20 Mar 2010

Rentetan Pelaksanaan/Pemansuhan PPSMI

Mei 2002Dr Mahathir Muhamad mengumumkan cadangan awal bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilaksanakan mulai Januari 2003.
..
Julai 2002 – Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar PPSMI.
..
Disember 2002 – Sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II” ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk membayangkan “kejayaan” memansuhkan PPSMI pada “suatu hari nanti” dan disiarkan di laman Komuniti Penyair. [BACA DI SINI]
..
Januari 2003 – Dasar PPSMI diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah; Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah.
..
Januari 2007 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah.
..
Jun 2007 – Sajak “Per(r)juang(an) Bahasa II” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia bagi membayangkan bahawa tarikh pemansuhan PPSMI semakin hampir. Bagaimanapun sajak ini difitnah sebagai berciri “anti-Melayu” dan “anti Bahasa Melayu”. [BACA DI SINI]
..
Januari 2008 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah.
..
Mac 2009 – Lebih 8,000 orang menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
..
Mac 2009 – Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan Bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik. Kajian oleh 53 pakar bahasa merumuskan bahawa dasar kontroversi tersebut “menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.”
..
Mei 2009 – Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar PPSMI.
..
Jun 2009 – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran “jangan jadikan pelajar bahan ujian” bagi dasar yang “jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara.” Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata, “salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya.”
..
Julai 2009 – Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Ogos 2009 – Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!