Saya mengirim petikan sekitar 160 perkataan, iaitu bahagian
awal sebuah cerpen terbaharu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca
beta. Berikut reaksi ikhlas yang diterima:
“Timbul rasa ingin tahu tentang cabaran yang bakal dihadapi
oleh watak utama cerpen ini. Isu atau persoalan yang terdapat dalam cerpen ini
adalah keberanian seorang wanita dalam menempuh cabaran yang bakal dihadapi
demi anak-anaknya. Pada pendapat saya, cerpen ini akan mempunyai pengakhiran
yang gembira walaupun plot cerpen ini berbentuk hipertensi dan saspens yang
tidak diduga.” — Diviya a/p Devaraj
“Saya ingin membaca cerpen ini sepenuhnya. Saya suka dengan
watak Sumanti yang begitu gigih mencari rezeki untuk anak-anak yang berada di
kampung. Saya ingin mengetahui apa kesudahan yang berlaku pada Sumanti. Persoalan
yang jelas adalah imej seorang wanita yang berpegang teguh dengan maruah, tidak
mencari lelaki lain setelah kematian suami, dan tanggungjawab seorang ibu
tunggal mencari rezeki untuk anak-anak. Pada pendapat saya, cerpen ini akan
diakhiri dengan perubahan taraf hidup Sumanti kepada keadaan lebih selesa atau
mewah.” — Elavarassan a/l M. Suppiah
“Terdapat unsur saspens yang menyebabkan pembaca terfikir dan
berimaginasi punca Sumanti diperlakukan sedemikian. Isu yang dapat dikesan
adalah tentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berhijrah ke Malaysia
untuk mencari wang demi kelangsungan hidup. Mereka terpaksa menjalani kehidupan
dengan penuh rasa takut. Saya rasa, Sumanti akan mampu melarikan diri, namun
tidak akan menjumpai Jokowo lagi kerana mendapat berita bahawa Jokowo telah
direman oleh pihak berkuasa Malaysia.” —
Jaymani Sevanathan
“Pada permulaan, kelihatan seperti cerita yang biasa tetapi perenggan terakhir [pada intro] menjadi persoalan. Pada pendapat saya, cerpen ini mengangkat masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja yang merantau jauh dari kampung halaman. Saya rasa, akhirnya, Sumanti akan kembali ke kampung halaman setelah melalui peristiwa-peristiwa yang sukar.” — Jeeva Kasthuri Anamalay
“Saya tertarik dengan petikan ini. Perasaan ingin tahu lebih
lanjut tentang Sumanti hadir dalam diri saya. Kisah mengenai warga Indonesia
yang datang ke Malaysia mencari nafkah, serta masalah dan gejala sosial yang
dihadapi. Hidup mereka perlu diteruskan demi anak-anak di kampung. Saya rasa, Sumanti
akan ditipu. Dia akan terjebak ke lembah maksiat kerana dipaksa oleh Jokowo
dengan alasan Sumanti akan peroleh lebih banyak wang untuk menyara
anak-anaknya.” — M. Mahendran
“Saya tertarik dengan cerpen tersebut kerana
plot cerita menimbulkan perasaan ingin tahu dalam diri saya. Temanya tentang
keberanian seorang wanita dalam mengalami risiko kehidupan. Saya berasa Sumathi seorang yang tetap
memberanikan diri untuk mengambil apa-apa risiko demi kedua-dua anaknya. Pada pendapat saya, akhirnya Sumathi
akan berjumpa atau berhubung dengan sahabatnya [Sujana].” —
Nanthini a/p Nadarajan
“Saya tertanya-tanya siapa Sumanti dan Jokowo, serta apa
hubungan mereka. Terdapat dua isu iaitu dapatkah Sumanti berjumpa dengan Jokowo
dan apakah nasib Sujana. Pada pendapat saya, cerpen ini akan berakhir dengan
penceritaan nasib Sumanti dan Sujana.” —
Navanitha @ Nitha a/p Nairu
“Cerpen dimulakan dengan suasana yang mendorong pembaca
ingin tahu apa berlaku selepas itu. Persoalan pendidikan anak-anak bercampur
dengan jaminan dan keselamatan hidup masa depan. Pada pandangan saya, Jokowo
tidak meneruskan hasrat asalnya untuk memikat Sumanti. Sujana mungkin menjadi
orang yang menyusahkan hidup Sumanti. Sumanti pula tidak rela anak-anaknya
terabai, lalu memberi tumpuan kepada pendidikan mereka, walau apa pun halangan.”
— Nik Mohd Yusoff Nik Ismail
“Ya, saya tertarik. Saya tertanya-tanya siapakah Sumanti dan
Jokowo. Apakah hubungan antara mereka berdua? Isu yang kelihatan adalah kepincangan
sosial dalam masyarakat moden. Sumanti mencari nafkah di negara lain untuk
memberi makan kepada anak-anaknya. Pada andaian saya, Jokowo pasti memaksa
Sumanti melupakan keluarga di kampung, selain cuba meraih cinta Sumanti.” — Nursuhaili binti Baharuddin
“Petikan awal cerpen ini menimbulkan perasaan ingin tahu
tentang latar belakang Sumanti dan peristiwa yang sedang berlaku di
sekelilingnya. Persoalan kehidupan seorang wanita/ibu di perantauan demi
menyara anak-anak di kampung. Saya rasa, Sumanti akan dapat menyelesaikan
masalah sendiri dan berjumpa dengan Jokowo. Akan tetapi, Sumanti akan mengambil
keputusan pulang untuk bersama anak-anaknya demi masa depan mereka.” — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram
“Saya
tertarik dengan petikan awal cerpen ini kerana ingin tahu kejadian yang berlaku
kepada Sumanti. Kenapakah Sumanti berpisah dengan anak-anaknya? Bagaimana
Sumanti berkenalan dengan Jokowo? Pada pendapat saya, Jokowo mempermainkan
kepercayaan Sumanti terhadapnya. Sumanti akan melalui pelbagai dugaan. Anak-anak
Sumanti pula tidak mahu menerima Sumanti.” — Polammal Ramachandra Reddi
“Saya perlu tahu bagaimana kisah Sumanti akan berakhir. Timbul sedikit keraguan terhadap sahabatnya [Sujana] yang kemungkinan besar melarikan diri dengan Jokowo. Isu yang ditimbulkan adalah berkaitan nafsu seorang warga asing yang bergelora setelah ditinggalkan suami. Sumanti juga berasa keselamatan diri kini tidak terjamin sehingga sanggup mempercayai lelaki lain yang menemaninya sekarang. Cerpen ini mungkin akan berakhir dengan Sumanti bertindak agresif. Kepercayaannya terhadap kesemua lelaki hilang kerana Jowoko melarikan diri dengan kawan baiknya. Ini merupakan suatu penderhakaan yang besar oleh Sujana dan Jowoko.” — Saratha Ramdass
“Masih banyak
persoalan minda mengenai alur cerita belum terungkai. Jalan cerita yang kreatif
membuatkan saya tertanya-tanya peristiwa yang akan berlaku seterusnya. Pada
pendapat saya, isu yang terdapat dalam cerpen ini berkaitan kegigihan seorang
wanita mencari rezeki di negara orang bagi menyara anak-anak setelah berdepan konflik
kekeluargaan. Pada andaian saya,
Sumanti menemui cinta sejati dan membina mahligai bahagia bersama Jokowo. Sumanti
akan bersyukur kerana Jokowo sememangnya pelindung buat keluarga kecilnya.” — Siti Sulha Binti Sanusi
“Cerpen ini mewujudkan pertanyaan tentang apa yang akan
terjadi kepada Sumanti. Saya sudah jangka bahawa Sumanti akan mencari pelindung
iaitu seorang lelaki yang akan menjaganya di negara ini selama dia bekerja
untuk menampung hidup anak-anak di kampung. Setiap perempuan yang bekerja dalam
kalangan lelaki perlu ada pelindung. Cerpen ini mungkin akan berakhir dengan
Sumanti bekerja keras untuk menampung hidup anak-anak di kampung serta melawat
mereka bersama Jokowo pada suatu hari kelak.” — Thiruselvam Padmanabhan
“Permulaan cerpen ini membangkitkan perasaan ingin tahu
terhadap perlakuan Sumanti sampai meninggalkan kedua-dua anak untuk mencari
nafkah di negara yang tidak pernah dia pergi sebelum ini. Persoalanya adalah tentang
kesanggupan seseorang ibu dalam memastikan kebahagiaan kepada anak-anak dalam
apa jua keadaan. Sumanti sanggup meninggalkan negara kelahiran untuk memastikan
kedua-dua anaknya hidup dalam keadaan yang senang. Pada pndapat saya, cerpen
ini akan berakhir dengan menunjukkan watak Jokowo hanya mempermainkan Sumanti
untuk mendapatkan wang daripadanya untuk kegunaan sendiri. Jadi, selepas mendapat
tahu sifat sebenar Jokowo, Sumanti perlu melepaskan diri daripada Jokowo dan
pulang ke negara asal.” — Varatharasan
a/l Subramaniam
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai
dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu.
Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para pembaca beta
terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.