16 Oct 2010

Penyakit Mental

1. Pada zaman dahulu, histeria dianggap penyakit mental yang hanya menyerang wanita. Kejahilan mengenai penyakit ini menyebabkan doktor pada masa lalu hanya meminta pesakit berehat dan tidur, serta mengurangkan aktiviti sosial dan jangan keluar rumah. Akibatnya, tekanan minda pesakit semakin meningkat.
.

2. Teori-teori Sigmund Freud (6 Mei 1856 – 23 September 1939) mengenai minda bawah sedar, terapi perbualan dan psikoseksual dianggap sudah ketinggalan zaman tetapi masih diamalkan dan menjadi pegangan dalam bidang perubatan psikoanalisis yang amat penting untuk memahami penyakit mental.

.

3. Penyakit kecelaruan personaliti narsisistik sukar diklasifikasikan. Hal ini kerana pesakit biasanya turut menunjukkan tanda-tanda kecelaruan personaliti lain seperti kecelaruan personaliti histrionik dan kecelaruan personaliti pinggiran.

.

4. Penyakit kecelaruan jati diri disosiatif juga dikenali kecelaruan personaliti berganda. Buku Sybil (1973) oleh Flora Rheta Schreiber dan filem arahan Daniel Petrie dan lakonan Sally Field berdasarkan kisah itu pada 1976 serta filem arahan arahan Joseph Sargent dan lakonan Tammy Blanchard pada 2007 adalah mengenai Shirley Ardell Mason yang dikatakan memiliki 16 personaliti berbeza hasil daripada penderaan fizikal dan seksual sejak kanak-kanak.

.

5. Kecelaruan hiperaktif sering kali dikaitkan dengan kanak-kanak di mana pesakit tidak boleh duduk diam, sukar memberi tumpuan dan tidak dapat mengawal pergerakan. Dewasa ini, penyakit berkenaan turut dikesan pada orang dewasa.

.

6. Penyakit kecelaruan bipolar sering dikaitkan dengan orang dewasa. Simptom yang nyata adalah kemurungan melampau, marah tanpa sebab dan mudah teruja. Dewasa ini, penyakit itu turut dikesan dalam kalangan kanak-kanak tetapi hal ini mungkin disebabkan doktor tersilap membuat diagnosis.

.

7. Kecelaruan Asperger merujuk pada individu yang memiliki kemampuan berfikir dan keupayaan bahasa yang normal, tetapi kekurangan kemampuan bersosial. Ada cadangan supaya penyakit ini disamakan dengan autisme tetapi pakar penyakit kecelaruan Asperger menegaskan bahawa kedua-dua penyakit itu adalah berbeza.

.

8. Sejak 1973, homoseksualiti tidak lagi dianggap sebagai penyakit otak dan mental selepas kajian sains perubatan menunjukkan kemungkinan ia tiada kaitan dengan kekurangan fungsi otak beroperasi secara normal.

.

9. Penyakit ketagih seks juga dikaitkan dengan kecelaruan minda. Kebanyakan pesalah yang melakukan jenayah seksual akibat penyakit ini mengaku bahawa mereka menghadapi kesukaran mengawal ketagihan itu.

.

10. Kecelaruan identiti jantina pula sering dianggap sama dengan homoseksual tetapi sebenarnya berlainan sama sekali. Kecelaruan identiti jantina berlaku apabila seseorang individu merasakan jantina dirinya secara fizikal tidak sama dengan naluri jiwanya. Misalnya, apabila seorang remaja lelaki memiliki naluri wanita.

.

Fakta Mengenai Otak Manusia – KLIK DI SINI

...

Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di Halaman Sains Global akhbar Sinar Harian pada 17 Oktober 2010.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!