Saya mengirim petikan sekitar 160 perkataan, iaitu bahagian
awal sebuah cerpen terbaharu (belum tersiar), kepada sekumpulan pembaca
beta. Berikut reaksi ikhlas yang diterima:
“Permulaan yang membuatkan saya mahu terus membaca kerana
ingin tahu siapakah mangsa tersebut. Saya ingin tahu siapakah mangsa itu –
manusia atau anjing? Mangsa mungkin suka mengganggu ketenteraman Tuan kepada
Khan yang sukakan kesunyian. Cerpen mungkin berakhir dengan kes di mahkamah
yang akan membawa Tuan dan Khan ke muka pengadilan oleh badan yang menjaga
kebajikan ‘haiwan’.” — Anuradha Chelliah
“Permulaan cerpen ini sudah mendebarkan hati saya sebagai
pembaca; ingin merungkai misteri mengapa watak Khan sanggup membunuh mangsa. Pada
pendapat saya, cerpen ini membawa persoalan manusia tidak berperikemanusiaan
yang ingin membunuh nyawa seorang manusia demi melangsaikan dendam atau
muslihat tertentu. Pada pendapat saya, cerpen ini boleh diakhiri dengan
kedatangan pihak polis yang mendapat maklumat daripada ibu bapa kanak-kanak
yang merayau.” — Elavarassan a/l M. Suppiah
“Saya berminat membaca sepenuhnya cerpen ini kerana
permulaan cerita yang menarik. Saya terfikir, kenapa watak yang memasukkan
mangsa ke dalam guni berkata, ‘Tuan tentu
gembira hari ini.’ Saya tidak dapat menjangkakan bagaimana cerpen ini akan
berakhir. Adakah mangsa di dalam guni itu sudah mati? Mungkinkah dia masih hidup?”
— Hayati Binti Daud
“Timbul sebuah persoalan tentang mengapa mangsa tersebut
diperlakukan sebegitu tanpa diberi apa-apa petunjuk kepada pembaca. Saya rasa,
cerpen ini membawa isu kesetiaan seorang lelaki terhadap majikannya dan sanggup
menunaikan segala hajat majikannya demi upah dan balasan. Pada pendapat saya, Khan akan sedar bahawa tuannya merupakan
seorang pengkhianat dan telah mempergunakan Khan demi kepentingan diri; tetapi
sudah terlambat kerana Khan diburu polis.”
— Jaymani Sevanathan
“Cerpen dimulakan dengan situasi amat mengerikan dan tidak berperikemanuasian yang dilakukan oleh seorang lelaki. Saya rasa, cerpen ini tentang seorang yang terjebak dalam satu kumpulan jenayah yang amat berbahaya. Mungkin akan berlaku satu plot di mana berlaku angkara berpaling tadah terhadap kumpulan jenayah itu.” — Jeeva Kasthuri Anamalay
“Saya agak
tertarik kerana petikan awal ini membawa saya kepada semangat ingin tahu apa
yang akan terjadi seterusnya. Walaupun ia agak agresif, namun membuatkan saya
ingin mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya; seperti tindakan mahupun
punca ia berlaku. Isu dan persoalan dalan cerita ini adalah keganasan atau
mungkin juga isu mementingkan diri sehingga membawa kepada keganasan. Pada
pendapat saya, cerpen ini boleh berakhir dengan keinsafan atau mungkin
berakhir dengan sesuatu yang menyedihkan seperti kematian atau dijatuhi
hukuman.” — Junainah Bt. Abdul Jalel
“Cerpen ini bermula dengan teknik saspens yang membuat saya
bertanya-tanya mengenai watak Khan; terutamanya motif pembunuhan. Persoalan
yang dapat saya perhatikan adalah situasi sosial golongan remaja pada masa kini
yang terbiar tanpa pengawasan ibu bapa. Keadaan ini sememangnya mendatangkan
risiko kepada diri mereka. Pada pendapat saya, cerpen ini akan berakhir dengan
pengakuan remaja dalam kes pembunuhan tersebut. Remaja itu mungkin dikaitkan
dengan pembunuhan dan mereka [kanak-kanak yang merayau] menjadi saksi kes
pembunuhan itu.” — S. Maartandan Suppiah
“Saya tertarik membaca petikan awal ini
kerana sikap ingin tahu muncul dalam diri saya. Pada pendapat saya, persoalan
yang terdapat dalam cerpen ini adalah bagaimana Khan berjalan menyusur lorong
dengan membawa guni [yang berisi tubuh mangsa]. Pada pendapat saya, cerpen ini akan
berakhir secara positif. Pada akhir cerita, Khan berjaya melintas lorong, lalu
membawa guni yang diikat itu [kepada tuannya].” — Nanthini a/p Nadarajan
“Agak keliru pada permulaan pembacaan. Pembacaan kali kedua,
baru mendapat idea atau memahami inti cerita. Tema
naluri manusia yang inginkan pujian daripada seseorang. Agak saspens; Khan cuba
melakukan suatu perbuatan yang tidak baik/terkutuk (membunuh secara kejam) bagi
memenuhi keinginan tuannya. Cerpen ini boleh berakhir dengan memberi kesedaran
kepada Khan. Dia insaf dengan perbuatan/dosanya dan tidak perlu terikat melakukan
perbuatan terkutuk seperti itu bagi memenuhi keinginan tuannnya kerana Tuhan
lebih berkuasa dan mengetahui apa yang kita lakukan.” — Rajeswari Raman
“Saya ingin tahu kenapa Khan ‘membunuh’, siapa yang
‘dibunuh’ dan kenapa ‘pembunuhan’ itu dapat mengembirakan tuannya. Kenapa perlu
membunuh? Sedangkan setiap agama melarang penganutnya membunuh atau melakukan
kekejaman ke atas sesiapa sahaja, biarpun seekor haiwan; apatah lagi jika
manusia! Adakah agama yang patut dipersalahkan jika penganutnya mengambil jalan
sendiri dan meminggirkan larangan? Mungkin penulis mahu mengajak pembaca untuk
menilai balik sejauh mana penganut setiap agama itu patuh pada ajaran agamanya.
Tindakan melakukan sesuatu yang dilarang agama seperti pembunuhan atas apa juga
alasan adalah pilihan penganut itu sendiri. Bagi kesalahan itu, dia perlu
dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan bukan ajaran agamanya. Jangan kerana nila
setitik, habis rosak susu sebelanga!” — Rushida Binti Abdul Wahid
“Pada mulanya, saya menyangka cerpen ini berkisar cerita
binatang dahulukala tetapi setelah membacanya dengan lebih lanjut, baru dapat
memahaminya. Pada pandangan saya, pucuk pangkal cerpen ini adalah bagaimana
seorang individu bergerak dengan licik dan mampu melaksanakan kehendak
majikannya walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang
dilaksanakan dengan ketat. Pada pendapat saya, Khan selepas ini akan berjaya
memenuhi kehendak tuannya bila-bila masa sahaja dan perbuatan ini pastinya
tidak dapat dilihat sesiapa. Namun, Tuannya akan menggunakan Khan sebagai umpan
yang akan menjerat dirinya sendiri.” — Saratha
Ramdass
“Khan membunuh binatang atau manusia? Rasa ingin tahu
menguasai hati. Cangkuk naratif (narrative hook) berjaya menarik saya untuk membaca selanjutnya. Saya
rasa, cerpen ini membawa isu pemburuan haram atau pembunuhan binatang yang
semakin pupus. Hal ini demikian kerana Khan berkata, tuannya sudah lama minta,
tetapi baru sekarang dia dapat menunaikan hajat itu.” — Thanusya Shanmuganathan
“Saya tertarik membaca petikan awal cerpen ini kerana ia menunjukkan tindakan perlu diambil sehingga tidak dilihat oleh orang ramai. Mungkin mangsa [di dalam guni] akan buang ke dalam sungai untuk mengelakkan daripada ditangkap polis. Atau mungkin budak-budak yang melarikan diri itu ternampak kejadian yang berlaku. Mereka memberitahu keluarga dan laporan polis dibuat. Pihak polis akan menangkap pembunuh.” — Thayalan Varatharaj
“Permulaan cerita agak menarik serta timbul perasaan ingin
tahu tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Pada pendapat saya, cerita ini
mungkin akan berakhir dengan kematian Khan. Hal ini demikian kerana Khan
seorang yang amat setia kepada tuannya. Situasi ini akan mengakibatkan tuan itu
sendiri mengambil kesempatan menipu Khan.” —
Thiruselvam Padmanabhan
“Petikan awal cerpen ini mempunyai unsur saspens dan
mencungkil keinginan saya untuk terus membaca. Persoalanya mengenai kesetiaan
kepada Tuan. Khan telah menculik seseorang, di mana perbuatanya membuatkan Tuan
gembira. Cerpen ini mungkin berakhir dengan menggambarkan Khan sebagai pesakit
jiwa. Watak ‘Tuan’ dalam cerpen ini adalah satu lagi watak dalam diri Khan; di
mana dia membalas dendam terhadap orang yang menolak [tidak menerima] Khan
sebagai manusia biasa.” — Varatharasan
a/l Subramaniam
“Petikan awal ini melibatkan unsur
saspens dan pembaca tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya. Penceritaan
yang tidak membosankan. Pada pendapat saya, cerpen ini mungkin membawa isu
dunia kongsi gelap, persoalan motif pembunuhan dan pegangan agama, serta
persoalan adakah tiada udang-undang sehingga menyebabkan begitu mudah pembunuhan
dilakukan. Mungkin akhirnya pembunuhan itu dilihat oleh seseorang dan pembunuh
menyedarinya, namun pembunuh tidak sempat
untuk mengejar saksi.” — Wan Amerudy Bin
Wan Kamaludin
“Ada babak
aksi yang mendebarkan di permulaan cerita dan menimbulkan persoalan kepada
saya. Saya tertanya-tanya, apa yang akan terjadi kepada mangsa dan kenapa dia
dibunuh atau dipukul. Isu utama adalah berkenaan kepatuhan dan ketaatan seorang
pengikut kepada ketuanya. Watak Khan dalam cerita merasa seronok dan tidak
sabar untuk bertemu ketua [Tuan] setelah selesai misinya. Pada pendapat saya, Khan
akan mendapat pujian dan kepercayaan ketuanya atas pencapaiannya menyelesaikan
tugasan. Selain tugasan pertama ini, berkemungkinan ada tugasan lain untuk Khan
disebabkan dia kini orang kanan atau orang kepercayaan ketuanya.” — Wan Nurhidayat bin Wan Muhamad
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Cerpen ini dimuatkan dalam kumpulan fiksyen baharu yang sedang saya usahakan. [Maklumat di sini]
Baca juga: Reaksi Pembaca Beta Dua — Reaksi Pembaca Beta Tiga — Reaksi Pembaca Beta Empat.
Setiap reaksi yang diberi amat bernilai dan amat saya hargai
dalam usaha berterusan menjadi penulis yang mampu menghasilkan karya bermutu.
Saya [Uthaya Sankar SB] mendoakan supaya para pembaca beta
terbabit sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki.