19 Mar 2010

Bahasa Malaysia, Bahasa Ibunda Saya

Sebenarnya penjelasan mengenai mengapa saya menulis karya kreatif sudah banyak kali saya sentuh semasa sesi pertemuan sastera, dalam bengkel penulisan yang saya kendalikan bersama rakan-rakan serta semasa diwawancara wartawan akhbar dan majalah.
.

Malah juga dalam bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam dan Surat Dari Madras. Selain itu, saya juga pernah mengendalikan ruangan “Proses Kreatif” dalam majalah Dakwah pada 1996-1997 serta menjadi kolumnis sastera di Mingguan Wawasan pada Mac-Julai 1998 di mana saya turut menyentuh topik yang sama.

.

Apabila saya mendedahkan mengapa sebenarnya saya menulis karya kreatif, pendedahan saya pasti tidak lari daripada membuatkan sesetengah pihak terkilan, marah dan semacam kurang senang.

.

Namun, apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah kebenaran dan tidak ada alasan mengapa saya harus menyembunyikannya; apatah lagi apabila saya memang berniat menceritakan mengapa saya menulis karya kreatif.

.

Ada beberapa perkara asas yang merangsang saya untuk menulis karya kreatif. Saya tidak ingat kesemuanya. Dan saya juga tidak dapat memastikan mana yang datang dulu dan mana yang datang kemudian. Berikut sebahagian daripadanya; secara tidak kronologi:

.

Satu, minat membaca karya sastera Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak kecil.

.

Dua, mual membaca karya yang tidak mencabar minda.

.

Tiga, kesedaran bahawa terdapat 1008 tema dan teknik yang sering diabaikan penulis karya konvensional dan klise.

.

Empat, menyediakan bahan bacaan bagi khalayak yang dahagakan karya intelek.

.

Lima, cinta terhadap Bahasa Malaysia.

.

Enam, mengisi kekurangan penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia.

.

Tujuh, kesedaran terhadap bakat yang dianugerahkan Tuhan.

.

Lapan, ingin melakukan reformasi minda jangka panjang dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.

.

Sembilan, menggambarkan citra sosio-politik-budaya-agama masyarakat India di Malaya/Malaysia.

.

Sepuluh, menyajikan bahan bacaan berkualiti berdasarkan pemikiran dan world-view kaum India dalam Bahasa Malaysia.

.

Sebelas, saya memang berminat untuk bercerita.

.

Dua belas, menginterpretasi karya klasik India seperti Mahabharata dan Ramayana serta karya purana lain.

.

Tiga belas, mengolah semula secara bebas cerita rakyat India dalam Bahasa Malaysia untuk tatapan generasi muda.

.

Empat belas, kesedaran bahawa saya hanya memerlukan [sekurang-kurangnya] sepuluh pembaca berotak untuk membolehkan saya terus berkarya.

.

Lima belas, menyumbang ke arah usaha persefahaman, toleransi dan saling menghormati antara kaum dan agama. Misalnya menyedarkan golongan bukan beragama Hindu bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu.

.

Enam belas, membuka ruang kepada golongan yang memang menunggu masa dan peluang untuk mengkritik saya dan karya saya di akhbar dan majalah.

.

Tujuh belas, sebab-sebab lain.

.

Bagimanapun, pada kali ini, saya akan menyentuh mengenai satu daripadanya sahaja, iaitu cinta saya terhadap Bahasa Malaysia. Memang Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah Bahasa Melayu.

.

Akan tetapi, hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa di bawah Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970, istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan; iaitu berikutan pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969. Antara tujuannya adalah melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia dan mencintai bahasa kebangsaan yakni bahasa rasmi negara ini.

.

Nah! Saya adalah salah seorang insan yang berasa bangga untuk mengisytiharkan bahawa saya menyintai Bahasa Malaysia. Dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan ini menjadi salah satu faktor utama yang secara langsung dan secara tidak langsung merangsang penglibatan saya dalam penulisan karya kreatif Bahasa Malaysia.

.

Walaupun saya berketurunan Malayalam serta mampu bercakap Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil, saya tetap berbangga dengan penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki. Bukan megah diri atau menyombong, tetapi berbangga. Pada masa yang sama, saya juga sedar akan hak saya yang dilindungi di bawah Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

.

Usah bertanya apa yang saya banggakan dengan istilah “Bahasa Malaysia”. Saya tidak mampu memberikan penjelasan. Apa yang pasti, saya menyintai Bahasa Malaysia. Panggillah ia “Bahasa Nasional”, “Bahasa Rasmi” atau “Bahasa Kebangsaan” tetapi ia tetap “Bahasa Malaysia” bagi saya.

.

Bagi mereka yang pernah membaca karya-karya saya, pasti dapat memutuskan tahap penguasaan dan kecintaan saya terhadap bahasa kebangsaan.

.

Jadi, biarlah saya menjawab pertanyaan “Mengapa anda menulis?” dengan kata-kata “Saya menulis karya kreatif Bahasa Malaysia kerana kecintaan saya terhadap Bahasa Malaysia”.

.

Namun, pengalaman telah membuktikan bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia membuatkan pihak tertentu cemburu dan iri hati. Lalu, cinta kami dilarang. Kononnya istilah “Bahasa Malaysia” tidak wujud dan saya tidak boleh menyebut istilah itu; apatah lagi menulis istilah itu.

.

Wah! Seperti kisah cinta dalam karya sastera dan filem.

.

Demi membuktikan bahawa saya berada di pihak yang benar dan untuk membuktikan bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia tetap tidak luntur, saya pernah mengambil keputusan drastik pada tahun 1999. Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang. Saya memutuskan untuk tidak mengirim karya saya kepada mana-mana penerbit yang tidak memperakukan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.

.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa saya berhenti menulis. Tidak. Cuma, saya memastikan bahawa karya saya tidak menjadi ‘mangsa’ di tangan pihak yang membenci istilah “Bahasa Malaysia”; pihak yang nampaknya tidak mengetahui sejarah dan perkembangan Bahasa Malaysia dan Bangsa Malaysia.

.

Perjuangan saya bagi menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” menjadi suatu enigma; sebagaimana pernah dilaporkan sebuah akhbar Bahasa Inggeris. Pada Oktober 1999, Menteri Pendidikan membuat kenyataan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” sah digunakan dalam segala urusan. Cinta kami tidak dapat dihalang. [Baca DI SINI]

.

Malah, jika saudara melayari laman sesawang saya, saudara boleh melihat/membaca sendiri bagaimana Bahasa Malaysia diberi keutamaan. Memang terdapat rencana menggunakan Bahasa Inggeris tetapi Bahasa Malaysia masih dominan dan diberi keutamaan.

.

Bercakap mengenai tulisan dalam Bahasa Inggeris pula, perlu saya akui bahawa media Bahasa Inggeris di Malaysia amat menyedari kewujudan dan kesahihan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” serta mengiktiraf cinta saya terhadap bahasa berkenaan.

.

Saya juga tidak menghadapi masalah mengirim tulisan Bahasa Inggeris ke akhbar New Straits Times. Apa yang menarik, saya berhak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila saya menulis artikel Bahasa Inggeris bagi akhbar berkenaan. Misalnya: “Thus ends a Bahasa Malaysia short story by one of the participants in my creative writing workshop. Malah akhbar Bahasa Inggeris itu juga memperakukan bahawa “Uthaya Sankar SB is a Bahasa Malaysia creative writer”.

.

Sokongan yang saya terima daripada sekian ramai editor dan penerbit juga membuatkan saya semakin bersemangat untuk meneruskan pelbagai aktiviti sastera berasaskan Bahasa Malaysia. Para editor terbabit menyedari semangat cinta saya terhadap penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” dan tidak sekali-kali cuba menghalang cinta itu.

.

Pada awal tahun 2001, saya telah menerbitkan sendiri kumpulan cerpen berjudul Sasterawan Pulau Cinta. Saya terbit dan jual sendiri buku itu. Memang tidak untung besar tetapi memuaskan. Saya boleh terus bercinta dengan Bahasa Malaysia. Saya dedikasikan Sasterawan Pulau Cinta kepada Bahasa Malaysia.

.

Sejak tahun 1999, saya turut mengendalikan siri Bengkel Karyawan Muda dan Bengkel Cerpen Kavyan dengan kerjasama beberapa rakan penulis sebagai sebahagian aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan. Sambutan yang kami terima cukup memberangsangkan. Generasi muda mengenali Bahasa Malaysia dan mampu menulis karya kreatif Bahasa Malaysia. Mereka turut menyintai “Bahasa Malaysia” dan menerima “Bahasa Malaysia” sepenuh hati.

.

Saya berasa bangga kerana kecintaan generasi muda terhadap Bahasa Malaysia semakin mekar. Pelbagai aktiviti anjuran Kavyan juga mempunyai objektif ke arah itu.

.

Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Alaf 21 Sdn Bhd, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Selangor, Pusat Komuniti ERA, Kelab Seni & Sastera Kumpulan Kolej Prime, Kolej The One Academy, Kolej Antarabangsa SIT Klang, Kolej MARA Banting, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan seumpamanya, Kavyan berjaya menyumbang ke arah menyemai rasa cinta terhadap Bahasa Malaysia di jiwa generasi muda pelbagai kaum.

.

Mungkin perkara ini kelihatan @ kedengaran terlalu kecil bagi sesetengah pihak. Tetapi apabila seseorang bercinta sepenuh hati, seseorang itu akan memahami betapa pentingnya Bahasa Malaysia bagi saya. Walaupun saya berfikir dalam Bahasa Inggeris, saya masih fasih dan lancar bercakap Bahasa Malaysia. Bagaimana? Kerana cinta.

.

Cinta boleh dihalang. Tetapi cinta tidak boleh dibunuh. Cinta terhadap Bahasa Malaysia. Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia; meminjam judul puisi Retna Devi Balan yang dibacakannya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Ogos 1999 sempena Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

.

Ternyata cinta inilah yang menjadi dasar kepada penglibatan saya dalam penulisan kreatif Bahasa Malaysia. Memang ada beberapa lagi faktor yang telah saya jelaskan pada masa lalu.

.

Bagaimanapun, sejak belakangan ini, saya semakin sedar bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia menjadi satu faktor utama mengapa saya telah, sedang dan akan terus menulis karya Bahasa Malaysia.

.

Saya juga dengan bangga dan penuh ikhlas boleh menegaskan bahawa ibu pertiwi saya adalah Malaysia, bangsa saya adalah Bangsa Malaysia dan bahasa ibunda saya adalah Bahasa Malaysia.

..

[Proses Kreatif Uthaya Sankar SB yang disampaikan dengan tajuk "Mengapa Saya Menulis Karya Bahasa Malaysia?" pada Seminar Kesusasteraan Bandingan Malaysia 2001: Selangor Darul Ehsan di Muzium Alam Shah, Shah Alam pada 6 Oktober 2001. Klik DI SINI untuk membaca sedikit catatan tambahan.]

1 comment:

  1. Saya amat kagum melihat semangat serta cinta setia saudara Uthaya terhadap bahasa Malaysia.
    Teruskan perjuangan yang sangat murni ini!

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!