27 Mar 2010

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan, Januari 2003

Tarikh: 11 Januari 2003 (Sabtu)

Masa: 5:20 petang

Tempat: Galeri Shah Alam, Persiaran Tasek, Shah Alam

Kehadiran

1. Uthaya Sankar SB

2. Raja Rajeswari Seetha Raman

3. S.G. Prabhawathy

4. V. Vijayaletchumy

5. Ganesan Duraisamy

6. V. Raman

Pemerhati

1. Venugopal

2. Elanjelian

...

1. Ucapan Pengerusi

Uthaya Sankar SB mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Beliau memaklumkan bahawa Dr Krishanan Maniam tidak dapat hadir kerana mesyuarat yang beliau sertai di Universiti Malaya belum tamat.

...

2. Bengkel Apresiasi Novel

Uthaya Sankar SB menjelaskan bahawa Encik Muthu dari Ashwin Trading membenarkan bengkel berkenaan dikendalikan di Ashwin Trading pada 22 Februari 2003 (Sabtu). Raja Rajeswari memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir kerana terdapat mesyuarat PIBG di sekolah. Bengkel akan dikendalikan dengan 15 peserta dan tumpuan juga diberi terhadap komponen sastera (novel). Borang penyertaan perlu diedarkan segera.

...

3. Bengkel Karyawan Muda di Banting

Vijayaletchumy menerangkan bahawa pertubuhan belia di Banting bersedia menjemput pihak Kavyan mengendalikan bengkel cerpen pada Mei 2003. Acara selama dua hari menggabungkan aktiviti oleh persatuan belia berkenaan dan Kavyan. Mesyuarat mencadangkan supaya bengkel hanya diadakan selama satu hari. Vijaya juga diminta membincangkan soal yuran penyertaan, makan tengah hari dan sebagainya dengan pihak persatuan terbabit.

...

4. Bengkel Karyawan Muda di Taman Sri Muda

S.G. Prabhawathy melaporkan bahawa beberapa guru telah dihubungi untuk mengaturkan bengkel di sekolah sekitar Shah Alam. Mesyuarat mencadangkan supaya guru penasihat Persatuan Bahasa Tamil di sekolah-sekolah dihubungi untuk menyalurkan maklumat mengenai bengkel yang dikendalikan oleh Kavyan. Tindakan segera perlu dilakukan.

...

5. Bengkel Karyawan Muda di Kepong

Raja Rajeswari melaporkan bahawa Persatuan Bahasa Tamil Sekolah Menengah Taman Ehsan bercadang menjemput pihak Kavyan untuk mengadakan bengkel di sekolah berkenaan. Bangunan MIC Desa Jaya juga boleh digunakan untuk bengkel. Bagaimanapun, memandangkan kerusi-meja di tempat itu sesuai bagi kanak-kanak, mungkin bengkel akan diadakan khusus untuk calon UPSR tentang penulisan karangan cereka. Venugopal memaklumkan bahawa dewan di kuil di Kepong juga boleh digunakan bagi tujuan bengkel apabila siap kelak.

...

6. Bengkel Karyawan Muda di Universiti Malaya

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa Dr Krishanan Maniam bersetuju supaya bengkel diadakan di Bilik Seminar, Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya pada 8 Februari 2003 (Sabtu). Mahasiswa di jabatan berkenaan juga akan diberi peluang menjadi peserta. Jawatankuasa diminta berusaha mencari peserta daripada kalangan pelajar dan remaja. Tindakan segera diperlukan.

...

7. Promosi Kavyan di Media

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa penubuhan Kavyan belum diluluskan. Beliau telah pergi ke pejabat pendaftar pertubuhan pada 8 Januari 2003 dan dimaklumkan bahawa proses itu akan memakan masa empat bulan. Surat izin sementara untuk menjalankan aktiviti telah diminta tetapi akan mengambil masa sebulan sebelum mendapatkannya. Tanpa dokumen ini, agak sukar membuat publisiti aktiviti Kavyan di RTM. Raman menawarkan diri untuk cuba menghubungi pegawai terbabit untuk meminta urusan surat izin sementara disegerakan. Mesyuarat memutuskan untuk cuba menghubungi media cetak dan media elektronik untuk tujuan promosi. Nama Kavyan perlu dijadikan suatu nama yang dikenali umum.

...

8. Lawatan ke Estet

Perkara ini tidak dapat dibincangkan kerana Dr Krishanan tidak hadir.

...

9. Bantuan Kewangan YSS

Perkara ini tidak dapat dibincangkan kerana Dr Krishanan tidak hadir. Elanjelian bersedia membantu usaha mendapatkan bantuan dana bagi menjalankan aktiviti Kavyan. Beliau akan menguruskan hal ini bersama Uthaya Sankar SB.

...

10. Pertandingan Cerpen

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa pihak Ashwin Trading hanya akan memberi jawapan pada akhir bulan Januari 2003 sama ada bersedia menjadi penganjur bersama serta menaja hadiah bagi pertandingan ini. Syarat pertandingan akan dirangka dengan segera.

...

11. Tabung Dana Kavyan

Raja Rajeswari mencadangkan jualan kad ucapan Deepavali tetapi mesyuarat mendapati usaha itu tidak menjanjikan pulangan dana. Tambahan pula, terlalu banyak pertubuhan menjual kad ucapan untuk mengumpul wang. Raman mencadangkan konsert artis tempatan. Ganesan menambah bahawa terdapat kumpulan yang bersedia mengendalikan keseluruhan program dan Kavyan hanya perlu memberi peruntukan serta mencari penaja. Hal ini akan diusahakan tetapi memerlukan masa yang agak lama untuk dilaksanakan.

...

12. Kempen Menambah Ahli

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa borang keahlian boleh didapati di laman web Kavyan. Ahli Kavyan akan diberi diskaun dalam setiap aktiviti (bengkel, pertandingan dan sebagainya). Peserta bengkel akan digalakkan menjadi ahli. Publisiti di media juga merupakan cara yang baik untuk menambah ahli. Bagaimanapun, mesyuarat bersetuju bahawa apa yang lebih penting bukannya kuantiti ahli tetapi ahli yang komited.

...

13. “For Your Ears Only!” di MAB

Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menghubungi Sumitha di MAB untuk menguruskan aktiviti ini. Beliau akan mencuba lagi untuk menghubungi Sumitha.

...

14. Mesyuarat Melalui E-mel

Raja Rajeswari dan S.G. Prabhawathy mencadangkan supaya mesyuarat jawatankuasa dikendalikan melalui e-mel sahaja. Bagaimanapun mesyuarat mendapati cara itu kurang sesuai. Keputusan dibuat supaya mesyuarat diadakan seperti biasa setiap tiga bulan. Bagaimanapun, perbincangan melalui e-mel masih boleh dilakukan dan dianggap sah.

...

15. Diskusi Hasil Karya

Vijayaletchumy mencadangkan supaya Jawatankuasa Kavyan mengadakan pertemuan tidak rasmi pada setiap bulan untuk membincangkan karya masing-masing. Mesyuarat bersetuju bahawa itu merupakan cadangan yang baik untuk saling mengkritik dan membantu membaiki mutu karya. Raja Rajeswari mencadangkan diskusi itu dilakukan melalui e-mel sahaja. Bagaimanapun, mesyuarat bersetuju supaya pertemuan diadakan untuk diskusi seperti itu. Karya perlu diedarkan kepada semua yang terlibat melalui e-mel supaya boleh dibaca lebih awal sebelum bertemu untuk berdiskusi. Elanjelian mencadangkan agar perbincangan juga dibuat mengenai buku-buku bermutu yang dibaca. Diskusi itu akan cuba dimulakan pada Mac 2003 dan terbuka kepada semua ahli Kavyan. Untuk tindakan Vijayaletchumy.

...

16. Hasil Bengkel Penulisan

Elanjelian mencadangkan supaya Kavyan memikirkan soal hasil daripada bengkel penulisan yang diadakan. Perlu dikaji berapa penulis muda yang lahir daripada bengkel-bengkel yang dikendalikan selama ini. Mesyuarat menerima cadangan itu. Mesyuarat juga menerima hakikat bahawa tidak semua peserta bengkel menjadi penulis kerana ada yang hanya berminat membaca karya sastera dan ada pula yang hanya berminat menulis karangan untuk tujuan lulus peperiksaan. Elanjelian juga menegaskan pentingnya mengadakan bengkel susulan. Uthaya Sankar SB, Raja Rajeswari dan S.G. Prabhawathy menjelaskan bahawa bengkel susulan pernah dirancang pada tahun 2001 tetapi tidak berjaya kerana peserta tidak berminat. Bagaimanapun, bengkel susulan akan diusahakan di masa hadapan. Peserta yang berminat dan berbakat juga boleh menyertai sesi Diskusi Karya Sastera.

..

17. Pelantikan Penasihat Pertubuhan

Jawatankuasa sebulat suara bersetuju melantik Dr Krishanan Maniam menjadi Penasihat Kavyan menurut Fasal 16 Perlembagaan Kavyan. Surat lantikan akan diuruskan oleh Setiausaha.

...

18. Mesyuarat Tamat

Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan ditamatkan pada pukul 7:20 malam.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!