Sejak kanak-kanak, saya beranggapan bahawa sastera dapat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Malah, para pemimpin juga sentiasa melaungkan semboyan perpaduan.
Menurut Wawasan Kemakmuran 2030, kerajaan berharap untuk
meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa
prasangka. Perpaduan antara kaum dan agama juga impian kita semua sebagai
pendudukan yang setia kepada tanah tumpahnya darah.
Namun begitu, tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
membezakan antara “Tuhan” bagi orang Islam dan “tuhan” bagi orang bukan Islam
mampu menghancurkan segala usaha ke arah perpaduan kebangsaan.
Sebagai seorang penulis yang aktif berkarya sejak tahun
2014, saya sentiasa menggunakan “Tuhan” (huruf besar) kerana saya menghormati semua
agama. Dua buah cerpen saya termuat dalam antologi Meredah Kabus (2021) terbitan DBP. Saya amat kecewa apabila
menyedari “Tuhan” dalam manuskrip cerpen saya ditukar kepada “tuhan”.
Tindakan DBP menimbulkan rasa tidak senang hati dalam
kalangan penulis dan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Saya berharap DBP akan segera membetulkan kesilapan yang
berlaku. Jika tidak, usaha perpaduan akan terus terjejas.
_____________________