“Kita minta dia baca sajak dan bukannya membaca cerpen,” kata mereka.
Pernah tidak mendengar orang membaca sajak di pentas dan khalayak tertanya-tanya mengapa individu itu memilih untuk berbuat demikian?
Mungkin intonasi dan gayanya salah dan merasakan individu itu sengaja memilih untuk memalukan diri di khalayak!
Membaca sajak – apatah lagi mendeklamasi sajak – di khalayak bukan perkara mudah. Sering kali individu tertentu terpekik dan terlolong di pentas; bagi mereka itulah cara membaca yang betul.
Ada pula yang meratap hiba; bagi mereka sajak mesti sedih dan mendayu-dayu. Sajak mesti disampaikan dengan wajah dan suara yang sedih.
Acara membaca sajak memang sudah menjadi rutin – malah semacam wajib – dalam pelbagai acara di negara kita.
Bagaimana pula acara pembacaan teks cerpen? Memanglah minat membaca cerpen tidak kental di jiwa penduduk; termasuk sekerat penulis dan cerpenis.
Membaca cerpen yang dimaksudkan adalah membaca cerpen dengan suara yang lantang di khalayak untuk didengar orang; bukan sekadar membaca tanpa suara untuk dinikmati diri sendiri.
Pelbagai penilaian boleh dibuat oleh khalayak umum mengenai mutu pembacaan sajak – atau deklamasi sajak. Namun, tidak begitu halnya dengan pembacaan cerpen.
Kita tidak biasa membaca cerpen untuk didengar oleh orang lain. Apa yang ada, mungkin membacakan buku cerita kepada anak-anak.
Nah! Siapa kata kita tidak ada bakat semula jadi membaca teks cerpen untuk didengar orang lain?
Kalau pada masa lalu kita ada penglipur lara, tugas itu kemudian diganti ibu bapa yang bercerita kepada anak-anak.
Seterusnya, dengan adanya buku cerita, ibu bapa zaman moden mula membacakan cerita untuk anak-anak.
Bagaimana agaknya gaya Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ismail Hussein membacakan cerita kepada anak-cucu? Bagaimana kalau Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman membaca cerpen kepada khalayak?
Pengarah Penerbitan DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang pendiam. Mampukah beliau membaca cerpen di depan orang ramai?
Khalayak biasa mendengar Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membaca puisi yang panjang dan berciri naratif. Bagaimana kalau beliau membaca teks cerpen pula?
Pendeklamator seperti Norazimah, Mohd. Radhi dan Amaruszati pula mampukah membaca naskhah cerpen sehebat mendeklamasi sajak?
Maimunah yang sering membawa watak ibu dalam drama televisyen; mampukah beliau membaca cerpen dengan penuh bergaya?
Tidak terkecuali juga kelompok editor dan wartawan sastera di akhbar dan majalah yang saban hari menatap karya sastera. Adakah mereka berbakat membaca cerpen di pentas?
Jawapan bagi soalan-soalan ini tidak semudah menjawab soalan mengenai pembacaan puisi. Mengapa? Pembacaan cerpen di khalayak belum menjadi budaya di negara kita.
Namun, buat pertama kali dalam sejarah dunia sastera Malaysia, orang ramai akan berpeluang mendengar hampir 385 buah cerpen Bahasa Malaysia dibacakan oleh hampir 160 orang selama lebih 96 jam!
Inilah masa untuk mendengar semua tokoh yang dinamakan di atas menunjukkan bakat membaca cerpen untuk didengar oleh khalayak.
Dr. Othman Puteh dijadual membuka tirai Baca Cerpen Kavyan tepat pukul 4 petang, pada 29 Ogos 2003 di Galeri Shah Alam.
Sumbangan Dr. Othman dalam mengasah bakat-bakat baru serta sumbangan beliau sebagai cerpenis tidak dapat dipertikaikan.
Jadi, urus setia penganjuran sebulat suara memutuskan untuk mengundang beliau membaca cerpen pertama.
A. Samad Said diberi penghormatan membacakan naskhah terakhir bagi melengkapkan acara membaca cerpen berterusan 96 jam ini. Beliau juga akan menjadi saksi bagi Baca Cerpen Kavyan.
Acara anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ini mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor.
Kejayaan acara membaca cerpen berterusan 96 jam bakal dicatat dalam The Malaysia Book of Records, bakal mengatasi rekod sedia ada, pembacaan cerpen Bahasa Inggeris selama 72 jam.
Tujuan utama acara ini adalah untuk memberi kelainan pada cara penghayatan teks cerpen. Acara baca puisi sudah terlalu biasa tetapi acara baca teks cerpen masih belum begitu popular.
Kavyan mahu memberi peluang kepada penulis untuk membacakan karya mereka; serta peminat sastera untuk membacakan cerpen yang mereka minati.
Baca Cerpen Kavyan mendapat sambutan hangat daripada peserta pelbagai kaum. Apatah lagi, acara akan dikendalikan sepenuhnya menggunakan Bahasa Malaysia
Wartawan akhbar Bahasa Inggeris, Bissme S juga dijadual menunjukkan kebolehan membaca cerpen Bahasa Malaysia.
Antara penulis kaum India yang turut serta ialah Dr. Krishanan Maniam, Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB, S.G. Prabhawathy dan Vijayaletchumy Vellasamy.
Pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan pelajar kolej swasta turut mengambil bahagian; menjadikan Baca Cerpen Kavyan suatu acara gilang-gemilang dan penuh bermakna.
Sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dijadual datang khusus untuk mengambil bahagian. Begitu juga beberapa peminat sastera dari Kelantan, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Ahli komuniti yang sering berkomunikasi di ruang siber juga bakal tampil membaca cerpen.
Acara yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September di Galeri Shah Alam di Shah Alam ini pasti menjadi suatu acara yang penuh bermakna bukan sahaja untuk para peserta tetapi juga untuk para peminat yang hadir sebagai penonton.
Selain berpeluang mendengar cerpen dibacakan, khalayak juga akan berpeluang bertemu kelompok penulis sastera kebangsaan.
Namun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan mengenai mutu pembacaan cerpen oleh para peserta. Orang ramai perlu hadir untuk mendengar sendiri pembacaan cerpen oleh hampir 160 peserta.
(Uthaya Sankar SB, “Membudayakan Baca Cerpen”, Utusan Malaysia, 17 Ogos 2003)
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!