Saya mengirim petikan sekitar 160 perkataan, iaitu bahagian
awal sebuah cerpen terbaharu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca
beta. Berikut reaksi ikhlas yang diterima:
“Permulaan yang menarik dan twist pada perenggan ke-4 menarik minat saya untuk membaca cerpen
ini. Isu tentang masalah kegelapan dan kaitannya dengan mangalya dosham serta bagaimana ia memberi kesan kepada si kakak
dan pencerita. Saya rasa, kehidupan kakak akan mempengaruhi adiknya. Mereka
berdua akan mengharungi cabaran hidup. Masalah mereka tidak selesai dengan
upacara tersebut, malah akan bertambah rumit.” — Anuradha Chelliah
“Saya amat teruja untuk mengetahui tentang perkahwinan kakak
dan kehidupan kakak selepas upacara tersebut diadakan. Pada pendapat saya,
persoalan yang terdapat dalam cerpen ini adalah tentang kepercayaan terhadap
upacara keagamaan yang boleh mengatasi sesebuah masalah dalam kehidupan. Rasa-rasanya,
kakak penulis akan berkahwin dan memulakan kehidupan yang gembira dan penuh
ceria.” — Anushri Vijiandran
“Pembaca ingin tahu apa yang bakal berlaku kepada watak
kakak dalam cerpen ini selepas upacara vivaha.
Isu atau tema yang terdapat dalam cerpen ini adalah mengenai kepercayaan dan
adat tradisi orang Hindu-India kerana terdapat penjelasan mengenai mangalya dhosam. Pada pendapat saya,
cerpen ini akan berakhir dengan insiden yang gembira walaupun plot cerpen ini mempunyai
saspens yang tidak dapat diduga.” —
Diviya a/p Devaraj
“Saya tertarik dengan petikan awal cerpen ni. Tak sabar nak
baca muka surat seterusnya. Isu kepercayaan sesuatu kaum diketengahkan. Saya
berharap cerpen ini berakhir dengan kakak penulis dapat bertemu jodoh yang baik
serta boleh membahagiakannya.” — Hayati
Binti Daud
“Ada unsur-unsur budaya (kepercayaan karut) India/Hindu di
dalam petikan ini. Timbul rasa ingin tahu apa akan terjadi pada kakak itu
nanti. Persoalan yang diutarakan dalam cerpen ini adalah tentang kepercayaan
karut yang diamalkan turun-temurun oleh masyarakat India. Saya fikir begitu
kerana dengan mengorbankan kambing, belum pasti nyawa bakal suami terselamat.
Dan mangalya dhosham itu sendiri
masih disangsikan. Pada pendapat saya, kakak tidak akan berkahwin. Sebaliknya,
dia tidak akan makan daging kambing selepas
itu kerana dia menganggap kambing yang dipenggal itu adalah suaminya.” — M.
Mahendran
“Bahagian intro sudah membuka hati pembaca untuk
lebih meneroka cerpen ini. Persoalan tentang adat tradisi kaum India, iaitu menilik
nasib seseorang dan cuba untuk mengubah sesuatu takdir yang belum pasti nyata. Pada
pendapat saya, tidak seperti dijangkakan, hidup kakak tetap tidak seperti
diharapkan. Suasana akan menjadi kacau dan pilu.” — Nursuhaili binti Baharuddin
“Saya berminat pada cerita ini kerana ia meceritakan
kepercayaan dan adat masyarakat India. Saya ingin tahu kebenaran dalam
kepercayaan ini. Persoalan tentang kepercayaan masyarakat India dalam
perkahwinan dan tilikan, terutamanya untuk wanita. Ini ditunjukkan dalam
upacara vivaha
dan mangalya dhosam. Kesudahan
cerpen ini, pada pandangan saya, kakak berkahwin tetapi hidupnya kembali dalam
kegelapan sepertimana yang ditakutinya selama ini.” — Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram
“Saya tertarik dengan petikan awal cerpen ini kerana ia
memberi penerangan mengenai kepercayaan orang Hindu. Ia berkaitan
kepercayaan tradisi masyarakat India dalam kehidupan seseorang yang belum
berumahtangga. Pada pendapat saya, cerpen ini perlu berakhir dengan ilustrasi
[gambaran] yang memberi kebahagiaan kepada kakak, iaitu kakak mengahwini
seorang jejaka yang menerangi hidupnya.” —
Rajeswari Raman
“Timbul rasa ingin tahu apa ertinya mangalya dhosam, vivaha
dan rishi. Isunya adalah mengenai
adat resam atau kepercayaan yang dipegang sejak sekian lama. Mungkin penulis [watak]
akan cuba menunjukkan ‘keberanian’ memprotes adat resam atau kepercayaan
tersebut secara logik menggunakan hujah ilmiah. Walaupun pada mulanya penulis [watak]
mendapat tentangan hebat daripada keluarga serta masyarakat, namun akhirnya
mereka mula berlembut dan sanggup berbalas hujah dengan penulis [watak].” — Rushida Binti Abdul Wahid
“Saya tertarik
kerana cerpen ini akan sarat dengan ilmu pengetahuan dan input bermanfaat
mengenai adat dan budaya masyarakat India. Penggunaan bahasa puitis amat
bersesuaian bagi pembaca yang meminati sastera. Pada andaian saya, tema bagi
cerpen ini adalah keunikan adat resam dan kepercayaan masyarakat India. Jalan
cerita ibarat penggembaraan yang boleh ditelusuri oleh setiap lapisan pembaca
melalui setiap bait penulisan yang dikarang. Pada pendapat saya, kakak akhirnya dikurniakan kehidupan rumahtangga yang
baik setelah melalui beberapa fasa perkahwinan yang penuh cabaran.” — Siti Sulha Binti Sanusi
“Saya belum pernah membaca karya tentang mangalya dhosam.
Saya rasa karya ini sangat unik. Isu kepercayaan dan amalan ritual agama
diketengahkan. Dalam dunia moden, adakah ritual sebegini masih relevan? Saya
rasa, perkahwinan Kakak akan berlangsung dan Kakak tidak lagi takut akan kegelapan.”
— Thanusya Shanmuganathan
“Menarik kerana ada unsur-unsur
saspens dan isu ketakutan yang jarang berlaku dalam kehidupan hari ini. Pada
pemerhatian saya, isu dan persoalan yang diketengahkan adalah mengenai ikatan
kasih sayang antara adik-beradik, tentang tradisi dan kepercayaan kaum, serta
ketakutan akan kegelapan. Saya rasa, cerpen ini akan berakhir dengan
kegembiraan apabila kakak berjaya mengatasi penyakitnya selepas bertemu dengan
‘seseorang’ [pasangan hidup].” — Wan
Amerudy Bin Wan Kamaludin
“Cerpen ini memaparkan budaya dan kepercayaan unik kaum
India. Bahagian awal berunsur saspens dan penuh tanda tanya. Isu utama dalam cerpen adalah perihal
kepercayaan keluarga terhadap mangalya
dhosam. Sebagai anak kecil dalam keluarga, watak utama turut mempercayai
kepercayaan tersebut. Pada pandangan saya, cerpen ini akan berakhir dengan
kakak terus dilanda musibah dan bernasib malang. Penulis mungkin mahu
menunjukkan bahawa kepercayaan tertentu tidak semestinya benar.” — Wan Nurhidayat bin Wan Muhamad
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Baca juga: Reaksi Pembaca Beta Satu — Reaksi Pembaca Beta Dua — Reaksi Pembaca Beta Empat.
Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai
dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu.
Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para
pembaca beta terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan
rezeki.