24 Apr 2010

Kandasami

Saroja Theavy Balakishnan, “Kandasami” dalam Menara 4 (KL: DBP, 1991), hlm. 1-14.
..
Kandasami ialah seorang lelaki berumur 46 tahun. Tiga puluh tahun lalu – semasa umurnya 16 tahun – dia lari dari rumah di India dan menaiki kapal percuma yang disediakan oleh kerajaan British untuk membawa buruh ke ladang getah di Malaya. Memandangkan bahawa dia boleh bercakap dan menulis bahasa Inggeris serba sedikit, sepuluh tahun kemudian, Kandasami diambil bekerja di Jabatan Kereta api Tanah Melayu. Dia menjadi porter di stesen Alor Setar.
.
Kisah yang dipaparkan dalam cerpen ini berlaku pada 25 September 1950. Kandasami berada dalam dilema berhubung rancangannya untuk pulang ke India. Dalam masa seminggu – 2 Oktober 1950 – dia akan bertolak ke India dan terus menetap di sana. Tiket sudah dibeli sebulan lebih awal. Kandasami bakal menaiki kapal Sri Laksmi dari Pulau Pinang menuju ke Tamil Nadu, India.
.
Kandasami begitu asyik meneliti tiket tersebut. Apabila ditanya oleh Darus, dia berdalih dengan mengatakan bahawa kertas yang dipegangnya adalah surat untuk menguruskan pasport anak jirannya. Darus lalu memuji Kandasami sebagai seorang pemimpin yang benar-benar mengambil berat tentang nasib bangsanya.
.
Segala pujian tersebut membuatkan Kandasami terasa semakin bersalah dan hatinya berbelah-bagi. Dia memang terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial untuk membantu masyarakat India di Tanah Melayu; khususnya di Alor Setar. Tidak seorang pun tahu bahawa dalam masa seminggu lagi, lelaki yang mereka puji dan harapkan itu akan pergi ke India untuk memulakan hidup baru.
.
Selepas berbual dengan Darus tentang beberapa hal berhubung tanda-tanda kemerdekaan Tanah Melayu, Kandasami berjalan pulang. Dia ternampak isterinya, Theivanai yang mengandung enam bulan – anak keenam – sedang mengambil air di pancuran awam. Kandasami terus membantunya. Dalam diam, Kandasami terasa amat bersalah kerana dalam masa seminggu lagi dia akan meninggalkan Theivanai dan anak-anak untuk kembali ke India.
.
Sebenarnya, sebelum ini Kandasami pernah mencadangkan kepada Theivanai agar mereka anak-beranak sama-sama pulang ke India. Tetapi Theivanai tidak bersetuju. Katanya, tidak pernah ada hasrat dalam jiwanya untuk pulang ke India.
.
Kandasami pernah cuba memujuk Theivanai dengan mengatakan bahawa segala hasil daripada titik peluhnya sudah dihantar ke India. Bapa dan adik Kandasami telah menggunakan wang yang dikirim dengan bijak sehingga berjaya membeli rumah batu serta sepuluh ekar tanah. Adiknya telah mencadangkan agar Kandasami pulang ke India dan mereka akan sama-sama membuka kedai runcit di kampung mereka. Kandasami yakin bahawa mereka sekeluarga akan mampu hidup senang dan mewah di India.
.
Namun begitu, Theivanai tetap berkeras mengatakan bahawa dia mahu menghembuskan nafas terakhir di Tanah Melayu yang menjadi tanah tumpah darahnya. Malah dia mula mempersoalkan apakah Kandasami sanggup meninggalkan perjuangannya untuk membela kaum India di separuh jalan.
.
Kandasami berkali-kali cuba memujuk Theivanai agar bersetuju dengan cadangan agar mereka sekeluarga pulang ke India. Namun begitu, isterinya tetap tidak mahu turut sama. Akhirnya Kandasami telah memutuskan untuk membeli tiket kapal tanpa pengetahuan isteri dan anak-anak.
.
Kandasami akan pergi sendirian. Dia yakin bahawa setelah menderita seketika di Tanah Melayu, Theivanai dan anak-anak juga akan turut memutuskan untuk ke India. Kandasami yakin dengan andaiannya itu. Walau bagaimanapun, dia masih mengalami dilema berhubung tindakannya membelakangkan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.
.
Kandasami sudah nekad untuk pulang ke India sebagaimana sudah dirancang. Sementara itu, Tuk Haji Meriam pula membenarkan Kandasami menggunakan rumahnya di tepi sungai sebagai tempat bagi mengadakan kelas bacaan untuk penduduk India di kampung mereka. Malah Tuk Haji Meriam tidak meminta apa-apa bayaran memandangkan bahawa rumah itu akan digunakan untuk tujuan kebajikan.
.
Apabila beliau memuji sikap tanggungjawab Kandasami terhadap masyarakatnya, lelaki itu terasa malu sendiri. Dia sedar bahawa buat masa ini, dia sedang berpura-pura sahaja kerana dalam masa beberapa hari sahaja lagi dia akan meninggalkan Tanah Melayu dan semua penduduk kaum India di sini untuk pulang ke Tamil Nadu. Kandasami menganggap dirinya “hipokrit nombor satu”. Dia sedar bahawa hakikat itu akan diketahui umum tidak lama lagi. Namanya pasti tercemar di mata masyarakat yang selama ini menganggapnya sebagai pemimpin yang sangat prihatin terhadap nasib kaum India.
.
Walaupun begitu, Kandasami tetap tidak peduli. Dia tidak mahu segala hal yang berlaku itu menghalang rancangannya untuk pulang ke India. Semua ini berikutan tindakan adiknya yang mengutus surat dari India untuk memujuk Kandasami agar pulang ke India yang sudah pun merdeka pada waktu itu. Kata si adik, ada ura-ura akan berlaku keadaan huru-hara di Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu merdeka, orang India tetap tidak akan diberi hak sama rata dengan kaum asli.
.
Akhirnya, hari yang ditunggu pun tiba. Tanpa diketahui oleh sesiapa, Kandasami sampai ke pelabuhan di Pulau Pinang. Dia masih dalam dilema apabila teringatkan isteri, anak-anak, sahabat dan sekian ramai kenalan yang akan ditinggalkannya.
.
Kandasami terus duduk di luar bilik penantian sambil menatap tiket di tangan. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua yang berwajah sedih. Dia mengatakan bahawa isterinya sedang sakit tenat di India. Dia perlu pulang segera tetapi tiket kelas tiga sudah habis dan dia tidak mampu membeli tiket kelas pertama. Dia merayu agar Kandasami menjual tiket kepunyaannya.
.
Tanpa banyak soal, Kandasami menyerahkan tiketnya kepada lelaki tua berkenaan. Selepas kapal meninggalkan pelabuhan, Kandasami memutuskan untuk pulang ke rumah. Dia membayangkan kehidupan yang bahagia di samping anak-isteri dan jiran pelbagai kaum dan agama.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!