16 Oct 2010

Misteri Minda Manusia

1. Belum ada sebarang jawapan tepat yang mampu menjelaskan mengapa dan bagaimana manusia bermimpi. Pelbagai teori dikemukakan, misalnya bahawa minda cuba membayangkan apa yang tidak dilaksanakan oleh individu itu pada waktu siang. Apa yang pasti, manusia hanya bermimpi apabila nyenyak.
.

2. Hampir lapan jam sehari digunakan untuk tidur tetapi sebab sebenar manusia tidur juga tetap menjadi misteri. Apa yang pasti, manusia – sebagaimana mamalia lain – perlu tidur. Kekurangan tidur boleh menyebabkan seseorang cepat marah, berhalusinasi serta boleh membawa kepada kematian.

.

3. Terdapat laporan bahawa 80 peratus individu yang sudah dipotong anggota badan masih merasai sensasi bagaikan anggota badan itu masih ada. Mungkin juga sel saraf di bahagian anggota yang dipotong itu menghasilkan sambungan baru ke saraf tunjang dan terus menghantar isyarat bagaikan bahagian anggota itu masih ada.

.

4. Minda manusia bagaikan sudah diprogramkan untuk beroperasi mengikut putaran masa 24 jam sehari. Jam biologi (biological clock) di bahagian hipotalamus otak mempengaruhi waktu bangun tidur, penghadaman, suhu badan, tekanan darah dan penghasilan hormon.

.

5. Ada pengalaman yang mudah dilupakan dan ada pula pengalaman yang kekal dalam ingatan dari zaman kanak-kanak hingga menjadi tua. Minda manusia ternyata mempunyai mekanisme unik yang menyimpan, menyusun, menyunting, mengubah serta membuang pengalaman dalam bentuk visual.

.

6. Manusia sering ketawa tetapi perbuatan itu tetap menjadi suatu misteri yang sukar dirungkaikan. Saintis mendapati tiga bahagian otak berfungsi apabila manusia mendengar kisah lucu: bahagian yang membantu memahami lawak itu, bahagian yang menghantar isyarat kepada otot supaya ketawa, dan bahagian ketiga yang menimbulkan rasa lucu dalam diri individu terbabit.

.

7. Siapa atau apa yang membentuk corak pemikiran dan personaliti seseorang? Persoalan ini juga masih belum terjawab. Saintis mengatakan perkembangan minda seseorang mungkin dipengaruhi faktor genetik atau persekitaran, atau kedua-duanya.

.

8. Persoalan mengenai mengapa manusia menjadi tua juga masih menjadi misteri kerana umur dan minda didapati saling berkaitan. Kemampuan otak untuk membaiki kerosakan pada tubuh secara mental semakin berkurangan apabila menjadi tua.

.

9. Minda manusia dikatakan boleh terus hidup walau pun selepas jasad mati secara fizikal. Atas keyakinan saintifik itu, terdapat mayat manusia disimpan di dalam balang berisi nitrogen di Arizona, Amerika Syarikat. Kononnya, individu yang meninggal dunia akibat penyakit tertentu boleh dipulihkan apabila ubat yang sesuai ditemui pada masa hadapan.

.

10. Manusia berada dalam keadaan sedar (conscious) dan keadaan ini berkait dengan kemampuan minda. Topik ini diakui sangat kompleks oleh pakar kaji saraf. Kemampuan minda untuk mengekalkan manusia dalam keadaan sedar terus menjadi misteri.

.

Penyakit Mental – KLIK DI SINI

...

Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di Halaman Sains Global akhbar Sinar Harian pada 17 Oktober 2010.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!