13 Mar 2010

Lapan Tonggak Negara Pemangkin Transformasi Negara

PUTRAJAYA - Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera, sejajar tuntutan menzahirkan aspirasi kerajaan.
.
Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan 'sepasang mata yang baru' melalui 'lensa yang segar' bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran di hadapan dengan penyelesaian tanpa cacat cela.
.
Usaha itu sangat perlu, khususnya ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana melibatkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap dalam pentadbirannya.
.
Empat tiang utama itu adalah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru (MEB); dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
.
Manakala empat nilai asas pelengkap adalah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang; dan Nilai Integriti.
.
Lapan tonggak itu yang diilhamkan Perdana Menteri adalah panduan kepada penjawat awam dalam menggalas amanah dan tanggungjawab mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.
.
Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya, semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, Selasa lalu.
.
Najib memilih persidangan itu sebagai platform menjelaskan dan menekankan peranan yang perlu dimainkan sektor awam melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.
.
Gagasan 1Malaysia adalah falsafah induk bersifat merentas dasar dan pelaksanaan kerana matlamatnya adalah perpaduan nasional.
.
"Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi seluruh Bangsa Malaysia sejak dulu lagi, jadi sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk, apa pun cita-cita kebangsaan seperti usaha mencapai taraf hidup lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong tanpa dipacu perpaduan nasional.
.
"Terbukti, tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya," kata Perdana Menteri.
.
Transformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era 'kerajaan tahu segala-galanya' sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudah cara.
.
Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10, merupakan dua inisiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek.
.
Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap saling melengkapi dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.
.
Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan 'velocity of money' atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.
.
Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat.
,
Aspek integriti turut ditekankan Najib kerana bagi beliau, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kemajuan ekonomi dan teknologi malah turut melibatkan kemajuan pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.
.
Amanat lebih sejam Perdana Menteri di PICC, Selasa lalu disambut baik para penjawat awam dan pegawai kanan kerajaan yang tentunya beriltizam memberikan perkhidmatan terbaik.
.
Malah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, semua penjawat awam perlu berganding bahu demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.
.
Katanya, Perdana Menteri meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
.
Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata, lapan tonggak yang digariskan Najib boleh dicapai dengan kerjasama penjawat awam dan anggota pentadbiran yang bekerja sebagai satu pasukan.
.
Beliau berkata, tiada perbezaan objektif antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerana matlamat akhirnya adalah membantu rakyat.
.
"Langkah merealisasikan aspirasi negara sedang berjalan, tetapi seperti kata Perdana Menteri sebelum ini, sekarang bukan lagi pada gear satu, tetapi gear tiga dan empat kerana cabaran yang mendatang begitu besar.
.
"Jika berdasarkan daya saing negara, kita tidak berada pada tahap tinggi yang sepatutnya kita berada," katanya.
.
Tap berkata, penekanan yang dibuat Najib bukan sahaja kepada penjawat awam malah turut membabitkan pihak swasta.
.
"Beliau menekankan sektor korporat juga perlu terlibat sama kerana tidak ada perbezaan antara sektor awam dan swasta.
.
"Tahun 2020 hanya 10 tahun lagi dan jika ini tidak dilakukan, matlamat ini tidak akan dapat dicapai," katanya.
.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menyifatkan lapan tonggak perdana itu sebagai amanat yang komprehensif dan memberi visi yang jelas kepada anggota perkhidmatan awam dalam menetapkan hala tuju negara pada masa depan.
.
"Langkah itu selaras agenda transformasi kerajaan selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat, serta memacu negara menjadi sebuah negara maju," katanya.
.
Omar berkata, perubahan dalam perkhidmatan awam perlu membabitkan pelbagai peringkat termasuk hubungan rapat dari peringkat atasan hingga bawahan bagi mewujudkan perkongsian pintar.
.
Kesimpulannya, sektor awam diakui sebagai nadi dan jentera sesebuah kerajaan membuat pacuan ke arah pentadbiran dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri.
Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib turut bergantung kepada sektor itu.
.
Persoalannya sekarang, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas?
.
Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan, maka akan berlaku sesuatu yang merugikan semua pihak, khususnya rakyat.
.
Oleh itu, jentera kerajaan mesti menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring pembangunan inovasi dan pembaharuan berterusan.
.
Transformasi ini, seperti dikatakan Sidek, boleh merubah landskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan.
.
Ia akan terus membantu visi Perdana Menteri dalam mewujudkan sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun, walau berada di pelosok mana dalam negara, akan merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan.
.
Maka, kini masanya penjawat awam merealisasikan matlamat negara sebagaimana dihasratkan Perdana Menteri.
.
Dengan semangat lebih komited, mereka tentu boleh membantu meningkatkan mutu pentadbiran, mengukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian yang melambangkan keprihatinan tinggi dalam negara. - Bernama/SinarHarian/UthayaSB

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!