Peserta diminta mengemukakan
maklumat berikut menggunakan HURUF BESAR dalam borang penyertaan semasa
mendaftar di tempat acara: (1) Nama - untuk sijil penyertaan; (2) Judul cerpen yang akan dibacakan; (3) Nama penulis cerpen-cerpen berkenaan.
Sila maklum bahawa konsep first
come, first served digunakan dalam memilih peserta bagi acara ini.
Antara syarat dan panduan
umum bagi para peserta:
- Apabila datang ke acara
pada 29 Ogos - 2 September 2003 di Galeri Shah Alam, sila mendaftar di Meja
Peserta. Wakil tidak dibenarkan mengambil borang.
- Isi segala borang
menggunakan HURUF BESAR yang JELAS dan TERANG dan MUDAH
DIBACA. Setiap peserta akan diberi satu borang sahaja. Borang tidak boleh
diganti.
- Cenderamata (jika ada) akan
hanya diberi selepas borang penyertaan yang diisi dengan lengkap dan betul
dikembalikan kepada Urus Setia di Meja Peserta. Wakil tidak
dibenarkan.
- Setiap peserta perlu
bersedia membaca cerpen mengikut jadual yang ditetapkan. Tidak dibenarkan
membuat pindaan pada jadual pembacaan.
- Pastikan cerpen tidak
terlalu panjang. Biarlah setiap cerpen sekitar 15 minit sahaja. Kalau
terlalu panjang, edit supaya panjangnya 15 minit sahaja.
- Pilih cerpen-cerpen yang sesuai
bagi pembacaan.
- Cerpen mestilah karya Bahasa Malaysia dan sudah tersiar di
media cetak. Media siber (internet) tidak diterima.
- Kalau bukan cerpen sendiri,
saudara dinasihatkan memaklumkan kepada penulis terbabit mengenai hasrat anda
membaca cerpen beliau pada Baca Cerpen Kavyan kerana setiap
penulis mempunyai hak moral terhadap karyanya. Maklumkan juga bahawa tiada
pembayaran royalti, honorarium atau bentuk pembayaran lain bagi karya yang
dibacakan.
- Jika tidak kenal penulis
berkenaan atau tidak boleh menghubungi penulis terbabit, tidak mengapa. Cuma
pastikan nama pengarang disebut sebelum membaca cerpen semasa acara.
- Pastikan memakai tag
semasa berada di pentas.
- Jangan beri salam atau
ucapan. Terus sebut judul cerpen dan nama pengarang sebelum
bacakan terus naskhah cerpen.
- Jangan ada ruang terbiar
selepas pembaca sebelum saudara habis membaca dan saudara mula membaca. Sebaik
sahaja pembaca sebelum saudara habis membaca, terus sebut judul, nama pengarang
dan mulakan membaca teks.
- Mesti berada di tempat
acara sekurang-kurangnya SATU jam (60 minit) sebelum tiba giliran
saudara untuk mengisi borang penyertaan rasmi dan mendapatkan arahan terkini.
Jika tidak, nama saudara akan digugurkan terus. Sebarang rayuan tidak akan
dilayan.
- Kalau tersilap semasa
membaca naskhah cerpen, tolong jangan berhenti atau meminta maaf.
Teruskan sahaja pembacaan. Jika tidak, rekod akan terbatal.
- Kalau berlaku gangguan
bekalan elektrik (lampu terpadam atau pembesar suara tidak berfungsi),
JANGAN hentikan pembacaan. Begitu juga jika hujan atau kilat memancar.
- Pastikan teks difotokopi
atau dicetak dengan tulisan yang besar, terang dan senang dibaca. Kalau
tidak, saudara mungkin menghadapi masalah semasa membaca naskhah cerpen di
pentas.
- Saudara perlu membaca
sendiri naskhah cerpen. Pihak Urus Setia tidak akan menyediakannya untuk
saudara.
- Peserta TIDAK dibenarkan
menukar judul cerpen.
- Setiap pembaca dinasihatkan
sekali lagi agar bijak memilih cerpen yang panjangnya sekitar 15 minit sahaja.
Jika cerpen terlalu panjang, perlu bersedia menerima natijahnya.
Misalnya, katakan cerpen pertama saudara panjangnya 20 minit. Cerpen kedua juga
20 minit. Maka, jumlah masa saudara membaca adalah 40 minit. Dengan itu,
saudara akan dibenarkan membaca 2 cerpen sahaja. Baki satu cerpen hanya mungkin
akan dibenarkan dibaca pada penghujung acara; itu pun jika masa mengizinkan.
- Katakanlah saudara
membaca cerpen pertama pada pukul 8:00 am, 1 September 2003. Maka, cerpen kedua
akan saudara baca pada sekitar pukul 9:00 am dan cerpen ketiga 10:00 am. Jadi,
saudara perlu berada di Galeri Shah Alam selewat-lewatnya pukul 7:00 am dan
tidak boleh meninggalkan Galeri Shah Alam sehingga pukul 11:00 am, 1 September
2003; iaitu sehingga giliran pembacaan saudara tamat.
- Kalau peserta hampir 170
orang, maka setiap peserta mungkin akan diminta membaca dua cerpen sahaja.
Rujuk jadual pembacaan.
- Jika membawa bersama rakan-rakan
atau ahli keluarga, nasihatkan mereka supaya tidak mengganggu majlis. Minta
juga supaya jaga kebersihan dan keselamatan; terutama kanak-kanak kerana ada
tasik tidak jauh dari Galeri Shah Alam.
- Peserta perlu datang
sendiri ke tempat acara. Penginapan TIDAK disediakan. Kesemua kos perlu
ditanggung sendiri.
- Makanan dan minuman
ringan disediakan oleh Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negeri Selangor untuk
peserta sepanjang acara. Bagaimanapun, perlu layan diri. Urus Setia tidak
ditugaskan menghidang makanan/minuman kepada sesiapa.
- Kaunter jualan minuman juga
akan dibuka. Sila maklum bahawa kaunter jualan minuman ini MENJUAL
minuman dan tidak memberi minuman percuma.
- Kaunter jualan buku dan
cenderamata juga akan dibuka.
- Peserta yang didapati sengaja
melanggar arahan dan panduan yang diberi tidak akan diberi sijil
penyertaan.
- Jika ada persoalan,
sila kemukakan sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003. Selepas itu, Urus Setia akan sibuk dengan tugas
masing-masing dan kemungkinan besar tidak akan melayan pertanyaan saudara.
- Jika ada sebarang pertanyaan
mustahak semasa acara berlangsung, hubungi Urus Setia yang boleh dikenal
pasti melalui tag yang dipakai. Bagaimanapun, Urus Setia berhak untuk
tidak menjawab pertanyaan anda sekiranya soalan itu sepatutnya sudah ditanya
sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003.
- Jangan mengharap atau
meminta supaya diberi layanan istimewa semasa acara berlangsung kerana
masing-masing Urus Setia sibuk dengan tugas yang diamanahkan.
- Jangan terima arahan
daripada mana-mana individu selain daripada Urus Setia yang memakai tag
rasmi. Urus Setia Baca Cerpen Kavyan dan Jawatankuasa
Kavyan tidak bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah berikutan
tindakan saudara menerima arahan daripada mana-mana pihak lain.
- Peserta tidak dibayar.
Pendaftaran peserta adalah secara sukarela.
Cenderamata pula bergantung pada tajaan yang diterima.
- Setiap peserta yang layak
akan diberi sijil penyertaan rasmi.
- Jika mahu menarik diri,
mesti telah berbuat demikian sebelum 31 Julai 2003.
- Tidak boleh
menghantar wakil sebagai pengganti!
- Bagi peserta yang tidak hadir mengikut jadual yang ditetapkan
(kecuali telah memberi alasan yang boleh diterima) maka akan dianggap sebagai peserta tidak bertanggungjawab.
Senarai nama pasti akan dipaparkan di laman web mulai 16 September 2003 untuk
pengetahuan umum. Sekurang-kurangnya supaya pihak lain berhati-hati jika
bercadang menjemput individu berkenaan ke sebarang acara.
- Lebih banyak panduan akan
diberi tidak lama lagi. Panduan dan arahan tambahan juga akan diberi semasa
acara di Galeri Shah Alam. Baca notis yang akan dilekat di dinding.
- Sila baca segala panduan
dan syarat mutakhir yang akan dipaparkan di papan kenyataan di Galeri Shah Alam
sepanjang acara. Dan patuhi arahan berkenaan.
- Saudara ada sebarang
pertanyaan? Sila kemukakan melalui e-mel soalan@bacacerpen.cjb.net
atau telefon 013-3913278 sebelum pukul 3:00 petang, 29 Ogos 2003.
[Catatan: Nombor telefon dan
alamat e-mel di atas tidak digunakan lagi tetapi dikekalkan dalam bahan arkib
ini sebagai dokumentasi. Paparan ini disalin terus daripada paparan asal
memandangkan laman Geocities tidak
lagi beroperasi – BACA DI SINI]