20 Apr 2010

Wujudkah Karya Bodoh dalam Sastera Bahasa Malaysia?

SELESAI membaca tulisan Kanaga Saba, “Elak Hipokrasi Sastera Alaf Baru” (Berita Harian, 21 Mei 1999), saya kebingungan. Beberapa persoalan mula bermain dalam fikiran saya.
.
Pertama, satu persoalan besar iaitu apakah benar dakwaan Kanaga berhubung beberapa penulis generasi baru dalam tulisannya itu. Kedua, kalaulah benar dakwaan itu, memang wujudkah karya bodoh dalam sastera Melayu seperti yang didakwa Uthaya Sankar SB.
.
Beberapa ketika saya menunggu reaksi rakan penulis berhubung kebenaran kenyataan Uthaya itu. Tetapi sampai pada saat saya memberanikan diri mencungkil kebenaran dakwaan Uthaya ini, reaksi kepada kenyataan yang membingungkan itu tidak juga kunjung menjelma.
.
Barangkali benar juga agaknya dakwaan Uthaya itu, dalam sastera kita memang wujud karya bodoh. Jesteru, tidak perlu sesiapa pun kalangan penulis yang selalu menghasilkan karya bodoh menjawabnya.
.
Namun, sebagai manusia mentah yang masih mahu belajar mengenai selok-belok berkarya, saya rasa terpanggil untuk meminta tunjuk ajar Uthaya mengenai konsep karya cerdik yang mungkin orang searif Uthaya sahaja yang memilikinya, yang barangkali kalau Uthaya sudi memperluaskannya kepada kelompok penulis karya bodoh lainnya, tentu ia boleh dimanfaat oleh masyarakat pembaca yang membaca tulisan itu selepas ini.
.
Sebenarnya, keghairahan meminta diperbetulkan karya bodoh yang didakwa wujud oleh Uthaya dalam sastera tempatan selama ini berpunca daripada kesempatan pertemuan dengan beberapa penulis besar yang juga masih tertanya-tanya apakah mereka juga menghasilkan karya bodoh seperti yang didakwa Uthaya. [Rujuk kertas kerja Uthaya]
.
Dalam sesi fikir di pondok rehat De Palma Resort Kuala Selangor itu, kami cuba meleraikan kekusutan berhubung karya bodoh dan karya cerdik ini. Namun sampai tengah malam bercakap mengenai isu itu, akhirnya semua bersetuju mengambil keputusan menggantung perbincangan, kerana selepas penat berfikir, tidak nampak pula oleh kami konsep karya bodoh seperti yang dimaksudkan Uthaya itu.
.
Dan sayalah penulis paling kerdil ketika itu yang perlu terus mencari kebenaran kenyataan Uthaya. Pada tanggapan saya, orang lain mungkin sudah melepasi tahap penghasilan karya bodoh, tapi saya barangkali mungkin dalam lingkungan itu. Jadi, saya harus jujur mencari jawapan daripada Uthaya.
.
Saya juga kalau boleh tidak mahu menghasilkan karya bodoh, jesteru saya juga tidak mahu membaca karya bodoh, kerana saya pun seperti Uthaya, percaya bahawa kalau membaca karya bodoh pasti hasilnya akan melahirkan kebodohan.
.
Saya juga mahu menuruti Uthaya yang yang tidak mahu menipu khalayak dengan karya bodoh kerana sasaran khalayak saya juga ialah mereka yang mampu berfikir. Pun tidak jelas apakah yang dikatakan cerdik oleh Uthaya.
.
Malah saya juga percaya seperti percayanya Uthaya, kalau saya menghasilkan karya bodoh, memang jumlah pembaca mentaliti rendah boleh bertambah dan pada masa yang sama, kelompok bermentaliti tinggi akan kecewa kerana karya bodoh saya yang memperbodohkan mereka. Selayaknya mereka beralih membaca karya bijak.
.
Saya kemudiannya meminta nasihat daripada beberapa rakan penulis dan mereka menasihatkan saya supaya meneroka cerpen Uthaya bagi mencari permata yang terlindung di dalamnya. Demi kebaikan untuk meneruskan dunia berkarya, saya pun mendekati karya Uthaya yang selama ini tidak pula saya sedar akan kewujudannya dalam pasaran sastera Bahasa Malaysia.
.
Membelek antologi Orang Dimensi, Hanuman: Potret Diri, Munis dengan Harimau dan Siru Kambam, saya tercari-cari di manakah kecerdikan karya yang boleh saya kutip. Saya ulang membacanya, tetapi seperti mulanya saya terhenti begitu saja kerana kecerdikan karya yang saya cari terus saja menyembunyikan dirinya dalam cerpen Uthaya yang saya tidak nampak kelebihannya berbanding cerpen lain yang pernah saya baca sebelum ini.
.
Lantas saya memarahi diri saya kerana tidak menjadi pembaca yang bijak. Tetapi apabila mengingatkan kenyataan yang ditulis oleh Kanaga: “kepintaran memerlukan keupayaan menyesuaikan diri dan dalam hal ini saya rasa Uthaya masih perlu belajar menyesuaikan diri dengan masyarakat untuk memenangi hati mereka. Keupayaan mencari altarnatif dan menawan khalayak ramai adalah kepintaran” saya jadi bersemangat kembali.
.
Fikir dan terus berfikir, saya akhirnya sudah boleh membuat keputusan mengenai permasalahan saya. Uthaya perlu banyak belajar untuk memenangi hati peminatnya.
.
Seorang penulis besar tidak perlu bercakap besar. Seorang penulis yang baik tidak perlu memberitahu semua orang dia mampu menulis dengan amat baik. Seorang penulis yang berpotensi besar dalam dunia penulisan bukan cuma diukur berdasarkan kemampuannya memenangi dua tiga hadiah melalui pertandingan, kerana pengadil yang sebenarnya dalam dunia penulisan ialah pembaca yang Uthaya anggap bodoh itulah.
.
Dalam dunia penulisan, penulis bukan sahaja perlu menolak hipokrasi tetapi juga sifat ego yang selalu berselubung di hati. Penulis yang baik biasanya tidak mencanangkan kebaikan karyanya kepada pembaca. Penulis yang berhemah tidak pula menganggap karya lain sebagai karya bodoh kerana kebodohan itu sebenarnya timbul kerana kita adalah penilai yang bodoh.
.
Uthaya tentulah sedar, segala bakat yang ada pada seseorang penulis itu adalah suatu anugerah yang boleh ditarik balik oleh Tuhan [menggantikan Allah yang digunakan Hassan] pada bila-bila masa saja.
.
Sama seperti Kanaga, saya tentu kecewa kalau Uthaya yang cepat bangun dalam dunia penulisan ini akan cepat pula jatuhnya nanti. Sebaik manapun kita sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada menonjolkan kelemahan kita yang akan terserlah juga suatu hari nanti.
.
Saya fikir, sebagai penulis generasi baru, Uthaya harus terus menimba pengalaman dengan mengurangkan usaha mencari publisiti murah dengan menghina orang lain.
.
Kenyataan Uthaya: “terus-terang saya katakan, minat saya menulis cerpen timbul lantaran rasa mual membaca cerpen yang termuat dalam antologi cerpen remaja yang terbit sebelum 1988. Namun rasa mual itulah yang membuatkan saya mahu menghasilkan karya yang lebih baik daripada sudah terbit itu. Mungkin benar tidak ramai yang menggemari karya saya, tetapi saya hanya memerlukan 10 pembaca berotak untuk membuatkan saya terus berkarya. Tidak sukar mencari 10 manusia berotak, bukan?” tersiar dalam Dewan Sastera (Mei 1997) perlu dan bijaksana dielakkan.
.
Tanyalah siapa pun, kenyataan ini terlalu tinggi egonya. Saya tidak tahu apakah Uthaya sudah pastikan karyanya tidak mual dibaca seperti kemualannya membaca karya lain. Dan adakah Uthaya yakin yang 10 orang pembaca berotak itu sudah ditemui? Seterusnya, apakah pembaca yang tidak terbuka hatinya untuk membaca karya Uthaya bermakna tidak berotak? Saya kira kita tidak bermain dengan pelbagai macam analogi mahupun personafikasi.
.
Saya sendiri menjadi hairan melihat kenyataan kepintaran Uthaya berkarya. Setahu saya, dalam dunia penulisan Malaysia, Uthaya boleh dianggap cukup bernasib baik kerana dalam konteks penghasilan karya, Uthaya penulis berbangsa asing, mungkin boleh melalui jalan pintas masuk melalui lorong mudah yang tidak perlukan tapis yang tebal yang merumitkan, berbanding penulis berbahasa Melayu yang terpaksa melalui ranjau yang beronak untuk berdiri sebaris dengan Uthaya.
.
[Catatan: Sila maklum bahawa Uthaya bukan “penulis berbangsa asing” dan “penulis berbahasa Melayu”.]
.
Sebenarnya banyak lagi penulis remaja Melayu yang saya kira lebih baik daripada Uthaya, tetapi kerana hierarki yang merumitkan, mereka bangun agak lewat.
.
Saya dan ramai teman memuji S M Zakir yang punya bakat besar tetapi tidak punya kesombongan yang besar. Tidak pernah pun bercakap tentang keburukan karya orang lain. Juga tidak pernah menulis sendiri ulasan mengenai kebaikan karyanya sendiri. Begitu juga dengan Marsli N O, antologi terbarunya amat menarik dan penuh bobot, namun Marsli belum lagi bercakap besar.
.
(Hassan Baseri Budiman dalam Berita Harian, 17 Jun 1999) 


[Catatan: Artikel yang sama, oleh penulis yang sama pernah juga tersiar di akhbar yang sama dengan judul “Penulis Usah Mudah Jadi Hipokrit” pada 6 Januari 1999. Hassan pula terbukti menulis artikel ini tanpa menyertai Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada November 1998 mahupun membaca kertas kerja yang dibentangkan oleh Uthaya Sankar SB pada seminar berkenaan.]