3 Apr 2010

Di Penjuru Pantai Peru

Di sepenjuru pantai Peru,
Anak singa laut seekor terdampar,
tenggelam tangisnya dalam ombak berdegur,
memohon simpati ke langit samar.
..
Di pantai persih sepi,
berlonggok tubuh-tubuh kaku,
merah darah meresap ke masin pasir,
gagak-gagak hitam galak mematuk,
daging reput melekat pada paruh-paruh lapar,
anak singa laut lemah meraung,
memikir nasib bangsanya di pantai malang.
..
Gerangan apakah petaka yang menimpa?
si kecil itu tidak tahu, segalanya ia keliru.
Suatu ketika dulu,
datang mereka dari Puncak Pergunungan Andes,
membiak beranak-pinak di riba pantai,
di dada Pasifik menjadi singa-singa mahabesar.
Kini bangkai-bangkai bergelimpangan,
dalam kebuluran berpanjangan,
kerana laut ketandusan ikan,
kerana El-Nino menerjah taring murka.
..
Di atas kerusi empuk dalam sejuk bilik,
kita bercokol dan berdebat di meja persidangan,
mencari sebab dan membikin akta.
Dalam kertas,
senarai spesies terlindung kian panjang,
sedang di perut bumi,
kepupusan menjadi peristiwa setiap hari.
..
Jika kita berani berbicara,
untuk mengubah cara,
mengurus dunia dengan bijaksana,
mengajar yang kaya hidup sederhana,
melempar tamak ke gelap lepas angkasa,
barangkali, ya barangkali,
Tuhan akan memberikan kita,
peluang sekali lagi.
..
Di penjuru pantai itu,
masih menggigil anak singa laut seekor,
di celah batu, pilu dan lapar,
dalam angin laut berdesur,
menerima belai dari halus lumut hijau,
tanpa ibu di sisi.
..
Nafas esoknya,
dalam gulungan gelombang ganas tersimpan,
sayup-sayup dalam sayap angin,
suara laut menyanyikan lagu maut.

..

(Karya Saroja Theavy Balakrishnan sempena Ratib Seribu Syair)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!