Beberapa rakan budiman bersetuju
menjadi “pembaca beta” dan membaca petikan awal (sekitar 500 perkataan) salah
sebuah fiksyen yang bakal terbit dalam buku Putaria.
Sila [klik di sini] untuk membaca reaksi sekumpulan pembaca beta bagi sebuah fiksyen
lain dalam buku sama.
Bagi fiksyen ini, petikan pertama (sekitar
100 perkataan) dikirim dan pembaca beta diminta menjawab satu soalan. Kemudian,
petikan kedua dikirim. Begitulah seterusnya.
Berikut pandangan ikhlas pembaca
beta yang terus kekal dalam “permainan” sehingga petikan kelima.
Petikan 1 – Apakah maklumat yang anda boleh agak
mengenai watak “Saya” menerusi petikan yang diberi?
Watak “Saya” seorang individu yang
diberhentikan kerja semasa tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), lalu terpaksa membuat sesuatu untuk
mengisi perut. “Saya” sanggup membuat apa sahaja. — Anuradha Chelliah
Watak
“Saya” seorang graduan pertanian yang menganggur dan pecinta alam semula jadi. —
M. Mahendran
Watak “Saya”
seorang yang rajin dan mempunyai pengetahuan dalam bidang pertanian. Sesuai
bekerja sebagai tukang kebun. — Nor Azian binti Azami
Petikan 2 – Apakah maklumat tambahan yang anda boleh agak
mengenai watak “Saya” menerusi petikan yang diberi?
Watak “Saya” mempunyai rancangan
lain setelah melihat kebaikan pasangan suami isteri tersebut. “Saya” cuba
mendapat tempat di hati mereka berdua agar akan tercapailah impiannya di
kemudian hari. — M. Mahendran
Watak
“Saya” sangat rajin dan tidak berkira dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. “Saya”
melakukan kerja seikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan. — Nor Azian binti Azami
Watak “Saya” seorang yang kurang
bercakap tetapi rajin. Suka pada tanaman. “Saya” lebih menumpukan perhatian
pada kerja berbanding ganjaran (bayaran) yang diberi oleh suami isteri itu. — Anuradha Chelliah
Petikan 3 – Apakah maklumat
baharu yang anda boleh agak mengenai watak “Saya” menerusi petikan yang diberi?
Watak “Saya” mungkin juga orang
baik; tidak seperti yang saya nyatakan tadi. “Saya” melakukan tugas berkebun
itu sebagai hobi. — M. Mahendran
Watak “Saya” berasa dirinya tidak
dipercayai orang. Dia mula rasa kurang senang dengan jiran yang cuba
mempengaruhi pasangan suami isteri dengan kata-kata negatif. — Anuradha Chelliah
Watak “Saya”
dalam petikan adalah seorang yang tenang dan nampak daif. Tapi dalam kedaifannya,
ada juga orang yang masih tidak senang dengan perlakuannya, sehingga
memungkinkan dia difitnah. — Nor Azian binti Azami
Petikan 4 – Apakah maklumat yang anda kini sudah tahu mengenai
watak “Saya”?
Watak “Saya” seorang yang
berpelajaran, malah mempunyai kelebihan dalam kerja-kerja tangan. Situasi
semasa memaksa “Saya” mencari nafkah dengan pelbagai cara. — Anuradha Chelliah
Watak “Saya”
adalah seorang individu yang berpelajaran tinggi tetapi tidak memilih kerja;
walaupun hanya kerja tukang kebun. — Nor Azian binti Azami
Watak “Saya” seorang yang serba
boleh. “Saya” kasihankan pasangan suami isteri itu. Mereka mungkin pernah
berbakti kepada keluarga “Saya” pada suatu ketika dahulu. — M. Mahendran
Petikan 5 – Apakah maklumat yang anda masih belum tahu dan ingin tahu mengenai
watak “Saya”? Apa agaknya yang akan berlaku selepas ini?
Saya
(pembaca) masih belum tahu mengenai asal usul watak “Saya” dalam petikan cerita.
Adakah dia tinggal berdekatan? Siapakah keluarganya? Bagaimanakah keadaan
dirinya dari segi fizikal; tua atau muda? Saya mengagak bahawa watak “Saya”
dalam cerita ini akan menerima satu dugaan yang tidak disangka. Misalnya, rumah
itu dipecah masuk tanpa pengetahuannya dan watak “Saya” akan dituduh atas kejadian
itu. — Nor
Azian binti Azami
Saya masih belum tahu dan ingin
tahu siapakah watak “Saya” sebenarnya. Mengapa dia sangat mengambil berat tentang
pasangan itu? Adakah dia mempunyai motif tertentu? Saya mengagak bahawa pada
minggu seterusnya, watak “Saya” bukan sahaja menyiram pokok bunga, malah akan
membersihkan rumah itu sepenuhnya dan mengatur mana yang perlu. — M. Mahendran
Watak dan perwatakan “Saya” masih
samar-samar walaupun dia tahu serba-serbi tentang tanaman. Siapakah dia
sebenarnya? Saya mengagak bahawa watak “Saya” akan menjaga rumah si suami
isteri itu dengan baik sebagaimana dia menjaga tanaman mereka selama mereka
tiada di rumah. — Anuradha Chelliah
Reaksi yang diberi oleh pembaca beta sangat menarik dan
kreatif. Ada pelbagai andaian yang
menunjukkan persamaan dan perbezaan pandangan tentang watak dan perwatakan “Saya”
dalam petikan fiksyen berkenaan. Kesemua jawapan adalah betul, logik, dan
rasional.
Pembaca beta juga berkongsi tentang perkara-perkara yang
ingin diketahui mengenai watak “Saya”, selain andaian tentang apa yang mungkin
berlaku seterusnya.
Jika mahu tahu sejauh mana pembaca beta berjaya “mengagak”
dan “meneka” identiti dan maklumat diri watak “Saya”, serta apa yang berlaku
seterusnya, bolehlah dibaca dalam buku Putaria: Kumpulan
Fiksyen Bahasa Malaysia.
[Tonton baca cerpen ini sepenuhnya - Klik di Sini]