3 Apr 2010

Kita Warga Nusantara

Jiranku oh jiranku!
Mengapa kaupilih tombak dan pedang,
sedang kita dalam taman yang aman?
Dalam rimba tropika disapa desir dedaunan,
indahnya menjadi cemburu di peterana dunia.
..
Sebuah pelantar emas nusantara ini,
kita bisa mendapat makan di sini,
dalam deguran ombak ribuan,
ikan-ikan berenang ke pukat,
di tanah subur merata,
padi menguning dan labu melata,
di pohon hijau buah-buah berputik lebat,
bakul-bakul petani gigih penuh terisi.
..
Sebuah pelantar emas nusantara ini,
biar kauAcheh atau Ambon,
biar kauJayapura atau IrianJaya,
atau Sampit yang tersepit dalam ideologi sempit,
kautetap warga nusantara ini, jiranku.
..
Dulu, kaupernah bersatu,
di bawah panji yang jitu,
menjadi kuasa mahakuat,
menggigil Belanda dalam takut,
lalu melarikan diri dalam kalut,
Tercicir ke mana jiwamu itu?
Oh, jiranku!
..
Sebuah pelantar emas nusantara ini,
Di biat ini,
danau-danau tidak dahagakan darah,
gunung-ganang tidak dambakan dendam.
Di biat ini,
kita perlu berbicara dalam bahasa damai,
sebelum Tuhan membuat keputusan,
menutup pintu rahmat,
kerana warga nusantara,
terlupa makna syukur.

...

(Karya Saroja Theavy Balakrishnan sempena Ratib Seribu Syair)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!