23 Jan 2011

Tiada Mesej Positif Untuk Pelajar

Berhubung kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, penulis tidak berminat untuk membincangkan perihal banyak fakta yang dikatakan tidak tepat seperti mana yang didedahkan oleh presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB. [BACA DI SINI]
.

Tidak dinafikan ada juga fakta yang merupakan sejarah dan tidak betul dalam karya tersebut.

.

Tetapi persoalannya apakah satu sistem kehidupan yang diamalkan di India suatu ketika dahulu tetapi kini lapuk, harus diingatkan kembali? Apatah lagi perkara yang ditulis itu kononnya diibaratkan sejarah sebenarnya sebuah perkara yang amat sensitif di kalangan masyarakat India khususnya golongan yang dikatakan golongan kasta rendah.

.

Penulis mengandaikan penulis novel tersebut ketika menulis fakta yang berkaitan dengan golongan kasta rendah di kalangan orang India bukanlah berniat menghina golongan tersebut. Walau bagaimanapun penulis percaya Abdullah tidak memahami sentimen dan sensitiviti masyarakat India.

.

Beliau juga kurang memahami adat resam dan sejarah kaum India sebenarnya dan ini jelas apabila beliau melakukan banyak kesilapan fakta seperti mana yang dihuraikan oleh Uthaya Sankar SB.

.

Penulis percaya Abdullah tidak merujuk atau berunding dengan seseorang yang arif dalam soal adat resam dan sejarah kaum India di Malaysia sebelum menulis buku ini.

.

Tiada elemen positif

.

Penulis menyifatkan soal kasta khususnya kasta rendah yang dibawa oleh Abdullah di dalam novel ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau elemen positif di kalangan pelajar yang membaca buku ini di sekolah nanti.

.

Seorang ahli perniagaan, V Segar, 40-an, menyifatkan tulisan yang mengungkit kasta adalah tidak perlu sama sekali walaupun dari konteks sejarah.

.

“Tidak salah untuk menulis fakta dan sejarah kaum India berhijrah ke Malaysia tetapi apakah mesej dan hasil positif yang penulis novel ini ingin ketengahkan dengan menyebut soal kasta rendah.

.

“Di zaman yang sistem kasta semakin lapuk khususnya di Malaysia di mana perkahwinan di antara kaum India yang berbeza kasta dan suku kaum, malah berlainan agama semakin hari semakin banyak, mengimbas kembali sesuatu yang bersifat merendah-rendahkan sesuatu kaum adalah tidak wajar sama sekali,” kata Segar.

.

Segar yang memiliki Ijazah Sains Politik turut menyatakan kebimbangan bahawa novel ini bakal mencetus satu sifat yang negatif di kalangan pelajar bukan Melayu terhadap kaum India khususnya rakan sekelas dan sekolah mereka daripada kaum India.

.

“Saya ingat lagi ketika zaman saya di universiti, ada sahabat saya daripada kaum Melayu mempunyai persepsi bahawa India berkulit hitam adalah daripada kasta paria sementara kaum India berkulit putih/cerah pula dari kasta tinggi.

.

“Sahabat saya juga mengaku beliau berani bertanya kepada saya kerana beliau yakin saya bukan berkasta rendah berdasarkan kulit saya putih/cerah. Saya menjelaskan tafsiran beliau adalah salah.

.

“Pelajar generasi baru sekarang ini tidak mengetahui sama sekali wujudnya sistem kasta di kalangan masyarakat India. Walau bagaimanapun, novel ini bakal mencetus satu dimensi baru di kalangan pelajar bukan Melayu dan akan mengundang persepsi negatif terhadap sahabat mereka yang berketurunan India,” jelas Segar lagi.

.

Segar percaya isu paria dalam novel tersebut pasti akan mengundang persoalan di kalangan pelajar bukan India terhadap masyarakat itu.


Segar berkata, orang ramai harus meletakkan diri mereka di tempat kaum India dari kasta rendah sebelum mengkritik pihak yang membantah agar perkataan “paria” dikeluarkan dari novel tersebut.

.

Seorang pegawai ekskutif di sebuah syarikat antarabangsa yang enggan namanya disiarkan bertanya, bagaimana pula reaksi kaum lain jika sekiranya seorang penulis berbangsa India menulis sebuah novel yang menyelitkan sesuatu perkara yang berbentuk sejarah tetapi mempunyai unsur negatif tentang kaum tersebut.

.

“Apakah pihak yang mempertahankan perkataan paria di dalam Interlok ini akan berpendirian sama dengan mempertahankan novel tersebut?

.

“Sebagai contohnya, berabad tahun dahulu sebelum Islam tiba di Tanah Melayu, penduduk Asal Tanah Melayu hanya mengamalkan Hindu dan animisme (pemujaan unsur alam).

.

“Saya percaya dalam scenario tersebut sudah pasti pihak yang mempertahankan perkataan paria di dalam Interlok akan membuat bantahan dan demonstrasi di seluruh negara kononnya atas alasan menghina kaum tersebut,” ulas pegawai tersebut.

.

Keluarkan perkataan ‘paria’

.

Walau bagaimanapun kedua-dua individu yang ditemuramah oleh FMT tidak bersetuju novel Interlok diharamkan kerana mereka percaya setiap karya harus dihargai.

.

Cuma mereka meminta perkataan paria atau isu kasta rendah ini dikeluarkan daripada novel tersebut. Selain itu, mereka juga mahu segala kesilapan nyata seperti yang didedahkan oleh Uthya Sankar SB diperbetulkan sebelum novel ini diedar kepada pelajar sekolah.

.

FMT juga menerima panggilan daripada beberapa ibu bapa kaum India yang mempertikaikan rasionalnya mengungkit kembali isu kasta di kalangan kaum India.

.

Ada di antara mereka, walaupun bukan dari kasta rendah sebaliknya merupakan profesional, terpaksa menjelaskan isu sistem kasta ini kepada anak mereka yang menuntut di sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi selepas kontroversi Interlok tercetus.

.

“Maka saya terpaksa menjelaskan perkara ini kepada anak saya, sedangkan sejak lahir saya tidak pernah menjelaskan perkara sistem kasta kepada anak-anak saya kerana perkara itu tidak relevan lagi. Lagipun setiap ajaran (agama) di dunia tidak pernah mengungkit soal kasta di kalangan penganutnya.

.

“Maka apa perlu saya mengajar anak-anak saya tentang sesuatu yang tidak positif sebaliknya berunsur menghina seseorang. Walau bagaimanapun, selepas tercetusnya kontroversi dan mendapat liputan meluas di media, saya tepaksa menjelaskan pada anak-anak apabila mereka mula bertanya.

.

“Jelas di sini novel Interlok mencetus satu konflik di kalangan kaum India sendiri,” ujar seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Nirmala.

.

Penulis pula berharap semua pihak, sama ada yang menyokong novel ini atau membantah novel ini, tidak mengheret unsur perkauman ke dalam kontroversi ini; sebaliknya cuba memahami dan menghormati perasaan dan sensitiviti sesuatu kaum.

.

Seharusnya perlu ada tolak ansur dan timbang rasa dalam menangani isu ini agar ia tidak menjadi satu konflik antara masyarakat majmuk di negara ini.

..

(Zefry Dahalan, FreeMalaysiaToday, 19 Januari 2011

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!