24 Apr 2010

Kakak, Tolonglah Saya!

Uthaya Sankar SB, “Kakak, Tolonglah Saya!” dalam Siru Kambam (KL: DBP, 1996), hlm. 127-138.
..
‘Aku’ sedang dalam penerbangan dari Hyderabad menuju ke New Delhi menaiki pesawat Air India pada Julai 1992. Baru sehari dia berada di India. Kedatangannya ditaja oleh kerajaan Malaysia untuk membuat promosi bagi meluaskan pasaran barangan Malaysia di India.
.
Seorang lelaki Jerman yang yang tinggi lampai dan hanya dikenali sebagai Joe duduk di sisinya. Joe cuba mengajak ‘Aku’ berbual tentang kecantikan awan yang kelihatan melalui tingkap pesawat. Mereka turut membincangkan laporan akhbar The Pioneer tentang amalan satee di sebuah kampung terpencil di India. Joe ingin tahu apakah satee turut diamalkan di Malaysia. ‘Aku’ cuba menerangkan asal-usul serta amalan satee pada zaman moden.
.
Walau bagaimanapun, perhatian ‘Aku’ lebih banyak tertumpu kepada seorang anak gadis yang duduk bersama seorang lelaki tua tidak jauh dari tempat duduk ‘Aku’ dan Joe. Lelaki tua itu sedang tidur. ‘Aku’ cuba berbual dengan anak gadis itu menggunakan bahasa Tamil lalu mendapat tahu bahawa namanya Ameena Badarudeen dan umurnya dua belas tahun. Ameena menyatakan rasa kagum kerana dapat berjumpa orang Malaysia.
.
Tidak lama kemudian, lelaki tua itu tersedar. Dia memarahi Ameena menggunakan bahasa Hindi yang tidak difahami oleh ‘Aku’. Anak gadis itu duduk diam dan kepalanya tertunduk agak lama. Sementara itu, Joe pula mengajak ‘Aku’ berbual tentang perebutan tapak Masjid Babri oleh kumpulan beragama Islam dan Hindu.
.
Tidak lama kemudian, ‘Aku’ mendapati lelaki tua tadi sudah kembali tidur. ‘Aku’ cuba mengajak Ameena berbual. Anak gadis itu segera berlari ke arah ‘Aku’ dan merangkul lehernya. Ameena menjelaskan bahawa lelaki tua itu bernama Yaahya. Ibu bapa Ameena sudah menjualnya kepada Yaahya untuk dijadikan isteri dan seterusnya dibawa ke negara Arab. Sambil menangis, Ameena meminta pertolongan daripada ‘Aku’ untuk menyelamatkannya.
.
‘Aku’ sedar bahawa dia perlu bertindak segera untuk membebaskan Ameena daripada menjadi mangsa Yaahya. Lantas ‘Aku’ pergi ke bahagian hadapan kapal terbang dan menceritakan kepada para penumpang apa yang terjadi. Rata-rata para penumpang dari pelbagai negara bersetuju bahawa Yaahya dianggap telah menculik gadis di bawah umur dan perbuatannya mencabul hak kanak-kanak.
.
‘Aku’ mengedarkan petisyen untuk ditandatangani oleh para penumpang. ‘Aku’ bercadang hendak menyerahkan Yaahya kepada pihak berkuasa apabila pesawat Air India mendarat di New Delhi. Sewaktu semua ini berlaku, Yaahya hanya mampu duduk diam sambil menahan perasaan marah dan malu.
.
‘Aku’ dan Joe terasa sangat gembira di atas kejayaan dan keberanian ‘Aku’ bertindak segera dan secara yang bijak. Walau bagaimanapun, beberapa saat sebelum pesawat mendarat, Ameena tiba-tiba menjerit dan mengatakan bahawa Yaahya tidak menculiknya; sebaliknya dia kononnya berkahwin dengan Yaahya secara rela. Ini sekali gus bermakna segala usaha ‘Aku’ untuk menyelamatkan gadis itu akhirnya sia-sia sahaja. ‘Aku’ hanya mampu terpinga-pinga melihat Ameena berlari ke arah Yaahya.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!