26 Mar 2010

Sasterawan Negara Bersama Penduduk Kampung

..
Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim mengambil langkah berani membuat pembaharuan bagi menjayakan objektif “memasyarakatkan sastera” serta “memesrakan sastera” kepada penduduk di kawasan pedalaman. ..
..

Pada 28 Februari 2004, Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said dibawa ke Balai Raya Kampung Titiwangsa, Kalumpang untuk memeriahkan acara baca puisi. Turut diundang, Profesor Rahman Shaari.

..

Biarpun persiapan yang dibuat agak sederhana berbanding acara baca puisi yang sudah terlalu biasa di ibu negara, majlis baca puisi yang bermula pukul 9:00 malam itu membuktikan minat dan kesungguhan penduduk setempat terhadap pembacaan puisi.

..

Sajak dari buku terbaru Datuk A. Samad Said, Dirgahayu Dr Mahathir dan Kepada Pemimpin Yang Itu menjadi pilihan untuk dideklamasikan oleh sekumpulan pelajar sekolah menengah.

..

Datuk A. Samad Said sendiri membacakan sajak dari kumpulan Suara Dari Dinding Dewan manakala Prof Rahman Shaari memancing perhatian ramai melalui puisi “Harimau”.

..

Az A. Samad yang mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik di dalam dan luar negeri pula menghiburkan orang ramai melalui petikan gitar dengan gaya tersendiri apabila menyampaikan dua lagu instrumental.

..

Pada pagi 29 Februari 2004, Majlis Diskusi Bersama SN Datuk Dr A. Samad Said berlangsung di dewan SMK Kalumpang. Majlis dirasmikan Dekan Fakulti Bahasa UPSI, Dr Nor Azmi Mostafa.

..

Pada majlis itu, Prof Rahman Shaari membicarakan Dirgahayu Dr Mahathir dan Kepada Pemimpin Yang Itu sementara Datuk A. Samad Said menceritakan pengalaman kreatif serta pengalaman peribadi beliau menghasilkan dua puisi panjang berkenaan.

..

Urus setia program, Talib Samat berkata, pihaknya berusaha membawa sasterawan untuk bertemu penduduk di kawasan pedalaman kerana golongan ini sering tidak mendapat peluang seumpama itu berbanding penduduk bandar.

..

Beliau yang juga seorang penulis prolifik dan pensyarah UPSI melahirkan rasa gembira dan terharu atas sambutan hangat yang diberikan penduduk sekitar Kalumpang.

..

(Uthaya Sankar SB, Prabhawathy Govindarajoo dan Devishi Prabha Sankari turut serta dalam acara ini. Laporan di atas disiarkan di Utusan Malaysia, 18 Mac 2004 dan Kavya, Mac 2004 )

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!