Namun, penulis tidak mahu bersikap berat sebelah dengan menyalahkan generasi muda sebagai kelompok yang buta budaya atau tidak mencintai budaya tempatan. Sebaliknya, penulis lebih suka berbincang mengenai antara sebab generasi muda lebih mengenali budaya luar serta kurang mengamalkan budaya tempatan.
Remaja dan belia secara semula jadi sering tertarik pada apa yang dilihat sebagai baru dan lain daripada yang lain. Memandangkan kita sering disuakan dengan amalan budaya (misalnya berpakaian, makanan dan pertuturan) secara yang konvensional, generasi muda akan cuba mencari kelainan.
Kelainan yang dicari itu ditambah pula dengan pengaruh persekitaran, khususnya media elektronik. Amalan budaya (termasuk berpakaian, makanan dan pertuturan) negara-negara luar yang dipaparkan melalui media massa merupakan kelainan yang segera pula menarik minat kelompok remaja.
Pergaulan dengan rakan-rakan sebaya juga mempengaruhi tingkah laku dan amalan budaya remaja. Sekadar contoh, seorang pelajar IPTS yang mahu mendapat perhatian daripada rakan-rakan sebaya di tempat dia belajar mungkin akan meniru budaya yang dipaparkan melalui media elektronik supaya penampilan dirinya lain daripada yang lain.
Seorang remaja yang mahu diterima oleh rakan-rakan sebaya juga sering terikut-ikut serta terpengaruh dengan budaya yang diamalkan oleh kumpulan berkenaan. Sekadar contoh, katakanlah sekumpulan remaja mengamalkan budaya hip-hop atau budaya punk. Bagi seorang remaja lain yang mahu diterima oleh kelompok tadi, pasti sahaja dia akan mula mengamalkan budaya yang sama.
Dalam kalangan rakan-rakan sebaya juga, apabila seorang individu bercakap mengenai budaya tradisional atau budaya tempatan, kemungkinan besar dia akan ditertawakan oleh rakan-rakannya. Hakikat ini sering diakui oleh pelajar kolej yang ditemui oleh penulis. Generasi muda kita sering “berpura-pura” tidak mengenali budaya tempatan tetapi sebaliknya lebih mengenali budaya luar. Kononnya budaya tempatan membuatkan mereka bermentaliti kekampungan.
Secara semula jadi juga, generasi muda akan cuba mencari identiti sendiri yang berbeza dengan identiti generasi terdahulu; khususnya ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, mereka juga ingin diterima oleh rakan-rakan sebaya yang kononnya berfikiran moden dan tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan globalisasi.
Kemasukan budaya luar ke negara kita secara mudah juga membuatkan generasi muda terdedahkan pada segala macam budaya dari negara-negara lain. Pada masa yang sama, apa yang menghairankan adalah bahawa budaya yang sering menjadi ikutan adalah budaya yang agak negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan.
Misalnya, budaya membaca orang Jepun tidak menjadi ikutan masyarakat kita. Budaya bertegur-sapa dan bertanya khabar seperti masyarakat barat juga tidak mempengaruhi kita. Sebaliknya, budaya yang bertentangan dengan budaya tempatan mudah sahaja mempengaruhi masyarakat kita sejak dahulu.
Pada pandangan penulis, setiap individu bebas membuat pilihan. Adalah tidak adil untuk kita menyalahkan “barat” atas segala keruntuhan nilai budaya di kalangan generasi muda. Sebaliknya, kita perlu berfikir: setakat mana kita sendiri cuba menerapkan budaya tempatan dalam kalangan muda-mudi untuk dijadikan benteng menghadapi pengaruh budaya luar; khususnya budaya yang bertentangan dengan budaya tempatan.
Kita perlu menyedari serta mengakui kelemahan kita sendiri sebelum cuba menyalahkan pihak luar atas segala masalah yang kita hadapi. Isu generasi muda kurang memahami serta kurang mengamalkan budaya tempatan juga perlu dilihat dari sudut sedemikian. Jangan mencari jalan mudah dengan menyalahkan negara-negara barat.
Kita perlu bertanya kepada diri kita: selain asyik menyalahkan budaya barat, pernahkah kita berusaha menerapkan budaya tempatan secara yang menarik dan sesuai? Kita perlu memahami jiwa remaja. Kita perlu sentiasa mengenang masa lalu di mana kita sendiri pernah menjadi remaja dan pernah melalui zaman “pemberontakan”.
Apabila ibu bapa mengatakan rakan yang digaulinya tidak sesuai dijadikan kawan, remaja berkenaan akan memberontak dan tetap menegaskan bahawa rakannya itu orang yang baik. Remaja berkenaan akan menjadi defensif dan bergaul lebih erat dengan rakan tadi; serta hubungan dengan ibu bapanya menjadi lebih renggang.
Sebaliknya, budaya tempatan perlu diterapkan secara berterusan dalam keluarga. Mana-mana budaya luar yang dirasakan sesuai bolehlah diserap masuk. Mana-mana budaya luar yang boleh diubah suai bolehlah diterap masuk dan disesuaikan dengan budaya tempatan. Jangan amalkan dasar pintu tertutup.
Budaya tempatan perlu diterapkan secara berterusan kepada generasi muda. Tentu sekali tugas ini perlu dipikul generasi terdahulu. Satu cara terbaik adalah dengan tidak melabelkan budaya tempatan sebagai “budaya tradisional” kerana label sedemikian mungkin sahaja membuatkan generasi muda kurang berminat.
Sebaliknya, gunakan pendekatan yang kreatif dan inovatif. Rasional di sebalik setiap amalan budaya juga perlu diterangkan kepada generasi muda sejak usia muda. Sering kali, generasi muda tidak mahu mengamalkan “budaya tradisional” kerana mereka tidak pernah diberitahu tentang rasional dan makna di sebalik amalan berkenaan.
Apabila budaya tempatan diterapkan dan diamalkan secara berterusan oleh masyarakat dewasa, generasi muda juga akan mula menerimanya. Syarat utama adalah bahawa generasi muda memahami rasional serta menyedari kekayaan budaya yang dimiliki. Asas budaya yang ditanam dalam jiwa tidak semestinya membuahkan hasil serta-merta, sebaliknya mungkin sahaja mengambil sedikit masa.
Apabila sudah ada kesedaran tentang kebudayaan tempatan, generasi muda akan tahu untuk mengimbangkan antara budaya tempatan dan budaya luar. Generasi muda akan tahu bagaimana mereka boleh menggunakan budaya luar (termasuk teknologi) untuk mengembangkan serta menyuburkan budaya tempatan.
Masih belum terlewat untuk generasi dewasa membetulkan kesilapan diri. Dan masih belum terlewat untuk generasi muda mendekati budaya sendiri. Kemampuan berbuat demikian juga menunjukkan kehadiran “budaya” dalam diri kita semua.
...
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!