27 Mar 2010

Pembacaan Puisi Penggiat Seni Negeri Selangor

Sekretariat Seniman Selangor (SSS) dengan kerjasama Jabatan Kubudayaan dan Kesenian Negeri Selangor menganjurkan Pertemuan Dan Pembacaan Puisi Antara Penggiat Seni Negeri Selangor pada 18 Januari 2003 (Sabtu), 5:00 petang di Galeri Shah Alam. Ahli Kavyan telah turut memenuhi undangan ke acara berkenaan.

..

Walaupun hujan lebat turun sejurus sebelum acara bermula, para seniman yang hadir terus bersemangat untuk meneruskan program baca puisi. Dr Ibrahim Ghafar yang menjadi pengacara majlis menyatakan rasa gembira atas kehadiran ramai penulis kaum India.

..

Vijayaletchumy merupakan antara peserta yang paling awal tiba. Walaupun beliau tidak membaca puisi kali ini, Vijaya hadir untuk menyatakan sokongan kepada rakan-rakan penulis.

..

Uthaya Sankar SB datang bersama-sama isteri dan anaknya. Uthaya menyampaikan sajak sendiri berjudul “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan sebuah sajak ciptaan Sabar Bohari berjudul “Ladang Getah”. Menurut beliau, sajak “Ladang Getah” pernah dirakam untuk siaran di televisyen tetapi dibatalkan penyiarannya atas alasan ‘terlalu sedih’.

..

Retna Devi Balan yang sedang bercuti di Malaysia bersama suaminya, Venkatasayee turut tidak menguzurkan diri untuk hadir sama. Pasangan ini datang lengkap berpakaian tradisional. Retna menyampaikan sajak berjudul “Apa Khabar Malaysia?” yang jelas menggambarkan rindu beliau pada tanah air.

..

Saroja Theavy Balakrishnan membawa keluarganya bersama untuk menyerikan majlis. Beliau membaca sajak berjudul “Warna Pelangi di Kota Anggerik” manakala anaknya, Shajana Theavy membacakan beberapa rangkap pantun.

..

Raja Rajeswari Seetha Raman hadir bersama suami dan anaknya. Beliau menyampaikan sajak berjudul “Selamat Singgah Mentari Muda”.

..

Semoga dalam acara di masa hadapan, lebih ramai penulis kaum India hadir sama ada sebagai pembaca puisi atau sekurang-kurangnya untuk memberikan sokongan serta memeriahkan majlis.

..

Mungkin lebih ramai penulis harus mengikut contoh Saroja dengan menggalakkan anak-anak mereka turut mengambil bahagian. Sekurang-kurangnya boleh membantu ke arah melahirkan bakat baru.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!