11 Jul 2021

Biodata — Chelvi Ganesan

Chelvi Ganesan berasal dari Ipoh, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Raja Di-Hilir Ekram, SMK Jalan Pasir Puteh, dan SMK St Michael di tempat kelahiran, sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Pendidikan dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau pernah bertugas di lima sekolah di Johor dan Pulau Pinang, dan kini menjadi guru Ekonomi dan Bahasa Inggeris di SMK Jalan Pasir Puteh, Ipoh.

Menulis, membaca, menyanyi, dan melukis merupakan cara Chelvi mengisi masa lapang. Novel Hujan Pagi karya Sasterawan Negara A. Samad  Said yang dibacanya sewaktu berumur 13 tahun memberi kesan yang mendalam dalam diri Chelvi sebagai seorang remaja. Beliau amat minat menulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil sejak zaman persekolahan. Sehingga kini, Chelvi banyak berkongsi hasil tulisan di media sosial dan blog peribadi.

Beberapa puisi Tamil tulisan Chelvi tersiar di akhbar Malaysia Nanban dan Tamil Nesan serta majalah Kuil sekitar tahun 1997 dan 1998. Beliau menyertai Sesi Penulisan Cerpen SPP (Jun 2021) dan mula menulis cerpen Bahasa Malaysia. Karya beliau yang tersiar di portal Sastera Kavyan boleh dibaca [di sini]. Lihat juga — Biodata Sasterawan Kavyan.