23 Jan 2011

Sediakan glosari, nota kaki kepada guru

LABIS 21 Jan. - Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel Interlok di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.
.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

.

“Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini termasuk menyediakan glosari, nota kaki dan panduan yang jelas disediakan kepada guru yang mengajar novel ini,” katanya mengulas perkembangan terbaru mengenai isu novel berkenaan.

.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak bangunan tambahan Sekolah Agama Labis, di sini, hari ini.

.

Beliau berkata, perbincangan mengenai novel tersebut akan diteruskan dengan pemimpin MIC sebelum keputusan muktamad diambil Kabinet sama ada meneruskan penggunaan novel tersebut atau sebaliknya.

.

“Saya akan umumkan keputusannya nanti. Keputusan mengenainya tidak berapa lama lagi,” tegasnya.

.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai hasil perbincangan antara panel terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran dan pemimpin MIC sebelum ini kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat minggu ini.

.

Berdasarkan makluman, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang baik, intelektual, profesional dan semua ahli panel mendengar hujah dan pandangan dalam suasana mesra, katanya.

.

Muhyiddin berkata, sekiranya diteliti secara mendalam, (kandungan novel) tidak ada apa yang arus dibimbangkan.

.

“Pada peringkat akhirnya, saya dimaklumkan semua ahli panel akhirnya bersetuju bahawa novel Interlok adalah sebuah novel yang baik. Novel Interlok menyeru kepada soal perpaduan kaum. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia.

.

“Cuma ada kebimbangan MIC atau pun beberapa pihak dalam kelompok masyarakat India terhadap beberapa perkataan yang digunakan. Penulis ini (Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain) apabila dibaca secara keseluruhannya tidak ada niat untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana kaum dalam novel itu,” katanya.

...

(Utusan Malaysia, 22 Januari 2011)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!