Nagappan telah menterjemahkan tiga buah cerpen karya C. Vadivel dan dimuatkan dalam buku berjudul Puthiya Vaarisu. Profesor S. Singgaravelu dan P. Palaniappan iaitu dua orang pensyarah dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya telah banyak menterjemah cerpen dan sajak.

.

Pada masa yang sama, Persatuan Penulis Tamil Malaysia di bawah pimpinan M. Dorairaj telah berusaha mengadakan pertemuan dengan pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan antara kelompok penulis Melayu dan penulis Tamil.

.

Hasilnya, DBP menganjurkan Majlis Pembacaan Puisi Perpaduan di mana sajak-sajak Karaikilar, Thiruvarasu dan Pathasan yang diterjemahkan oleh Palaniappan dibaca pada majlis berkenaan.

.

Selain daripada itu, DBP juga mengadakan sutu majlis pembacaan puisi khas untuk memberi penghormatan kepada seorang penyair yang datang dari India pada 6 Julai 1979.

.

Pihak Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia pula telah mengatur Pertemuan Penulis Pelbagai Kaum di Gua Seni, Batu Caves.

.

Sementara itu, majalah Dewan Budaya di bawah pimpinan SN Usman Awang menyedikan ruangan khas untuk menyiarkan karya-karya terjemahan daripada Bahasa Tamil.

Kavya, April 2003
.

Bahagian Lima

Tahun lapan puluhan hanya memperlihatkan suatu suasana yang giat dalam bidang penterjemahan serta usaha mengadakan perhubungan positif antara penulis pelbagai kaum. Tidak pula memperlihatkan sumbangan kreatif yang kukuh daripada kelompok penulis kaum India seperti yang berlaku dalam tahun enam puluhan dan tujuh puluhan.
.

Bagaimanapun, pada penghujung tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan, keadaan mula berubah. Era ini mula menunjukkan bibit-bibit harapan dalam bidang kreatif dengan wujudnya beberapa rangsangan.

.

Pertama, penubuhan Majlis Penulis Pelbagai Kaum Malaysia di bawah naungan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada permulaannya, majlis ini telah mewujudkan suatu ruangan khas yang berjudul “Titian Sastera” dalam akhbar-akhbar tempatan. Melalui ruangan ini, karya-karya terjemahan daripada Bahasa Malaysia disiarkan dalam akhbar Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin; dan sebaliknya akhbar Bahasa Malaysia menyiarkan karya-karya terjemahan Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin.

.

Usaha pertama ini telah disusuli oleh penganjuran Hadiah Cerpen Maybank-DBP. Peraduan ini boleh dianggap cukup bermakna kepada Penulis Angkatan Baru Kaum India kerana peraduan ini merupakan tapak semaian kepada kebanyakan daripada mereka untuk mengukir nama dan terserlah pada masa hadapan.

.

Malangnya, menjelang hujung tahun sembilan puluhan, peraduan ini telah terhenti. Bagaimanapun, mulai tahun 2000, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah naungan Majlis Penulis Pelbagai Kaum Malaysia mula menganjurkan Peraduan Menulis Cerpen/Puisi Pelbagai Kaum dengan menyediakan hadiah-hadiah yang menarik.

Kavya, Mei 2003
.
Bahagian Enam
Melalui Hadiah Cerpen Maybank-DBP, maka muncul nama-nama seperti Saroja Theavy Balakrishnan, Sreevalli, Kamala Suppiah, Mahendran, Thilagavathi, Uthaya Sankar SB dan Sreetharanee.
.

Walaupun banyak nama yang muncul melalui Hadiah Cerpen Maybank-DBP, keprolifikan mereka masih menjadi tanda tanya kerana selain daripada Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB, nama-nama lain didapati hanya muncul apabila ada peraduan sahaja. Ini suatu kenyataan yang memedihkan tetapi hakikat yang terpaksa diterima.

.

Sebenarnya penulisan Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB telah mencapai tahap kematangan setanding penulis-penulis mapan dalam Sastera Bahasa Malaysia dan mereka ini berjaya meraih beberapa hadiah peringkat nasional.

.

Malah, Saroja Theavy memenangi hadiah pertama dalam Pertandingan Cerpen Formula Malaysia dengan cerpennya berjudul “Kilau Kemilau Kandil Hijau”. Uthaya Sankar SB pula telah dua kali menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

.

Kedua-dua penulis ini juga telah berjaya membukukan hasil karya kreatif mereka. Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa kedua-dua penulis ini telah mengukir nama mereka sebagai Penulis Angkatan Baru Kaum India dalam penulisan kreatif Bahasa Malaysia.

.

Mohd Saleeh Rahamad dalam kertas kerja di Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV (Ogos 2002) mengulas kekuatan mereka seperti berikut:

.

… barisan penulis kaum India seakan-akan terputus sehingga penghujung dekad 80-an dan seterusnya apabila muncul penulis generasi baru yang bertenaga iaitu Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.

.

Kedua-dua penulis ini telah meletakkan mercu tanda pada peta penulis kaum India dengan kejayaan mereka meraih hadiah dalam beberapa sayembara. Petanda keprolifikan mereka terletak pada kumpulan cerpen yang dihasilkan iaitu Gemerlapan (1997) oleh Saroja Theavy Balakrishnan; manakala karya Uthaya Sankar SB pula antaranya adalah Siru Kambam (1997), Surat Dari Madras (1999), Orang Dimensi (1994), Nayagi (2000) dan Sasterawan Pulau Cinta (2001).

.

Di kalangan penulis kaum India, Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan merupakan aset utama masa kini kerana kecenderungan mereka meneroka subjek cerita yang pelbagai dan mengaplikasikan teknik penukangan cereka yang lebih segar. ...

.

Kenyataan oleh Mohd Saleeh Rahamad jelas membuktikan kaliber yang dimiliki oleh kedua-dua sasterawan ini.

Kavya, Jun 2003
.

Bahagian Tujuh

Hasil karya Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB merupakan pintu gerbang untuk pembaca kaum lain untuk mengenali peradaban dan kebudayaan kaum India di Malaysia. Kebanyakan cerpen mereka membawa persoalan-persoalan unik masyarakat India di malaysia dan juga kepercayaan serta budaya kaum India. Karya-karya begini mampu merapatkan persefahaman antara kaum serta menjalin perasaan muhibah yang lebih erat.
.

Misalnya, Cerpen Uthaya Sankar SB berjudul “Persaudaraan Banyan” (Brotherhood of the Banyan) menerangkan unsur kepercayaan golongan masyarakat India iaitu bahawa semua insan ciptaan Tuhan akan dapat menyempurnakan hasrat dan keinginan mereka walaupun mereka bertemu dengan ajal dengan tiba- tiba sahaja.

.

Dalam cerpen ini, watak Khandan yang menghidap AIDS akibat pemindahan darah sangat ingin bertemu dengan beberapa individu sebelum meninggal dunia. Tetapi, sebelum hasratnya tercapai, dia terlibat dalam satu kemalangan dan berada dalam keadaan koma. Bagaimanapun, watak Balakrishna, Azmi dan Uthaya yang bertemu selepas kematian Khandan, masing-masing membawa cerita bahawa Khandan berada di sisi mereka sehari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Kavya, Julai 2003
..

Bahagian Lapan

Dalam cerpen “Nayagi”, Uthaya Sankar SB membawa kisah Mathavi yang dipaksa kahwin dengan pak ciknya iaitu adik lelaki kepada ibunya. Sebenarnya, dalam sistem keluarga masyarakat India, ada juga amalan berkahwin dengan anak perempuan kepada kakak seseorang ataupun anak kepada adik perempuan atau kakak ayah seseorang. Ataupun sebaliknya, iaitu anak lelaki kepada abang atau adik lelaki ibu seseorang.
.

Dalam cerpen ini perkahwinan paksa dan penentangan seorang gadis telah dilukiskan dengan terperinci. Sebenarnya dalam sistem keluarga India, gadis tidak diberi peluang untuk menyuarakan hasrat hatinya. Apabila anggota keluarga lelaki ataupun perempuan yang lebih tua membuat keputusan, maka orang-orang muda terpaksa mengikut.

.

Tetapi, dalam cerpen “Nayagi”, pengarang memberi kejayaan kepada gadis yang menentang keputusan keluarga dan cerpen ini merupakan suara positif dalam perjuangan memberi hak yang sama kepada kaum wanita India dalam institusi keluarga.

.

Cerpen Saroja Theavy Balakrishnan pula memaparkan hasrat wanita kaum India yang sangat patuh kepada tradisi dan budaya kaum. Dalam cerpennya “Kandasami”, Saroja melukiskan watak seorang isteri yang berkata begini:

.

“Abang, apa kurangnya hidup saya di sini? Ada suami yang setia lagi pengasih.Ada lima orang anak lelaki kalau saya mati pun, sudah cukup untuk mengusung keranda saya. …”

.

Ini adalah isi hati setiap wanita kaum India dan ini dianggap sebagai suatu kehidupan yang sempurna. Pembicaraan seperti ini akan memberi peluang kepada pembaca kaum lain memahami corak pemikiran masyarakat India dengan lebih mendalam.

.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, Saroja telah mengorak langkah untuk merangkumi beberapa tema baru iaitu termasuk tema-tema universel seperti penjagaan alam sekitar.

Kavya, Ogos 2003
.

Bahagian Sembilan

Pada tahun-tahun akhir sembilan puluhan dan pada alaf baru ini, Penulis-penulis Angkatan Baru Kaum India telah berjaya memberi impak mengenai kewujudan mereka dalam dunia penulisan kreatif Bahasa Malaysia.
.

Kini, ruang-ruang sastera dalam akbhar dan majalah perdana turut menyiarkan karya-karya kreatif penulis-penulis yang berkenaan. Usaha akhbar dan majalah berkenaan harus disanjung kerana langkah penyiaran karya di media terbabit adalah unsur galakan yang tinggi nilainya.

.

Selain daripada itu, Uthaya Sankar SB turut melibatkan diri secara individu - dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan beliau - untuk memupuk bakat-bakat baru di kalangan masyarakat India dengan mengumpulkan mereka di bawah suatu bumbung. Beliau mengasaskan suatu pertubuhan penulis kaum India Malaysia yang dikenali sebagai Kavyan serta mengendalikan surat berita dalam talian berjudul Kavya; selain menguruskan yahoogroup bernama ekavyan.

.

Kavyan, Kavya dan ekavyan menyediakan medan untuk bertukar-tukar pendapat dan menyediakan bahan bacaan mengenai cara-cara penulisan dan panduan kesusasteraan untuk penulis-penulis baru kaum India khasnya (dan khalayak umum amnya) untuk mengasah bakat dalam penulisan kretif.

.

Usaha ini harus diberi sanjungan dan diiktiraf oleh semua pihak. Kavyan dan Kavya ternyata mempunyai potensi, keyakinan, kemampuan, semangat dan iktikad untuk mewujudkan satu barisan Sasterawan Kaum India yang mahir berkarya dan mampu mengukir nama dalam arena kesusasteraan Malaysia.

Kavya, Oktober 2003
.

Bahagian Sepuluh

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan bahawa penglibatan kaum India dalam arena penulisan kreatif Bahasa Malaysia banyak bergantung pada citarasa dan kebolehan menguasai Bahasa Malaysia. Amat jelas juga bahawa penglibatan serta sumbangan kelompok ini terbatas pada hasil usaha peseorangan sahaja.
.

Namun, usaha-usaha telah dimulakan untuk menubuhkan suatu organisasi yang formal bertujuan memupuk bakat dan semangat penulis-penulis kaum India yang berkecimpung dalam penulisan kreatif Bahasa Malaysia.

.

Selain daripada Kavyan, kini beberapa tanda positif lain dapat dilihat. Usaha-usaha yang kukuh juga telah dimulakan untuk memastikan kewujudan penulis pelbagai kaum (tentunya termasuk penulis kaum India; tetapi anehnya tidak termasuk penulis kaum Melayu! – ed) berterusan.

.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan Majlis Penulis Pelbagai Kaum iaitu suatu badan untuk menggalak dan memupuk bakat penulisan kreatif Bahasa Malaysia di kalangan penulis pelbagai kaum.

.

DBP juga telah melahirkan hasrat untuk mewujudkan suatu bentuk sastera yang sebenar-benarnya mempamerkan Bangsa Malaysia dan boleh dikenali sebagai “Sastera Malaysia”.

.

Dalam hal ini, pihak GAPENA turut menunjukkan minat dan terus memberi sumbangan. Misalnya dengan mengajurkan Festival Sastera Perpaduan Malaysia di mana penulis pelbagai kaum diberi peluang untuk berinteraksi sesama mereka dan saling memahami pelbagai peradaban, pemikiran dan kebudayaan yang merupakan khazanah negara Malaysia.

.

Kesemua perkembangan positif ini amat menggalakkan dan membuka ruang yang amat luas bagi Penulis Angkatan Baru Kaum India untuk berkarya serta mempamerkan budaya, pemikiran dan isu-isu yang melanda kaum India di Malaysia dalam bentuk karya kreatif.

.

Penubuhan Kavyan serta penerbitan surat berita dalam talian Kavya pula membuka suatu lembaran baru kepada penulis-penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia kerana buat julung kali kelompok ini bersatu di bawah satu payung. Dengan adanya Kavyan, kelompok penulis kaum India juga semakin diberi perhatian. Apatah lagi, Kavyan sudah mula membuktikan kemampuan dan komitmen melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sejak September 1999.

.

Kerjasama antara Kavyan dengan GAPENA, DBP serta badan-badan sastera lain juga pasti akan sama-sama membantu mencapai objektif bersama; iaitu melahirkan “Sastera Bangsa Malaysia”.

.

Akhir kata, alaf baru ini menyediakan tapak semaian yang sangat subur bagi penulis kaum India yang menghasilkan karya kreatif Bahasa Malaysia. Terpulanglah pada kebijaksanaan mereka menyemai bakat dan minat supaya kelak boleh menuai hasil yang setimpal dengan usaha.

Kavya, November 2003

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!